Showing posts with label Jalan-Jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-Jalan. Show all posts

10 May, 2010

Danga Bay

Anak-anak kalau sudah lama tidak dibawa berjalan-jalan akhirnya bersungut juga. Ada sahaja yang tidak kena semasa di rumah.

Kami bukannya tidak membawa mereka keluar rumah langsung tetapi bagi anak-anak istilah berjalan-jalan itu sangat spesifik, iaitu keluar berjalan-jalan (jangan buat perkara lain)!  Kalau kami keluar dan pergi ke pasar atau hypermarket dan pulang ke kampung itu tidak dikira keluar berjalan-jalan!



Sebenarnya bagi warga Johor Bahru, kemudahan atau tempat rekreasi awam sangat terhad pilihannya sehinggakan kami tidak tahu lagi hendak pergi ke mana. Balik-balik ke Danga Bay!  Oh! Mungkin kami yang bosan.. tetapi bagi anak-anak, tempat itu menyeronokkan!





Lihatlah mereka, walaupun sekadar keluar untuk sejam..sudah cukup untuk mengembirakan mereka.


Waktu kami keluar pada hari itu sepatutnya sudah menjadi waktu tidur mereka.. Tetapi tidak mengapa, asalkan mereka gembira tentu akan dapat membuat tidur dengan lebih nyenyak dan bagun keesokan hari dengan lebih bersemangat!

30 March, 2010

Bazar JB - Kami Kembali!

Sebaik sahaja meninggalkan dari Restoran Sedap Corner, kami terus menuju ke Danga Bay. Lebih kurang setengah jam di sana, kami dapati tiada apa yang menarik. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk Bazar JB. Kali terakhir ke sana ialah sekitar Februari 2009 - http://www.anif.co.cc/2009/02/bazar-jb.html

Pada masa itu memang tidak ramai peniaga berniaga di situ tetapi kini bilangan peniaga semakin bertambah dan keadaan mulai sesak. Bila sudah ramai peniaga dan pengunjung, tempat meletak kenderaan pula menjadi satu masalah besar!




Walaupun bilangan peniaga sudah bertambah, pihak Majlis Badaraya sentiasa mengawas dan menyelia kawasa bazar. Hasilnya peniaga berniaga di kawasan yang teratur dan sentiasa dipantau kebersihannya. Selain itu, Aku dapati bahawa pihak Majlis Bandaraya juga telah menyediakan tandas awam, berbeza ketika mula-mula ia diperkenalkan. Jadi masalah tandas awam bukanlah masalah lagi bagi pengunjung dan peniaga di situ.


Seperti biasa, Aku lebih berminat dengan barangan lama yang di jual di situ. Nampaknya sekarang ini semakin banyak peniaga yang menjual pelbagai barangan terpakai. Cuma masa sahaja yang tidak mengizinkan untuk Aku "explore" semuanya.


Tetapi apa yang lebih menarik perhatian ialah peniaga yang menjual permainan terpakai. Nampaknya sekarang, bilangan mereka juga telah bertambah sekali ganda.

Sudah pastilah yang paling gembira ialah Nurin Iman dan Nurin Amani. Walaupun sudah diberikan lampu hijau untuk membeli, mereka tidak tahu mana satu yang hendak dipilih! Akhirnya Nurin Iman mendapat apa yang dihajatinya selama ini iaitu "Mini Wardrobe & Bed" untuk barbie dan Nurin Amani mendapat telefon "Sesame Street" dengan harga yang amat berpatutan.




20 August, 2009

Zoo Johor 2009

Kali terakhir kami pergi ke zoo, kalau tak silap pada 2007! Kami ke Zoo Negara! Kali ini kami ke Zoo Johor. Dah bertahun tak ke Zoo Johor! Sebenarnya ianya tak dirancang sama sekali. Kebetulan semalamnya, Aku baru balik dari Jakarta dan mendapati seisi rumah mengalami demam. Azza dan Nurin Amani baru hendak deman. Manakala Nurin Iman pula sudah 2 hari demam dan beransur pulih.






Pihak sekolahnya telah merancang untuk ke Zoo Johor pada minggu yang sebelumnya. Nurin Iman tahu pada hari tersebut cikgu dan rakan-rakan sekelasnya hendak pergi ke Zoo Johor. Dia kelihatan amat bersemangat untuk mengikutinya walaupun demamnya belum pulih lagi. (Dia masih dalam cuti) Terpaksalah kami membawanya ke sana dan seterusnya berjumpa dengan rakan-rakanya yang telah sedia sampai. Kebetulan pada masa itu ibu mertua pun ada di rumah, jadi kami pun membawanya sekali ke sana.


