28 February, 2010

Menghilangkan Rasa Takut..

Aku pernah ke rumah mayat pada jam satu pagi..

Ceritanya begini, Arwah Emak meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Sudah tentulah kami sekeluarga amat bersedih dengan pemergiannya. Dipendekkan cerita, sebaik sahaja jenazah emak siap diuruskan, kami menuntutnya untuk dibawa balik ke kampung. Pagi itu, Abah memandu keretanya untuk ke rumah mayat. Abah kemuadiannya mengiringi jenazah dengan menaiki van jenazah. Jadi keretanya ditinggalkan di rumah mayat hospital.

Pada malamnya selepas selesai majlis kenduri arwah, salah seorang pakcik telah memberitahu bahawa kereta Abah masih berada di rumah mayat hospital! Memang tiada seorang pun diantara kami teringat mengenainya langsung! Abah pun tidak memberitahu Aku tentangnya. Lagipun pada masa itu keadaan sememangnya tidak mengizinkan. Banyak perkara yang hendak diuruskan oleh Abah. Aku tidak mahu menganggunya dengan perkara yang remeh-temeh.

Kebetulan malam itu ada seorang pakcik yang akan balik ke Johor Bahru. Jadi Aku mengambil keputusan untuk menumpang dan kemudiannya meminta beliau menghantar Aku ke rumah mayat hospital. Di sepanjang perjalanan bermacam-macam perkara menyeramkan bermain-main dalam fikiran kerana destinasi yang hendak dituju ialah rumah mayat hospital! Macam-macam cerita seram telah didengar berkaitan dengan rumah mayat. Namun sepanjang perjalanan, Aku sentiasa memastikan diri ini dalam keadaan tenang. Akhirnya kami tiba di rumah mayat hospital sekitar pukul satu pagi.

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu masuk ke rumah mayat hospital, Aku segera disapa oleh pengawal keselamatan rumah mayat tersebut. Berderau juga darah, kerana entah dari mana beliau muncul! Sudahlah di hadapan pintu masuk ke rumah mayat itu gelap! Sebaik sahaja perasaan terkejut Aku hilang, Aku segera menerangkan kepadanya yang Aku ingin mengambil kereta Abah untuk dibawa pulang.

"Ooo..Itu kerea Ayah Encik rupanya.. Ingatkan kereta sapa tadi. Dari pagi sampai ke petang takde orang datang ambil!"  " Jarang orang tinggal kereta kat rumah mayat ni"

Betulah tu Pakcik Pengawal, mana ada orang tinggal kereta di rumah mayat! Hanya keluarga Kami yang berbuat begitu! (Aku menjawab di dalam hati).

Perjalanan untuk balik semula ke kampung memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Kalau tadi Aku ke rumah mayat bertemankan Pakcik sekeluarga, untuk perjalanan balik ini Aku akan memandu berseorangan!  Harap-harap tiada apa yang mengikut Aku balik..


Perkara pertama sebaik sahaja Aku menghidupkan enjin kereta ialah melihat kapasiti minyak. Masih ada setengah lagi! Walaupun masih ada separuh lagi (sebenarnya lebih daripada cukup untuk sampai ke destinasi) Aku tetap tidak akan mengambil risiko, Aku akan isi di stesyen minyak yang pertama Aku jumpa!  Berbekalkan Al Fatihah, Aku segera memulakan perjalanan. Setibanya di stesyen minyak, Aku terus mengisi minyak ke kereta dan membeli setin Red Bull untuk mengembalikan tenaga. Maklumlah sejak dari semalam sebenarnya Aku tidak dapat berehat secukupnya. Banyak perkara terpaksa diurusakan.

Sebaik sahaja selesai mengisi minyak, Aku meneruskan perjalanan. Di dalam fikiran sentiasa terbayang perkara-perkara yang menyeramkan. Perjalanan dari Hospital ke Bandar Kulai aku harungi seperti biasa, tetapi sebaik sahaja melepasi Bandar Kulai dan menuju Bandar Tenggara, segala perasaan takut itu keluar bermain-main difikiran, bertukar silih berganti. Maklumlah sepanjang perjalanan melalui jalan tersebut keadaan memang gelap, dikiri dan kanan jalan adalah ladang kelapa sawit dan getah. Jam pula sudah pun menunjukkan  pukul satu setengah pagi. Perjalanan masih jauh lagi. Kampung Aku terletak kira-kira dua puluh lapan kilometer dari Bandar Tenggara menghala ke Kluang. Memang jarang kenderaan memalui jalan tersebut selepas jam dua belas malam.

Aku mengekalkan kelajuan kereta sekitar 110km/h sepanjang perjalanan tetapi bila perasaan terasa lain macam sahaja, kelajuan kereta meningkat sehingga 160 km/h atau lebih!  Tiba-tiba hati tedetik.. "Eh! Bila memandu laju, fikiran menjadi fokus terhadap pemanduan, bayangan perkara-perkara menyeramkan segera hilang dari fikiran!"  Sambil memandu, Aku sempat membuat satu kesimpulan iaitu untuk meghilangkan ketakuan dalam diri ialah memberi fokus terhadap apa yang kita sedang lakukan. Aku segera mengujinya! Aku memperlahankan kenderaan kemudiannya memberikan fokus terhadap pemanduan.. Alhamdulillah hasilnya sama! Tiada lagi perasaan takut!

