Showing posts with label Al Bai Bithaman Ajil - BBA. Show all posts
Showing posts with label Al Bai Bithaman Ajil - BBA. Show all posts

06 March, 2010

Kenaikan Kadar OPR - Kesannya.

Tahun lepas Aku ada menghantar surat kepada bank bertujuan untuk memohon pengurangan kadar faedah yang dikenakan terhadap pinjaman perumahan. Alhamdulillah, permintaan Aku dipersetujui oleh pihak bank.  Pihak bank kini menawarkan kadar yang lebih menarik iaitu BFR-1% untuk sepanjang tempoh pinjaman berkuat kuasa pada 1hb Januari 2010.



Tidak sampai dua bulan menikmati kadar pinjaman terbaharu, pada 4hb Mac 2010 Bank Negara Malaysia telah mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Bagi orang kebanyakkan ini bermaksud pihak bank akan menaikkan kadar BLR dan BFR, merujuk kepada kenaikkan kos meminjam terhadap pelanggan.



BERNAMA juga melaporkan bahawa bank pertama yang mengumumkan kadar terbaharu BLR ialah Bank Simpanan Nasional, berkuat kuasa pada 9hb Mac ini kadar terbaharu BLR ialah 5.75%. Jadi Aku menjangkakan bank-bank lain juga akan menaikkan kadar BLR mereka setara dengan kadar BLR  Bank Simpanan Nasional.

Katakanlah kadar BLR dan BFR terbaharu yang dikenakan oleh bank terhadap pinjaman ialah 5.75%, mengikut pengiraan baharu kos yang terpaksa Aku tanggung ialah 5.75% - 1% = 4.75%. Kenaikan sebanyak 0.25%. Hmmm...


30 December, 2009

Al Bai Bithaman Ajil - BBA

Aku menghantar surat kepada Maybank Islamic pada bulan Mei yang lepas berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan bagi pinjaman perumahan.  Setelah hampir 6 tahun membuat pembayaran,  rasanya telah tiba masanya untuk Aku berunding dengan pihak bank berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan.  Kira-kira 5 tahun yang lepas kebanyakkan pinjaman berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) tidak memberikan fleksibiliti terhadap kadar faedah keuntungan. Maksudnya kadar tetap sehingga langsai pinjaman.

Sejak tiga tahun kebelakangan ini, pinjaman perumahan berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) telah mengalami perubahan.  Di pasaran, Aku dapati ada bank yang sudah mula menawarkan kadar faedah keuntungan boleh ubah atau "Variable Rate Financing".  Di bawah konsep ini, harga jualan ditetapkan berdasarkan kadar harga jualan manakala kadar faedah keuntungan efektif yang dikenakan ke atas pinjaman berubah mengikut BFR, asalkan ia tidak melebihi harga jualan.

Akhirnya pada awal bulan Disember, pihak bank membalas permintaan Aku bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman. Alhamdulillah!  Kali ini kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak bank ialah BFR - 1% sehingga langsai pinjaman dan faedah keuntungan dikira berdasarkan kadar harian. Segala terma dan syarat masih mengikut perjanjian lama.  Dalam bahasa yang mudah, jika Aku membayar ansuran bulanan pada kadar yang sama sebelum kadar rundingan bermakna Aku akan dapat melangsaikan pinjaman ini lebih awal.

Cuma bahagian yang tidak berapa seronok ialah pihak bank meletakkan syarat tambahan seperti "Exit Penalty" dikenakan sekiranya Aku melangsaikan pinjaman tersebut kurang dari 6 tahun dan yuran pemprosesan sebanyak RM200!

Sekiranya kadar BFR meningkat dengan drastik sekalipun ianya akan dikekang oleh harga jualan yang telah dipersetujui dan kadar faedah keuntungan sebelumnya iaitu tidak melebihi  7.75%.  Semuanya jelas. Amat bagus untuk menghadapi ketidak tentuan ekonomi pada masa hadapan dan ia merupakan kelebihan Al Bai Bithaman Ajil berbanding pinjaman konvensional.

Bagi yang telah membuat pinjaman perumahan samada Al Bai Bithaman Ajil atau konvensional, jika tempoh "Exit Penalty" telah tamat, bolehlah memulakan perundingan (memohon) dengan pihak bank untuk mengurangkan kadar faedah keuntungan atau bunga (interest). Ramai yang tidak mengetahui mengenai perkara ini. Di pihak bank, mereka tentulah tidak mahu memberitahu perkara ini kepada pelanggan.  Alasannya mudah, mengapa perlu mereka (bank) memberitahu perkara yang akan mengurangkan keuntungan mereka!  Jadi, sebagai pelanggan, mestilah meminta! Kalau ada peluang di pihak kita untuk mengurangkan kos, mesti tuntut!