Tak banyak perubahan struktur di Zoo Johor, tetapi sekarang ianya lebih cantik dan kemas. Haiwan-haiwan juga kelihatan lebih terurus dan berjaga. Syabas diucapkan kepada kakitangan dan pihak pengurusan Zoo Johor! Tiket masuk, Dewasa RM2 dan Kanak-kanak RM1! Rasanya paling murah di Malaysia.



17 August, 2009

"I Love You Full " - Mbah Surip!

04/08/2009 - Hari Terakhir Di Indonesia:

Sementara menunggu di balai berlepas, kami mengikuti siaran TV Indonesia dan kebetulan pada masa itu berita sedang di siarkan. "Highlight" berita hari itu ialah "Mbah Surip" meninggal dunia! Kami mendengar cerita tentang Mbah Surip dari Bapak Irwan semasa di dalam perjalanan menuju Bandung dari Jakarta. Satu nama besar dalam industri muzik di Indonesia.

Sebelum ini dunia di kejutkan dengan pemergian Micheal Jackson, Malaysia di kejutkan dengan pemergian Yasmin Ahmad dan kini tiba giliran Indonesia pula dikejutan dengan pemergian Mbah Surip. Al Fatihah buatnya..


"I Love You Full " - Mbah Surip!





Siapa Mbah Surip?

Mungkin nama Mbah Surip tidak dikenali peminat di sini, tetapi penyanyi kelahiran Mojokerto, Jawa Timur pada 5 Mei 1957 itu berjaya mencipta populariti sebagai penyanyi dengan gaya tersendiri. Lagu popularnya, Tak Gendong dan Bangun Tidur diiringi petikan gitar.

Mbah Surip dikatakan mengumpul Rp9 bilion (RM3.15 juta) daripada lagu-lagunya yang digunakan sebagai muat turun dan nada dering.

Sebelum menjadi seniman, Mbah Surip atau nama sebenarnya, Urip Achmad Riyanto Soekotjo mencuba pelbagai pekerjaan antaranya dengan syarikat minyak dan lombong berlian hingga membawanya ke luar negara seperti Kanada, Texas dan California.

Lagu Tak Gendong dihasilkan di Amerika pada 1983 ketika dia bekerja di sana. Ia membawa makna falsafah tersendiri kepada Mbah Surip mengenai erti salah.

Kerana cintanya pada muzik, Mbah Surip berhijrah ke Jakarta dan bergabung dengan golongan seniman terkenal Indonesia seperti Teguh Karya dan Aquila, Bulungan. Peluang merakam album diterima daripada MURI melalui album pertama, Ijo Royo-royo pada 1997 diikuti Indonesia 1 (1998), Reformasi (1998), Tak Gendong (2003) dan Barang Baru (2004).

- di petik dari Harian Metro.

Antara lagu-lagunya.. Preview

16 August, 2009

Kerana Secawan Kopi..

Peristiwa ini berlaku pada hari ketiga Aku berada di Jakarta semasa "Company Trip" tempohari. Setelah selesai proses "check in", Aku cuba "online" menggunakan pda dari bilik hotel. Tetapi signal WiFi tidak berapa stabil, lalu Aku ambil keputusan untuk turun ke lobi hotel untuk mencubanya di sana. Signal WiFi di lobi lebih baik berbanding di dalam bilik.


Kebetulan pada masa itu beberapa rakan yang lain pun turut sama turun ke lobi hotel. Pada masa itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 11:30 malam. Setelah berbincang, ada diantara kami yang ingin keluar mencari cafe untuk minum kopi. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh petugas hotel, memang tidak terdapat sebarang cafe di sekitar hotel. Kawasan yang paling hampir ialah Mangga Dua dan Kelapa Gading, di mana terdapat banyak cafe dan restoran.

Kami menaiki teksi untuk ke Mangga Dua, setibanya di sana kami dapati bahawa tidak ada sebarang cafe yang masih dibuka sehingga lewat malam. Yang ada cuma restoran, bar dan pusat karaoke. Kami pun menahan teksi lain untuk mencari cafe. Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh pemandu teksi tersebut, kawasan yang ada cafe ialah di sekitar Kelapa Gading. Beliau membawa kami ke sana. Menurutnya lagi, jarak untuk ke kawasan tersebut lebih kurang 12km. Sepanjang perjalanan kami dapati pemandu tersebut seolah-olah tersesat dan kerap berhenti untuk bertanyakan arah.