Aku selamat tiba di destinasi lebih kurang pukul dua suku pagi. Awal suku jam berbanding biasa!  Semua orang telah nyenyak tidur. Ada tips berharga yang aku pelajari dalam masa sejam suku perjalanan tadi. Apa yang hanya Aku boleh katakan ialah kemuncak kepada ketakutakn ialah lahirnya perasaan berani!  Fokus terhadap apa yang kita lakukan, segala ketakutan akan hilang..Insyallah!

27 February, 2010

Hidup Tanpa Bateri! Bolehkah?

Hidup tanpa bateri tentu sukar. Masakan tidak, semua peralatan daripada sekecil-kecil jam tangan sehingga ke jam dinding (kecuali yang mekanikal dan automatik), handphone, PDA, laptop dan kamera digital serta kenderaan memerlukan kuasa bateri. Secara perlahan-lahan dan secara tidak sedar, kehidupan seharian kita sebenarnya telah dikuasai oleh bateri. Selain itu, Kita secara sedar atau tidak sentiasa membawa toksik di dalam saku atau beg!

Pada masa hadapan bateri juga juga akan digunakan untuk menyimpan tenaga yang dijana dari dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui iaitu solar dan angin. Dibidang automotif, kenderaan berkuasa elektrik sepenuhnya dan juga hybrid akan memasuki pasaran. Semua itu melibatkan penggunaan bateri dengan skala yang besar.




Kalau sekarang kita risau dan bimbang kesan plastik dan polisterina terhadap alam sekitar. Pada masa hadapan kita pasti akan risau dengan kesan bateri terpakai yang akan merosakkan alam sekitar jika tidak dilupuskan dengan cara yang betul! Secara tegasnya, Aku lebih risaukan ancaman bateri daripada polisterina!

Pada masa hadapan pelbagai alasan dan frasa baharu dalam bahasa juga akan muncul berkaitan dengan bateri contohnya "Maaf, Saya terlambat, kereta/motor Saya kehabisan bateri!". Oh! Pada zaman tersebut penggunaan petrol atau diesel tentu dianggap sebagai sebagai "amalan kuno"!  Hidup tanpa bateri! Bolehkah?

26 February, 2010

Sindrom Tiada Duit Kecil

Masalah tiada duit kecil ini biasa di Malaysia. Untuk lebih tepat lagi, ini ialah masalah utama dikalangan peniaga-peniaga di Malaysia!  Kadang-kadang bukan setakat peniaga yang tidak mempunyai duit kecil, sindrom ini juga merebak ke kaunter-kaunter perjualan tiket terutamanya bas ekspress. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Peniaga atau pihak pengurusan syarikat perlu sentiasa bersedia menyediakan duit kecil secukupnya untuk memastikan kelancaran urusan di kaunter.

Pengalaman menaiki bas ekspress sejak dari alam persekolahan sehingga kini memang menunjukkan yang situasi itu kerap terjadi. Kalau dahlulu semasa Aku berusia belasan tahun, Aku tidak kisah sangat bila pihak petugas kaunter meminta Aku memecahkan duit dahulu sebelum membeli tiket bas. Terpaksalah ke gerai-gerai berdekatan, menebalkan muka meminta duit ditukar pada not yang lebih kecil atau kalau tidak mampu menebalkan muka terpaksa membeli sesuatu untuk mendapat pecahan baki dalam not yang lebih kecil! Oh! Itu cerita lapan belas tahun dahulu!




Kira-kira dua tahun yang lalu ketika Aku ingin membeli tiket bas ekspress untuk perjalanan ke Seremban, sekali lagi Aku diminta untuk menukarkan duit kecil terlebih dahulu sebelum dapat membeli tiket. Keadaan masih tidak berubah!  Kisah ini terjadi di kaunter penjualan tiket bas ekspress yang agak terkenal! Memang menyirap darah bila sampai gilirin untuk membeli tiket, pihak kaunter memberikan alasan remeh pada pelanggan!

Kalau tiada duit kecil..Adakah itu masalah pelanggan?  Itu masalah pengurusan syarikat!  Bersedialah secukupnya terutama pada masa cuti atau hujung minggu di mana terdapatnya peningkatan dikalangan penumpang yang menggunakkan perkhidmatan pengangkutan awam.

Aku tidak lagi bertoleransi dengan keadaan sebegitu! Sepatutnya kualiti perkhidmatan yang diberikan menjadi lebih baik berbanding lapan belas tahun dahulu. Pelanggan sebenarnya ada hak untuk dilayan dengan baik.

