Showing posts with label Pengurusan Kewangan. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan Kewangan. Show all posts

28 April, 2010

Sudah Bayar la..

Aku ingatkan hal itu sudah selesai, rupa-rupanya belum! Hari Isnin yang lepas Aku dihubungi oleh pihak Maybank Credit Card Center berkenaan tunggakkan bil yang belum dijelaskan! Hiss.. tak cukup dengan surat kemudian siap telefon pula. Memang menyakitkan hati bila perkara yang dianggap selesai tiba-tiba menjadi isu semula. Patutnya sebelum menghubungi, tolonglah semak rekod terkini akaun tersebut dan bukannya terus memberi peringatan untuk membayar hutang!


Aku pun sudah letih untuk menerangkan pada mereka tentang situasi sebenarnya. Pada hemat Aku ia tidaklah serumit mana. Situasi itu berlaku  disebabkan komunikasi yang tidak efisien antara jabatan. Dua minggu yang lepas, sebaik sahaja menerima surat peringatan yang pertama, Aku telah menghubungi talian 1-300 88 6688  untuk memberitahu tentang situasi tersebut dan mereka berjanji untuk mengemaskini rekod dan akaun dalam jangkamasa dua minggu. Sebaliknya selepas dua minggu, bukan sahaja rekod belum dikemaskini malah menerima panggilan daripada mereka untuk menuntut hutang! Ciss *@#%6%




Akhirnya Aku menulis surat dan mem"faks"kannya terus ke Maybank Credit Card Center dan pagi tadi Aku mengambil inisiatif untuk ke Cawangan Maybank Skudai untuk membuat "follow up". Antara tuntutan Aku ialah supaya mereka memindah baki tertunggak dan bayaran ke akaun yang baharu, menghapuskan caj lewat, mengembalikkan kadar faedah asal dan mengemaskini rekod kad kredit terbaharu di dalam sistem Maybank2U. Aku juga meminta pegawai di Bank tersebut menghubungi pegawai yang menguruskan kes Aku di Kuala Lumpur untuk memastikan beliau mendapat gambaran sebenar tentang kes tersebut.  Setelah mendapat jaminan ianya akan diselesaikan secepat mungkin dan berpuas hati, baru Aku beredar..

Sekarang baharulah Aku dapat merasakan sedikit pengalaman bagaimana jika hidup dikelilingi hutang bertimbun, saban hari menerima panggilan telefon menuntut hutang, menerima surat tuntutan hutang dan dikejar pengutip hutang akan membuat seseorang itu hilang pertimbangan. Berkemungkinan juga boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya boleh membawa maut!



04 April, 2010

Alahai Maybank!

Aku menerima surat peringatan daripada Maybank berkenaan tunggakkan kad kredit yang belum dibayar! Eh! Setahu Aku semua bayaran yang patut dilangsaikan sudah pun dibuat. Macam mana perkara ini boleh terjadi. Lagipun Aku menggunakkan online banking untuk menjelaskan segala bayaran pinjaman dan segala bil utiliti. Sepatutnya ia menjadi lebih cekap!


Kemudian Aku teringat, tiga tahun yang lepas Aku pernah mengalami masalah yang serupa. Masalah ini timbul setiap kali menerima kad kredit baharu bagi menggantikan kad kredit yang telah tamat tempoh. Jadi, bayaran yang dibuat masih lagi merujuk kepda kad lama (akaun lama) sebab itu Aku akan mendapat surat peringatan yang menyatakan Aku belum menjelaskan bayaran. Untuk menyelesaikannya terpaksa menghubungi talian hotline Maybank dan memberitahu mereka tentang masalah ini. Kemudian mereka akan mengemaskini sistem mereka.


Sepatutnya mereka boleh menyelesaikan masalah ini secara terus. Maksudnya mereka sebagai pengeluar kad kredit, mereka tentunya mempunyai data lengkap tentang tarikh luput dan penggatian kad. Jadi setiap kali kad kredit dikeluarkan, sistem sepatutnya menggemaskini maklumat akaun kepada kad yang terbaharu. Tidak perlulah tunggu sehingga pelanggan membuat aduan! Err memang sungguh tidak cekap dan menyusahkan pelanggan! Kalaulah dapat diefisienkan bahagian ini sahaja, Aku pasti bank ini mampu menjimatkan kos dan meningkatkan keyakinan pelanggan.