Meter teksi dah menunjukkan perjalanan telah melebihi 12km. Tentu ada yang tidak kena.. kami di bawa melalui jalan yang bukan jalan utama dan ada jalan yang telah dilalui dua kali!. Kami tahu yang pemandu ini menipu dengan menggunakan laluan jauh dan berpusing-pusing! Akhirnya kami memintanya untuk berhenti dan kebetulan tempat kami berhenti itu ada sebuah cafe yang masih dibuka. Kalau tak silap namanya Moroco Cafe! Ciss.. dari tadi dok pusing-pusing dah lalu depan cafe pun dia tak berhenti! Terbang Rp 47,500! "Dan maaf ya Pak.. kerana kamu menipu kami tidak memberikan kamu tip!"

Mood untuk minum kopi dah hilang.. walaupun kami dapat minum kopi di cafe! Setelah lebih kurang sejam berada di cafe tersebut, kami mendapatkan teksi untuk balik ke hotel. Nampaknya kali ini perjalanan lebih teratur dan laluannya amat menyakinkan. Baru hendak menghela nafas lega, kami berdepan pula dengan sekatan jalan raya! Teksi yang kami naiki di tahan Pak Polisi yang sedang membuat operasi. Kami diminta keluar dari teksi, Pak Polisi bertanya ke mana destinasi yang kami tuju. Bila kami menyatakan yang kami ingin balik ke hotel dan datang dari Malaysia, Pak Polisi seolah-olah terkejut! Beliau meminta kami mengeluarkan passport. Mujur kami semua membawanya. Kalau tidak tentu susah!

Sedang kami tertunggu-tunggu, tetiba-tiba ada seorang Pak Polisi dari arah seberang jalan terus menghampiri Aku dan menghulurkan salam dan merenung Aku agak lama seolah-olah Aku ini saudara yang lama yang dia tak jumpa! (Dan insiden ini menjadi bahan gelak antara kami sehingga sampai ke Malaysia)

(Sebenarnya perkara yang serupa juga berlaku pada kumpulan pertama. Ada diantara mereka yang ditahan Pak Polisi tetapi gagal mengemukakan pengenalan diri (passport) dan akibatnya mereka diminta "tolong disini"! (di kenakan bayaran) atau dengan lain perkataan kena "pau" kena "sogok" untuk dilepaskan. Ishhh.. kat sini lagi teruk rupanya..)

Berbalik pada cerita kami di tahan Pak Polisi.. Penumpang punya hal dah diselesaikan, maksudnya kami tidak dikenakan apa-apa tindakan kerana kami memiliki dokumen yang lengkap. Tetapi yang lawaknya, pemandu teksi pula yang buat hal! Bersadarkan perbualan yang Aku faham antara Pak Polisi dan pemandu tersebut, lesen memandu atau permit teksinya sudah tamat tempoh! Haa.. tak dapat balik hotellah nampaknya..

Sambil itu kami berbual-bual dengan Pak Polisi, menurutnya operasi sebegini memang selalu dilakukan. Akhirnya mungkin disebabkan oleh kami dah dah menunggu lama (meter teksi masih lagi berjalan!) pemandu itu dilepaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan dan beliau dibenarkan meneruskan perjalanan untuk menghantar kami pulang ke hotel. Hahaha.. pasal kami dia tak kena saman :D

Kali ini berdasarkan meter teksi tadi, jarak perjalanan sebenarnya hanya 7km. Sampai di lobi hotel, Aku terus mengemaskini status twitter/facebook mengenai peristiwa tersebut! Sesungguhnya hanya kerana secawan kopi.. kami mengharungi malam yang penuh dengan insiden. Kali ini tambang teksi kami dapat diskaun!

Terima kasih "Bro" sebab belanja kopi dan tambang teksi! Insiden ini akan sentiasa dalam kenangan :D




15 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 4

Hari terakhir kami di Jakarta. Terasa panjang pula waktunya. Dari bersarapan sehinggalah ke "check out" dari hotel! Semuanya terasa seperti "slow motion". Mungkin disebabkan keletihan..