Bila petugas kaunter bas ekspress tersebut menyuruh Aku menukar duit terlebih dahulu.. Terus Aku katakan padanya, "Itu bakan masalah Saya!"  "Saya pelanggan dan saya patut dilayan dengan baik.." "Sekarang Awak pergi cari orang awak untuk tukar duit ini!"  Sebaik sahaja Aku kata begitu kepadanya.. beliau terus mengambil duit Aku, menyerahkan tiker dan memulangkan bakinya! Eh! Ada pulak duit kecil!  **kebingungan**


25 February, 2010

Masalah Bateri atau Alternator?

Beberapa minggu yang lalu, tiba-tiba kereta Satria ini seperti tidak bermaya. Kuasa pecutan turun mendadak, terasa berat untuk bergerak serta bateri pula kehilangan kuasa dan akhirnya enjin tidak dapat dihidupan.

Kalau hendak dikatan baterinya sudah rosak memang agak mustahil kerana Aku telah menggantikannya dengan bateri baru sekitar bulan September 09 yang lalu. Masih agak baru iaitu kira-kira 6 bulan. Jangka hayat bateri biasanya lebih kurang dua tahun jika diselenggara dengan baik. Err maintenance free battery tak perlu diselenggara.

Berdasarkan pengalaman, jika bateri kehilangan kuasa secara mendadak, tentu  ia berkaitan dengan sistem elektrik kereta atau  yang lebih tepat lagi ialah alat untuk menghasilkan elektrik dan mengecas bateri mungkin telah rosak. Aisey..Aku terus teringatkkan "Alternator"!




Aku memanggil mekanik untuk datang ke rumah untuk memeriksa Satria. Berbekalkan "Voltmeter" untuk menguji kuasa bateri dan keupayaan menguji kuasa mengecas "alternator", akhirnya ia mendapati bahawa bateri tersebut masih dalam keadaan baik tetapi "alternator" memang telah rosak!  Ia tidak dapat membekalkan dan menjana elektrik yang cukup untuk Satria.

Patutlah tempohari keika Aku memandu di malam hari, lampu hadapan seperti tidak cukup terang. Simptom ini sudah seminggu ditunjukkan cuma Aku yang tidak ambil kisah! Nasib baik juga ia rosak di rumah. Kalau ketika Azza yang memandunya tentu keadaan akan jadi lebih sukar dan menjadi kelam kabut.

Alternator itu seusia dengan Satria. Memang sudah sampai masa ia ditukar! Boleh rujuk artikel ini untuk lebih lanjut bagaimana untuk menentukan sama ada bateri atau alternator yang perlu ditukar.

23 February, 2010

Jaguh Carburetor

Motorsikal ini asalnya kepunyaan Abah. Abah beli motorsikal ini sekadar suka-suka. Pada kebanyakkan masa ia tersimpan di dalam rumah. Cuma kadang-kadang ia dibawa keluar untuk memanaskan enjin. Secara amnya motorsikal ini memang tidak digunakkan sangat.

Sekitar tahun 2002, Aku pinjam motorsikal ini dari Abah untuk ke tempat kerja disebabkan kereta mengalami kerosakkan dan terpaksa berada dibengkel lebih daripada dua hari. Sejak itu keinginan untuk bermotorsikal timbul semula. Walaupun hanya menggunakkannya selama seminggu, keseronokkan mula datang kembali dan segala skil menunggang yang telah lama ditinggalkan dapat dikutip semula sedikit demi sedikit.




Hendak dijadikan cerita, motorsikal ini kemudianya di bawa oleh adik ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2005. Semasa berada di sana, "Carburetor" motorsikal ini dicuri! "Carburetor" motorsikal ini popular dikalangan pencuri kerana ia boleh dijual dan digunakan untuk kerja pengubahsuaian meningkatkan prestasi skuter!

Untuk menggantikkan "Carburetor" yang hilang itu, kosnya amat tinggi. Kalau tidak silap harga "Carburetor" asli Modenas Jaguh sekitar RM600. Akhirnya beliau menggantikkannya dengan "Carburetor" ciplak seakan-akan asli.  Fahamlah, masa itu dia pelajar. Itu sahaja caranya untuk  membolehkan motorsikal itu beroperasi semula dengan kos yang mampu ditanggung.


Akhirnya dua tahun lepas, Aku membeli motorsikal ini daripada Abah. Daripada tidak digunakkan dan tersimpan sahaja di rumah lebih baik Aku gunakan untuk ke tempat kerja. Oleh kerana "Carburetor" motorsikal in bukan yang asal, prestasi motorsikal ini tidak berapa bagus. Kuasa pecutan sering terganggu dan kadang-kadang enjin termati sendiri ketika menunggang!

Oleh kerana "Carburetor" motorsikal ini telah pun diubah suai sebelumnya, Aku mengambil keputusan untuk menukar kepada jenis yang lain. Berdasarkan cadangan daripada beberapa kenalan dan pihak bengkel, "Carburetor" asli Yamaha RXZ amat sesuai untuk dipasang ke Modenas Jaguh. Walaupun berlainan jenis tetapi "Carburetor" Yamaha RXZ hanya memerlukan pengubahsuaian paling minumum untuk di pasang di Jaguh dan yang paling penting ia dapat memulihkan prestasi ke tahap asal  serta pada kos separuh lebih murah daripada "Carburetor" asal Modenas Jaguh.  Alternatif terbaik buat pemilik Jaguh yang mengalami masalah serupa dengan kes Aku.