06 March, 2010

Kenaikan Kadar OPR - Kesannya.

Tahun lepas Aku ada menghantar surat kepada bank bertujuan untuk memohon pengurangan kadar faedah yang dikenakan terhadap pinjaman perumahan. Alhamdulillah, permintaan Aku dipersetujui oleh pihak bank.  Pihak bank kini menawarkan kadar yang lebih menarik iaitu BFR-1% untuk sepanjang tempoh pinjaman berkuat kuasa pada 1hb Januari 2010.



Tidak sampai dua bulan menikmati kadar pinjaman terbaharu, pada 4hb Mac 2010 Bank Negara Malaysia telah mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Bagi orang kebanyakkan ini bermaksud pihak bank akan menaikkan kadar BLR dan BFR, merujuk kepada kenaikkan kos meminjam terhadap pelanggan.



BERNAMA juga melaporkan bahawa bank pertama yang mengumumkan kadar terbaharu BLR ialah Bank Simpanan Nasional, berkuat kuasa pada 9hb Mac ini kadar terbaharu BLR ialah 5.75%. Jadi Aku menjangkakan bank-bank lain juga akan menaikkan kadar BLR mereka setara dengan kadar BLR  Bank Simpanan Nasional.

Katakanlah kadar BLR dan BFR terbaharu yang dikenakan oleh bank terhadap pinjaman ialah 5.75%, mengikut pengiraan baharu kos yang terpaksa Aku tanggung ialah 5.75% - 1% = 4.75%. Kenaikan sebanyak 0.25%. Hmmm...


02 March, 2010

Dahulu Vs Kini

Aku memakai kasut daripada jenama terkenal. Jeans premium dan t-shirt import! Bila ternampak dan berkenan terus membuat pembelian tanpa berfikir panjang. Oh! itu cerita sebelum Aku berkahwin.



Sekarang semuanya telah berubah. Daripada seorang yang impulsif, kini Aku selesa dengan kesederhanaan. Tiada lagi "Aku" dihadapan. Keperluan anak-anak dan isteri sentiasa menjadi keutamaan..

Illustrasi kartun dari  http://newtoonsontheblog.info/

21 February, 2010

Rumah Lelong?

Petang tadi kami menghadiri majlis kenduri arwah di rumah makcik. Selepas habis majlis, seperti biasa sesi berbual bual sesama saudara bermula. Antara perkara yang menarik yang menjadi tajuk utama ialah membeli rumah lelong!




Nampaknya dalam masa ekonomi tidak berapa baik, sesetengah perkara telah menjadi peluang kepada orang lain. Harap-harap peluang yang dijangka tidak berukar menjadi perangkap.

Mencari rumah lelong?  Kalau ada duit lebih apa salahnya. Err.. Aku belum sampai lagi ketahap ini lagi!


07 February, 2010

Makan Dahulu..

Entry kali ni tiada kaitan dengan makanan secara langsung pun! Sebenarnya ia adalah berkaitan dengan Apa yang kami sekeluarga praktikkan sebelum keluar membeli belah. Ya.. Kami akan makan terlebih dahulu! Mungkin sudah ramai yang tahu mengenainya. Tips ini amat popular dikalangan pakar-pakar psikologi, kewangan dan Ustaz!



Ianya amat berkesan buat kami sekeluarga. Membuat pembelian didalam keadaan kenyang membuatkan Kami lebih fokus terhadap pembelian dan insyallah tidak akan terjebak membuat pembelian impulsif!

Selain daripada itu, berdasarkan pengalaman, anak-anak juga mudah dikawal dan dipujuk apabila mereka dalam keadaan kenyang. Ini tentu akan memudah dan membuat kita sekeluarga berasa selesa ketika keluar membeli belah.

31 January, 2010

Hukum Potongan 30 Peratus

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah Hukum Potongan 30 Peratus yang Aku maksudkan! Baiklah..Siapa yang tidak suka diskaun 30 peratus ketika membuat pembelian?  Jawapannya, tentulah semua orang suka. Kita tentu seronok bila mendapat diskaun yang ditawarkan oleh penjual. Sekarang cuba bayangkan yang kita sendiri memberi diskaun terhadap pembelian itu. Sebenarnya ini ialah petua yang telah lama Aku amalkan ketika hendak membeli atau berhutang.