Aktiviti terakhir sebelum kami ke lapangan terbang ialah melawat Taman Mini Indonesia. Ala lebih kurang macam pergi ke Mini Malaysia.. Indonesia negara yang luas, pergi ke Mini Indonesia seolah-olah kami telah melawat hampir ke seluruh Indonesia!


Pelbagai bentuk replika rumah terdapat di sana mewakili setiap provinsi yang ada di Indonesia tetapi kami hanya melawat 4 daripadanya iaitu Sulawesi Selatan, Aceh, Papua dan Sumatera Barat.


Walaupun taman ini di panggil Mini Indonesia, semua replika rumah-rumah di sini dibina menggunakan skala sebenar. Kalau hendak melawat semua provinsi mungkin memakan masa separuh hari untuk dilengkapkan kesemuanya. Memang seronok berkunjung ke Mini Indonesia. Hampir 2 jam kami di sana, ianya memberikan perspektif secara am mengenai kepelbagaian bangsa, budaya dan agama yang ada di Indonesia.


Untuk makan tengahari, kami di bawa ke Restoran Raja Laut di Jakarta. Restoran ini menyajikan makanan laut. Kami makan dengan agak pantas untuk memberi ruang kepada "last minute shopping" sebelum berangkat ke lapangan terbang.

Selesai makan tengahari, kami di bawa ke ITC Cempaka Emas untuk mencari ole-ole tambahan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kompleks membeli belah ini amat luas dan besar. Setiap tingkat tidak kurang dari 100 kedai dan kompleks itu mempunyai 6 tingkat! Patutlah ada diantara kami yang tidak jumpa jalan keluar! Mujur tidak ditinggalkan :D

Kami meninggalkan ITC Cempaka Emas sekitar pukul 2:00 petang untuk terus ke Soekarno Hatta. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira sejam. Setibanya di sana kami dapati kawalan keselamat amatlah ketat. Semua pintu masuk dikawal rapi oleh petugas keselamatan. Kami faham dengan situasi tersebut cuma ianya sedikit sebanyak menyebabkan kelancaran memasuki lapangan terbang terganggu. Walaubagaimana pun semuanya berjalan mengikut jadual. Kami berada di Soekarno Hatta hampir 2 jam awal dari jadual pernerbangan.

Sementara menunggu di balai berlepas, kami mengikuti siaran TV Indonesia dan kebetulan pada masa itu berita sedang di siarkan. "Highlight" berita hari itu ialah "Mbah Surip" meninggal dunia! Kami mendengar cerita tentang Mbah Surip dari Bapak Irwan semasa di dalam perjalanan menuju Bandung dari Jakarta. Sebelum ini dunia di kejutkan dengan pemergian Micheal Jackson, Malaysia di kejutkan dengan pemergian Yasmin Ahmad dan kini tiba giliran Indonesia pula dikejutkan dengan pemergian Mhab Surip. "I Love You Full Ha ha ha.. " - Mbah Surip!

Kami menaiki PenerbanganTiger Airways TR273 jam 5:45 petang dan tiba di Changi, Singapura pada pukul 8:30 malam. Err balik kena tambah sejam :D (GMT + 8) tu yang nampak macam lewat sampai! Walaupun dah mendarat kami masih lagi di negara lain, masih belum sampai ke Malaysia! Masih ada 30 minit perjalanan untuk ditempuhi sehingga melintasi Tambak Johor.

Alhamdulillah! Setelah melalui 3 kali pemeriksaan imigresen kami selamat tiba di Johor Bahru sekitar 9:45 malam. Dari "drop point" kami menuju ke destinasi masing-masing dengan perasaan yang amat gembira walaupun keletihan. Kenangan semasa di Bandung dan Jakarta akan menjadi bahan cerita untuk sekurang-kurangnya seminggu di opis!


13 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 3 Continue..

Kami tiba di Sari Ater Hot Spring Resort sekitar jam 11:30 pagi. Masih lagi pagi namun matahari sudah terpacak tegak diatas kepala. Walaupun begitu, masih terasa sejuk kerana kami masih berada di kawasan tanah tinggi.


Apa yang menarik di sini ialah mata air panas yang mengalir itu di takung membentuk kolam-kolam kecil dan air terjun untuk memudahkan pengunjung. Menurut Bapak Irwan mata air panas di sini berupaya menyembuhkan sakit kulit dan rheumatism ringan. Tetapi tidak digalakkan meremdamkan diri terlalu lama di takuti akan mendatangkan kemudaratan. Maksimun 20 minit! Suhu air di kolam-kolam tersebut ialah sekitar 39°C hingga 40°C. Cukup untuk merebus telur jika di rendam selama 5 minit!