Apa Kakak Buat, Adik Akan Ikut!

Nurin Iman anak sulung kami sudah pun berusia enam tahun. Selepas kelahirannya kami sentiasa memastikan yang dia mendapat apa yang terbaik yang mampu kami sediakan. Walau bagaimanapun, sebagai anak sulung banyak perkara yang dia ingin buat terpaksa kami halang dan kawal. Maklumlah dia anak pertama dan kami juga pertama kali menjadi ibu dan bapa. Banyak perkara yang kami takutkan dan bimbang!

Kemudian barulah kami menyedari, tindakan mengawal keterlaluan tidak baik untuk perkembangan personaliti dan pembelajarannya. Kini kami lebih terbuka.



Berbeza dengan adiknya, kami tidak terlalu mengawal. Lagipun kalau kami cuba mengawal tentulah tidak berapa berkesan kerana proses pembelajarannya bermula dengan meniru segala apa yang kakak lakukan. Jika kakak melakukan perkara positif, adik akan turut mengikut dan begitu juga sebaliknya. Hmm.. Satu proses yang masih panjang!

21 February, 2010

Rumah Lelong?

Petang tadi kami menghadiri majlis kenduri arwah di rumah makcik. Selepas habis majlis, seperti biasa sesi berbual bual sesama saudara bermula. Antara perkara yang menarik yang menjadi tajuk utama ialah membeli rumah lelong!




Nampaknya dalam masa ekonomi tidak berapa baik, sesetengah perkara telah menjadi peluang kepada orang lain. Harap-harap peluang yang dijangka tidak berukar menjadi perangkap.

Mencari rumah lelong?  Kalau ada duit lebih apa salahnya. Err.. Aku belum sampai lagi ketahap ini lagi!


20 February, 2010

Mozilla Firefox 3.6 - Bug Found!

Setelah menguji Mozilla Firefox 3.6 selama beberapa hari, Aku dapati ia terbukti pantas dan stabil. Walau bagaimanapun terdapat sedikit masalah semasa menggunakannya di blogger. Apabila kita menambah "Page Elements" dan kemudiannya ingin membuat susun atur, ia tidak dapat digerakkan!




Selalunya kita bebas untuk menentukkan susun atur "Page Elements" di layout dengan hanya menekan butang kiri tetikus tanpa dilepaskan dan bebas menentukan ke mana widget hendak diletakkan.

Pada mulanya Aku sangkakkan yang blogger sedang menghadapi gangguan teknikal. Kemudian tergerak untuk menggunakkan "Google Chrome". Semasa menggunkkan Chrome semua fungsi semua fungsi "Page Elements" di "Layout" dapat digunakkan sepenuhnya. Daripada membuat susun atur widget sehingga membuang widget yang tidak dikehendaki juga dapat dilakukan dengan sempurna.

Jadi Aku membuat kesimpulan, Mozilla Firefox 3.6 mengandungi "bug" apabila digunakkan di blogger terutamanya untuk meng "edit" template!

19 February, 2010

Kayu Yang Boleh Di Makan!

Ketika cuti Tahun Baru Cina yang lepas..

Di kampung tempohari, Aku menebang beberapa batang tebu untuk di makan. Di kawasan rumah ada banyak pokok tebu. Sesekali makan tebu memang "best"! di tambah dengan musim panas sekarang ni.

Nurin Iman: Kayu ni tak boleh dimakan Abah!
Aku: Ini bukan kayu la, Iman.  Ini tebu!



Masalah biasa bagi anak-anak bandar. Pokok tebu pun mereka tidak kenal! Kena kerap balik ke kampunglah nampaknya :D


18 February, 2010

Linksys Wireless-N WRT160N

Ruang pejabat di tingkat bawah perlukan sambungan internet tetapi network port sudah diguna semuanya. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini Aku harus mendaptkan "Wireless Router/Gateway". Untuk projek kali ini Aku telah menetapkan sedari awal untuk mendapatkan Wireless Router berspesikasi N. Spesifikasi terpantas yang ada dipasaran ketika ini iaitu135MBit/s!



Sebaik sahaja menerima router ini daripada pembekal, Aku terus membuka dan menguji. Terkejut kerana Aku dapati router ini tidak mempunyai antena! Mula rasa sangsi tentang keupayaan liputannya. Cukup atau tidak untuk meliputi seluruh ruang di tingkat bawah?


Ternyata tanggapan awal Aku silap! Setelah diuji Aku dapati kadar liputan router ini juga lebih dua kali ganda dari mana-mana versi router berspefikasi B/G walaupun tanpa antena. Sekarang sudah lebih seminggu router ini beroperasi. Nampaknya tiada aduan tentang prestasi atau kehilangan liputan. Aku kagum.