Jika hendak membeli sesuatu barang samada tunai atau hutang, kita pastinya akan membuat perkiraan dan memikirkannya dengan agak mendalam terutamanya jika pembelian itu melibatkan jumlah yang agak mahal. Aplikasi hukum ini sebenarnya agak mudah. Setelah memikirkan tentang pro dan kontra pembelian itu, sekarang cuba tolakkan amaun pembelian itu dengan jumlah 30 peratus! Haa.. Itulah sebenarnya amaun yang selesa untuk kita tanggung.

Baiklah..Aku katakan selesa, bukan tidak mampu. Kita memang mampu untuk menanggung kos pembelian tersebut cuma untuk tidak terlalu membebankan kewangan kita dikemudian hari, hukum 30 peratus ini boleh digunakan. Hukum ini juga sesuai digunakan untuk pembelian rumah atau kenderaan.


Apa relevannya hukum ini diimplimentasi?  Mungkin bagi sesetengan orang, tidak perlu mempraktikkannya langsung.  Tetapi bagi seorang ketua keluarga yang isterinya tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil, hukum ini amat membantu. Ya Aku memang seorang yang konservatif  bila berbicara tentang kewangan :D

27 January, 2010

Terjebak Dalam Hutang..

Antara topik yang tidak diajar semasa disekolah dan universiti secara formal ialah Pengurusan Kewangan Peribadi. Ramai yang menganggapnya tidak penting kerana fokus utama tentunya terhadap pelajaran dan kemudiannya mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar! Sebenarnya pegurusan kewangan perlu didedahkan terhadap setiap manusia sebaik sahaja mereka mengenal wang sebagai perantaraan pertukaran. Bagi keluarga yang mempunyai kesedaran tinggi tentang pengurusan kewangan, perancangan mereka bermula sejak anak masih berada didalam kandungan lagi!


Ramai diantara kita terjebak didalam masalah kewangan disebabkan kurang kesedaran tentang bagaimana untuk mengurus sumber pendapatan dan perbelanjaan dengan baik. Malah ramai yang terjerumus ini sebenarnya terdiri daripada professional muda yang sepatutnya tahu bagaimana untuk mengurus kewangan diri dengan baik.

Bagaimana mereka boleh terjebak?  Berdasarkan pengalaman, kebanyakkan mereka ini terjebak sebaik sahaja mereka mendapat pekerjaan pertama. Harus diingat kebanyakkan dari graduan, semasa belajar tentunya ada mengambil pinjaman dengan JPA, MARA, PTPTN dan Yayasan Negeri. Maksudnya sebaik sahaja tamat belajar, hutang yang telah sedia menunggu!

Biasalah bila sudah mula bekerja dan mendapat pendapatan yang agak baik, mereka berhasrat pula meningkatkan taraf hidup. Kalau dahulu menaiki kenderaan awam atau bermotorsikal, sudah sampai masa untuk membeli kereta. Mula menambah hutang kedua. Bayaran muka muka minimum dan tempoh pinjaman maksimum 9 tahun. Tidak mengapa kerana mereka masih bujang dan pastinya mampu untuk menanggung dua hutang.

Bila sudah berkereta, tentulah tidak menarik jika tidak dipasang dengan aksesori. Orang mudalah katakan.. Sport rim! Oh itu sudah pasti.. Tayar import berprofil rendah! Sistem audio hebat yang menyokong iPod, teknologi Bluetooth berserta skrin sesentuh dan GPS! Semua yang dihajati semasa zaman belajar cuba dipenuhi. Kemudian bila mula berkira-kira untuk membeli, barulah menyedari.. "Oh kena simpan sedikit wang dahulu baru boleh membeli sistem audio idaman itu". Alhamdulillah akhirnya terdetik untuk menyimpan!

Satu hari ketika berjalan di sebuah pusat membeli belah, didatangi seorang agen kad kredit yang comel. Agen tersebut menyakinkan yang anda mampu untuk untuk memiliki barangan yang dihajati dengan menggunakan kad kredit! Beli dahulu, bayar kemudian dan cuma perlu bayar minimum 5% setiap bulan keatas baki tertunggak.  Wah! hebat! Tidak tahu ada produk kewangan sebegini hebat ada dipasaran! Err.. tanpa disedari mula menambah hutang ketiga!