Untuk keterangan lebih lanjut mengenai router ini, sila layari http://www.linksysbycisco.com dan http://www.linksysbycisco.com/APAC/en/products/WRT160N?lid=LearnMore


17 February, 2010

iPod 4th Generation

iPod 4th Generation 40GB ini telah berada di dalam simpanan sejak tahun 2005. Boleh dikatakan ini adalah pemain mp3 terhebat pada masa tersebut. Telah berkhidmat hampir lima tahun tanpa masalah cuma pernah dua kali Hard Disk Drive tersangkut! Tetapi itu bukan masalah besar, cuma ketuk disisi untuk memulihkannya. Masalah biasa bagi iPod yang menggunakan Hard Disk Drive.



Setelah lama menggunakkannya barulah terfikir, bagaimana untuk membuka "Casing" iPod? Tidak nampak ruang untuk diumpil, semuanya tertutup rapi! Tujuan untuk membuka "Casing" itu sebenarnya untuk menggantikan bateri dan untuk melakukan "Modification" menukar Hard Disk Drive kepada Compact Flash. Apa-apa pun sebelum melangkah lebih jauh, tumpukan perhatian bagaimana untuk membuka "Casing" iPod ini dahulu.


Melalui beberapa forum dan tips daripada pemilik iPod 4th Generation, cara paling mudah untuk membuka "Casing" ialah dengan menggunakkan "Guitar Pick". Ooo... macam itu rupanya.


Aku menggunakkan "Guitar Pick" berketebalan 1mm untuk membuka "Casing". Aku dapati ia agak sukar, mungkin jika Aku menggunakan 0.7mm lebih mudah kerana lebih nipis. Akhirnya berjaya juga Aku membuka "Casing" iPod 4th Generation. Sila rujuk tutorial di ilounge forum untuk lebih lanjut dan terperinci.

Rujukan: http://forums.ilounge.com/showthread.php?s=&threadid=93789/

16 February, 2010

Basah Tapi Tidak Hujan!

Kalaulah pemandu kereta tadi perihatin, tentu Aku tidak basah. Mungkin beliau tidak perasan. Tidak mengapa kerana Aku telah memaafkannya. Maklumlah penunggang motorsikal mana ada yang ambil peduli.

Err Encik pemandu kereta, lain kali kalau hendak mencuci cermin pandang-pandanglah belakang, kiri dan kanan juga!




12 February, 2010

Mozilla Firefox 3.6

Tergerak hati untuk memeriksa samada terdapat versi terkini Mozilla Firefox. Klik --> Help --> Check For Updates. Whoa.. dah ada rupanya. Terus memuat turun versi 3.6 browser ini untuk diuji kehebatannya. Secara umumnya, terasa lebih ringan dan lebih pantas. 




Aku akan uji browser ini sepanjang minggu. Harap-harap kejadian "Crash"  secara mengejut tidak lagi berlaku seperti pada versi 3.5.7!



Biasanya Mozilla Firefox akan mengemaskini kepada versi terbaharu secara automatik. Tetapi kalau sudah tidak boleh bersabar lagi, kemaskinilah ia secara manual. Untuk keterangan lebih lanjut dan muat turun sila rujuk http://www.mozilla.com/en-US/firefox/personal.html.

11 February, 2010

Cinta Kosmik - The Fabulous Cats

Sebentar tadi Aku di "buzz" oleh Encik Ghaz di Yahoo Messenger. Katanya projek Music Video terbaharunya sudah di"upload" ke YouTube. Wahh sangat menarik. Tak sabar untuk menjadi antara penonton terawal dan memberi komen :D















Menurutnya Music Video terbaharu ini menggabungkan konsep "futuristic" dan "retro". Syabas Encik Ghaz kerana memberi nafas baharu di dalam industri pembikinan klip video di Malaysia. Aku sangat suka!!!

Oh ya.. Aku boleh dianggap bertuah kerana mempunyai kawan sejak sekolah menengah sehingga ke ipt yang menjadi pengarah telemovie dan klip video. Bukan pekerjaan yang biasa-biasa kita dengar :D  Untuk melihat hasil kerja Encik Ghaz, sila layari http://www.youtube.com/ghazthemediahustler. Anda pasti kagum dengan hasil kerjanya.

10 February, 2010

Tips Berhenti Merokok

Aku mengambil masa hampir empat tahun untuk berhenti merokok. Boleh dikatakan ini merupakan satu cerita kejayaan. Besar maknanya pada diri ini. Walaupuan pada sesetengah orang kejayaan ini tidak seberapa, Aku menganggapnya sama pentingnya dengan menerima segulung ijazah! Berdasarkan kepada pengalaman, untuk berhenti merokok seseorang itu perlukan:
  1. Sebab untuk berhenti.
  2. Persekitaran baru.
  3. Rakan-rakan yang baru.
  4. Hobi baru
  5. Displin.
  6. Doa 



    Sebab untuk berhenti.

    Untuk berhenti merokok, seseorang perlukan sebab.  "Saya mahu berhenti merokok kerana....."  Itu ialah "Mission Statement" atau "Azam" kenapa perlu berhenti merokok. Dalam kes Aku, sebab utama ingin berhenti daripada merokok ialah kerana "Aku sudah mencapai matlamat.."  iaitu apabila ingin diterima didalam sesebuah kumpulan! Bila sudah diterima, tiada apa lagi yang hendak dibuktikan. Tiada lagi cabaran.. Jadi lebih baik berhenti!  Sepatutnya "point" yang pertama ini pun sudah cukup untuk seseorang itu untuk berhenti merokok!

    Persekitaran Baru.

    Bila berpindah ke tempat baru, inilah masa yang sesuai untuk menghentikan atau menghapuskan kebiasaan dalam diri.  Kalau dahulu merokok, apabila di tempat baru boleh mencuba untuk mengurangkan atau memilih untuk tidak merokok langsung.  Dalam kes Aku, sebaik sahaja melangkah masuk ke Universiti, Aku telah tanamkan dalam diri "Azam" untuk mengurang serta seterusnya berhenti merokok secara berperingkat.

    Rakan-Rakan Baru

    Faktor merokok disebabkan pergaulan dan rakan-rakan memang tidak boleh disangkal lagi. Kaitannya memang amat kuat. Tetapi sebenarnya kita boleh membuat pilihan, samada untuk terus berkawan dengan mereka atau tidak. Kalau disebabkan mereka kita terpengaruh, harus ada sikap dalam diri yang akan sentiasa mempersoalkan kenapa harus menjadi begitu dan sebagainya untuk mewujudkan suasana "check and balance".  Tinggalkan rakan-rakan lama dan cari rakan-rakan baru! Bukan memutuskan persahabatan cuma kurangkan bercampur dengan mereka yang bermasalah dan bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat positif. 

    Hobi Baru

    Mula mencari hobi baru atau pun menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mengisi masa lapang.  Mungkin tidak semua perkara boleh menyebabakan seseorang itu dapat melupakan rokok tetapi untuk berubah seseorang itu perlu membuka fikiran seluas mungkin dan bersedia menerima perubahan.  Semasa di Universiti, Aku dapati kejuruteraan komputer amat mengasyikkan sehingga menyebabkan Aku berjaya melupakan rokok.


    Displin

    Mulalah berdisplin! Jangan langgar apa-apa perjanjian dan syarat yang dibuat dengan diri sendiri untuk mencapai matlamat. Displin mestilah kuat, barulah misi boleh dicapai. Tanpa displin kita akan tewas dengan diri sendiri.

    Doa

    Sentiasa berdoa kepada Illahi supaya dikuatkan iman dan menghindarkan perkara-perkara buruk daripada meresap ke dalam diri.

    Semoga dengan adanya tips ini, dapat memudahkan sesiapa yang mempunyai niat untuk berhenti merokok. Sebenarnya tidaklah sesusah mana. Kalau kita boleh berhenti merokok di siang hari ketika di bulan puasa, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh berhenti merokok untuk keseluruhan hari! Pokok pangkalnya ialah diri sendiri, sejauh manakan kuatnya azam dan kesungguhan serta displin dalam diri. Insyallah.

    09 February, 2010

    Berhenti Merokok - Part 2

    Kuantan seoalah-olah telah menjadi kampung kedua, maklumlah setelah tinggal hampir 2 tahun di sana, Aku sudah faham selok-belok bandar tersebut. Kalau dahulu Aku belajar, kini Aku bekerja di Kuantan! Aku mula bekerja di sebuah jabatan kerajaan sebagai pekerja kontrak. Semasa menanti keputusan peperiksaan akhir, seorang pensyarah memberitahu tentang terdapatnya kekosongan di jabatan tersebut yang memerlukan beberapa orang kakitangan kontrak pada kadar segera.


    Kini hanya kami berempat tinggal di rumah sewa tersebut. Tiga daripadanya perokok dan hanya seorang tidak. Gaya kehidupan beransur-ansur berubah. Maklumlah sekarang Aku sudah ada pendapatan sendiri walaupun gajinya tidak besar, cukuplah untuk tidak menyusahkan ibu dan bapa di kampung. Bekerja di jabatan tersebut hampir empat bulan sebelum mendapat pekerjaaan di sebuah institusi kewangan.

    Bekerja walau di mana pun, Aku tetap dikelilingi perokok. Baik di Jabatan kerajaan mahupun swasta. Golongan seperti ini berada di mana-mana. Dipendekkan cerita, sekitar Mei 1995 Aku telah diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Aku mendapat tempat di Universiti tanpa menyambung ke peringkat Diploma terlebih dahulu. Memohon terus dengan menggunakan Sijil Politeknik. Jalan yang Aku gunakan sedikit berbeza daripada rakan-rakan yang lain. Apa-apa pun kebanyakkan kami berjumpa semula di Universiti Kebangsaan Malaysia walaupun lewat setahun berbanding rakan-rakan lain yang seusia yang masuk ke Universiti melalui STPM ataupun Matrikulasi. Setelah ditolak dan dipindahkan beberapa mata kredit, Aku yakin boleh menamatkan pengajian sekitar tiga tahun setengah.