Ada kereta cantik dan pekerjaan yang bagus. Mesti ada wanita yang menyukai dan disukai. Masa berlalu, dimulai dengan perkenalan, akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Setelah berkira-kira dan mencongak. "Err kena mula menyimpan, kalau tidak tidak sempat untuk kumpul wang untuk hantaran serta belanja perkahwinan". Alhamdulillah akhirnya terdetik sekali lagi untuk menyimpan!

Satu hari ketika melakukan "blog walking" dan "online banking" di internet, ternampak iklan mengenai pinjaman peribadi. Tanpa penjamin, mudah dan kelulusan segera! Boleh menyelesaikan apa sahaja masalah dan perkara yang dihajati. Sambil berkira-kira dan mencongak, "Hmmm ok lah.. mohon pinjaman peribadi, bila dah dapat wang pinjaman itu nanti, boleh menyelesaikan hutang kad kredit dan buat belanja perkahwinan."   Nak pinjam berapa agaknya? RM30,000 cukup rasanya.. Apa-apa hal pun perkahwinan perlu disegerakan :D Hutang nanti boleh dibayar kemudian.  Err.. tanpa disedari mula menambah hutang keempat!

Jika sudah ada empat hutang yang perlu dibayar. Eh! Tiga sebenarnya, sebab pinjaman keempat menghapuskan pinjaman ketiga. Uish bijak juga strategi ini!  Ambil hutang untuk hapuskan hutang lain! Tetapi realitinya masih tidak akan meredakan keadaan. Kalau semua hutang tersebut telah pun merangkumi 50% atau lebih dari pendapatan, anda telah pun dikira terjebak!

Lebih kurang begitulah situasi dimana mereka ini terjebak pada awalnya. Mungkin menyangka yang mereka ini mampu untuk membayar hutang tanpa mengambil kira langsung hal-hal kecemasan yang bakal berlaku dan keadaan ekonomi semasa. Atau mereka juga  menyangka yang langit sentiasa cerah, jadi tak perlulah menyediakan payung sebelum hujan!

Apa-apa pun berhati-hatilah ketika mengambil hutang baru terutamanya hutang kad kredit. Kalau boleh mula menyimpan seawal mungkin. Hutang tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak mampu membayarnya.

Sebagai panduan sila muat turun E-Book ini secara percuma dari AKPK



24 January, 2010

Cara Mengutip Hutang!

Teringat dahulu semasa Aku belajar di Universiti..Kadang-kadang kalau terputus duit terpaksalah meminjam dari rakan-rakan. Alhamdulillah biasanya ada yang menolong dan bila sudah ada duit, Aku akan cepat-cepat membayarnya semula. Adat pelajar, kadang-kadang kita meminjam dan kadang-kadang kita memberi pinjam. Tetapi apa yang menjengkelkan bila kita memberi pinjam.. Si peminjam bila sudah ada duit buat-buat lupa pulak! Tidak mahu melangsaikan hutang! Ciss!

Untuk golongan semacam ini, Aku gunakan strategi paling mudah untuk mengingatkan dan seterusnya mengutip hutang! Mula-mula besedia untuk buat muka tidak malu (sepatutnya yang berhutang tu yang patut malu). Kemudian perhatikan keadaan sekeliling, lebih ramai orang lebih bagus. Ketika siberhutang itu lalu atau sedang melepak dengan teman wanitanya, Aku akan terus memanggil namanya dengan agak kuat seterusnya mendekatinya.. "Lu pakai duit gua RM10 bila nak bayar?"  Mungkin disebabkan malu dengan kawan-kawan yang ada disekeliling terutama teman wanitanya, pasti dia akan membayar hutangnya pada masa itu juga! Harus diingat strategi ini hanya sesuai digunakan untuk menuntut hutang-hutang kecil sahaja..hutang-hutang besar kena guna cara lain.

Haha.. Alhamdulillah sepanjang menggunakkan strategi ini, Aku amat berpuas hati dengan kadar keberkesanannya. Memang sangat efektif untuk kawan-kawan yang selalu buat-buat lupa pasal hutang walaupun "loan" JPA/Mara/PTPTN sudah masuk ke dalam akaun!