    Sebenarnya tiada yang istemewa bila diterima masuk sebagai pelajar semula. Maklumlah sebelum ini telah pun bekerja, menikmati setiap sen daripada pendapatan dan kini rutin catuan telah berkuat kuasa semula. Aku mengambil sedikit masa untuk membuat beberapa penyesuaian dan penyesuaian ini sangat membantu diri dalam membuang beberapa tabiat buruk seperti merokok. Oleh kerana tiada lagi sumber pendapatan, perkara-perkara yang tidak berapa perlu telah pun dikurangkan dan dihapuskan sama sekali. Ini termasuklah membeli rokok. Kalau dahulu Aku beli pek dua puluh batang, sekarang Aku beli pek tujuh batang. Perlahan-lahan Aku telah berjaya mengurangkan pembelian dan penggunaan.

    Di tempat dan suasana yang baru, Aku lebih selesa dikenali sebagai seorang yang tidak merokok walaupun kadang-kadang Aku merokok terutamanya apabila berjumpa dengan kawan-kawan lama. Kini Aku telah mula menolak pelawaan apabila di hulurkan rokok. Lama-kelamaan tabiat itu semakin berkurangan dan ketika berada di tahun ketiga semester pertama, Aku berani mengatakan yang Aku telah berhenti merokok sepenuhnya. Akhirnya tercapailah hasrat untuk berhenti merokok sekiranya Aku dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun ianya tidak berlaku sekelip mata.



    08 February, 2010

    Berhenti Merokok - Part 1

    Beberapa "entry" yang lepas Aku telah menumpukan kepada subjek yang berkaitan dengan merokok. Aku sebenarnya memang sengaja memilih subjek ini untuk diketengahkan kerana ia amat dekat dengan diri. Dari mula mengenal, kemudiannya terjebak dan kemudian beransur-ansur meninggalkan tabiat buruk ini. Semuanya harus Aku kongsikan untuk dijadikan iktibar.


     
    Selama lebih kurang empat tahun Aku bergelumang di dalam dunia perokok. Aku mencuba hampir kesemua jenama yang berada di pasaran.  Daripada yang paling murah sehingga yang paling mahal.  Semuanya telah Aku cuba.  Keputusannya tetap sama.. "Apabila dibakar dan disedut, ia mengeluarkan asap".

    Selepas tamat semester kedua di Politeknik, beberapa rakan serumah yang tidak dapat meneruskan pangajian ke perigkat seterusnya kerana gagal dalam peperiksaan. Itulah harga yang terpaksa mereka bayar unuk sebuah kebebasan maksimum. Kumpulan kami tidak lagi seramai dulu. Bagi yang lulus peperiksaan Latihan Industri sedia menunggu di semester ketiga. Yang tidak lulus pula terpaksa mengulang semester. Kumpulan sudah mula berpecah. Kalau dahulu sebab utama Aku merokok, ialah untuk mudah diterima di dalam kumpulan dan bila kumpulan sudah mula berpecah, rasanya tiada sebab lagi Aku harus merokok!

    Sebaik sahaja menamatkan Latihan Industri, Aku mencari rakan serumah yang baru. Rakan-rakan yang baru terdiri daripada berlainan kursus tetapi mereka masih lagi dibawah Jabatan Perdagangan. Mereka ini Aku kenal semasa di Politeknik, berbeza dengan rakan serumah asal yang kebanyakkannya Aku kenal semasa di sekolah lagi. Walaupun mempunyai rakan serumah yang baru, kebanyakkan daripada mereka merokok. Susah untuk mencari rakan serumah yang tidak merokok pada zaman itu!

    Memulakan semester keempat dengan semangat baru. Ini adalah semester terakhir bagi pelajar Kursus Integrasi (Sijil). Jika keputusan peperiksaan cemerlang, kami dibolehkan untuk menyambung ke peringkat Diploma dan boleh juga memohon untuk masuk ke Universiti melalui pengambilan kelayakkan khas. Jika keputusan hanya suam-suam kuku dan cukup makan sahaja, bergembiralah dengan hanya menerima Sijil Politeknik! Di dalam diri,  Aku sudah menanamkan azam sekiranya Aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Aku akan berhenti merokok!

    Aku berjaya menamatkan pengajian diperingkat sijil. Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK/CGPA) melepasi tahap minimum untuk memohon memasuki Universiti. Tetapi Aku memilih untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian. Aku ambil keputusan untuk terus tinggal di Kuantan dan berkerja. Malah masih tinggal di rumah sewa yang lama. Cuma kali ini hanya tinggal empat orang sahaja rakan serumah. Rakan-rakan yang lain telah mengambil haluan masing-masing setelah tamat pengajian.




    07 February, 2010

    Makan Dahulu..

    Entry kali ni tiada kaitan dengan makanan secara langsung pun! Sebenarnya ia adalah berkaitan dengan Apa yang kami sekeluarga praktikkan sebelum keluar membeli belah. Ya.. Kami akan makan terlebih dahulu! Mungkin sudah ramai yang tahu mengenainya. Tips ini amat popular dikalangan pakar-pakar psikologi, kewangan dan Ustaz!



    Ianya amat berkesan buat kami sekeluarga. Membuat pembelian didalam keadaan kenyang membuatkan Kami lebih fokus terhadap pembelian dan insyallah tidak akan terjebak membuat pembelian impulsif!

    Selain daripada itu, berdasarkan pengalaman, anak-anak juga mudah dikawal dan dipujuk apabila mereka dalam keadaan kenyang. Ini tentu akan memudah dan membuat kita sekeluarga berasa selesa ketika keluar membeli belah.

    04 February, 2010

    Ais vs Rokok

    Dah menjadi kebiasaan, selepas minum minuman berais Aku akan kunyah ais! Tapi pada hari itu Aku telah ditegur:

    "Bahaya woo kunyah ais"
    "Tak baik untuk kesihatan"



    Tetapi apa yang lebih kelakar ialah rakan yang menegur Aku tu baru sahaja menyalakan sebatang rokok dan menghisapnya dengan penuh bangga!

    03 February, 2010

    Saya Menyebabkan Dia Merokok!

    Dia sedang membakar surat-surat cinta lama dan gambar-gambar kenangan di dalam tin susu tepung. Dari tadi Aku memerhatikan gelagatnya. Ishh.. Sampai begitu jadinya kalau cinta tidak kesampaian!

    Bila dia sudah tenang, Aku mempelawanya, "Nah.. Ambil sebatang, sambil-sambil bakar surat tu, bakarlah rokok tu sekali!"  Dengan tidak berfikir panjang, dia menerima pelawaan Aku dan terus menyalakannya. Sedutan pertama menyebabkan dia terbatuk-batuk!


    Itu cerita 17 tahun yang lalu.

    Sejak itu, dia telah menjadi seorang perokok. Hasil usaha Aku memperkenalkan En Rokok kepadanya. Usaha yang amat berjaya tetapi Aku tidak pernah bangga mengenainya. Sehingga sekarang, Aku amat menyesal kerana memperkenalkan tabiat buruk itu kepadanya.

    Kadang-kadang terdetik juga di hati.."Kalaulah dulu Aku tidak memberikannya rokok..."  Tentu dia bukan seorang perokok tegar sekarang!

    02 February, 2010

    Kenapa Saya Merokok!

    "Perokok sekarang memang sudah hilang sifat budimannya. Kalau tak percaya cuba lihat di persekitaran, bersepah-sepah puntung rokok!  Aku pun pernah merokok dahulu.. tetapi Aku jenis yang tidak membuang puntung rokok sembarangan..."



    Kira-kira 17 tahun dahulu....

    Aku tidak pernah merokok semasa zaman persekolahan. Mungkin itu juga sudah dikira cukup baik kerana hampir kesemua kawan-kawan merupakan perokok "tandas"!  Namun semuanya bermula ketika Aku diterima melanjutkan pelajaran ke sebuah Politeknik di Negeri Pahang. Ketika berada di semester pertama, rekod bersih itu masih berjaya dikekalkan. Alhamdulillah.

    Apabila berada di semester kedua, Aku dan rakan-rakan yang lain mengambil keputusan untuk tinggal di luar. Maka bermulah cabaran yang agak hebat di jiwa remaja ini. Tinggal di rumah sewa, tanpa pengawasan ibu dan bapa serta orang tua sememangnya memerlukan ketahanan mental yang kuat. Aku tahu sememangnya untuk berhadapan dengan situasi ini Aku perlu tegas menyatakan pendirian, dan tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak rakan-rakan lain disekeliling dengan mudah. Tetapi apakan daya, untuk merasa diterima dalam kelempok mereka Aku perlu melakukan sesuatu "serupa" dengan mereka sekurang-kurangnya.

    Bagi seorang remaja untuk kelihatan "cool" dan berbeza daripada orang lain adalah amat penting! Selain itu mempuyai ramai kenalan serta kumpulan yang "cool" juga penting!

    Bagi rakan-rakan telah pun merokok, mereka telah naik setingkat lebih tinggi dengan mencuba pelbagai perkara baru. Tak perlulah Aku terangkan apakah perkara-perkara baru itu. Yang pastinya ianya memang tidak baik dan bersifat sangat negatif!  Akhirnya perkara buruk yang paling ringan yang mampu Aku ikuti ialah merokok! Bila sudah merokok, Aku seolah-olah telah diiktiraf  menjadi ahli kumpulan yang selama ini Aku sangka paling "cool" di dalam dunia!

    Secara tidak bijaknya, Aku merokok kerana hendak diterima di dalam kumpulan dan untuk kelihatan "Gentleman".  Teruja melihat gaya seorang lelaki sebenar yang merokok tetapi masih tampil kemas. Konon-kononya la.. Ceh!