Setelah 2 hari menempuh perjalanan yang amat panjang dan keletihan akibat membeli belah, ini merupakan idea terbaik untuk merehatkan urat-urat kaki yang sedang tegang! Kombinasi "Hot Spring" dan batu-batu refleksologi, memang melegakan kaki!

Kami berada di sini lebih kurang 2 jam. Sempatlah juga melihat-lihat di persekitaran resort. Resort yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan dan aktiviti sukan lasak.

Setelah semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan untuk menikmati makan tengahari di Restoran Balibu, sebuah restoran yang menyediakan makanan sunda.

Makan tengahari yang agak istimewa kerana di sini kami berpeluang merasa sate sunda dan telur dadar istimewa dari telur burung puyuh . Sate biasanya di hidangkan bersama kuah kacang tetapi di sini ia dihidangkan dengan sambal kicap pedas.


Bila perut sudah diisi dan semuanya tersenyum kekenyangan, kami meneruskan perjalanan ke Jakarta. Kali ini barulah "betul"! Tidak seperti hari pertama kami ke Bandung, perjalanan jauh dengan perut kosong!

Kami sampai di Jakarta sekitar pukul 6:30 petang. Hari bekerja bagi warga Jakarta, menyebabkan kami turut merasa "keenakkan" kesesakan lalulintas di sana! Kami dibawa ke melihat di sekitar Jakarta dan berhenti untuk sesi bergambar di MONAS. Aktiviti wajib kalau ke Jakarta. Tak lengkap jika tidak melawatnya. (Err tapi kat situ banyak nyamuk la)

Setelah selesai sesi bergambar, kami di bawa ke Resotran Raja Kuring untuk makan malam. Restoran ini asalnya ialah gudang menyimpan barang-barang dagangan di zaman kolonial Belanda. Masih lagi dikekalkan senibinanya sehingga sekarang. Unik!

Makananya sedap! Servisnya juga pantas. Oleh kerana hari ini merupakan hari ketiga dan malam terakhir kami berada di Indonesia, kami menjadi semakin berani untuk mencuba makanan yang lain dari yang lain.

Akhirnya hidangan istemewa yang kami cuba ialah "Bebek Panggang"! atau di Malaysia kita panggil "itik panggang"! Kali pertama makan itik panggang. Rasanya macam lebih kurang macam ayam tetapi kulitnya rangup. Memanglah pada awalnya terasa geli.. tetapi kalau tak cuba takkan tahu rasanya macam mana. Satu pengalaman yanga amat berbaloi!


Bila perut sudah diisi dan semuanya puas hati, kami terus dibawa menuju ke hotel untuk "check in" dan merehatkan badan. Kawalan keselamatan di hotel agak ketat, maklumlah kami ke Jakarta selepas peristiwa pengeboman di JWW Marriot dan Ritz Carlton. Semuanya di "scan"!
Alhamdulillah.. Akhirnya selamat sampai di Jakarta.



12 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 3

Hari ini kami akan "check out" dari hotel untuk ke Jakarta. Tetapi sebelum itu kami akan dibawa melawat Gunung Tangkuban Parahu yang amat terkenal dengan lagenda "Sangkuriang". Sepanjang perjalanan kami di sajikan permandangan kaki gunung yang indah dari kampung tradisional di selang seli dengan ladang sayur dan strawberi.


Kami berhenti sebentar di pekan terakhir sebelum ke puncak gunung untuk mendapatkan buah salak dan makanan ringan yang lain. Berhenti semata-mata untuk mendapatkan buah salak, tetapi apa yang sebenarnya banyak terdapat di situ ialah buah avokado dan "japanese pumpkin". Selain itu kami juga tertarik dengan gerai-gerai "Warkop" yang menjual tapai ubi bakar! Haa.. kalau di Malaysia ada tapai pulut dan tapai ubi. Di sini ada tapai bakar!

Kami meneruskan perjalanan. Semakin tinggi pendakian, landskap pemandangan turut berubah. Di kiri dan kanan jalan terdampar hamparan ladang teh yang kehijauan. Ketika hampir ke kaki gunung, barisan pokok-pokok pine yang di tanam ketika era kolonial Belanda menghias landskap pemandangan.

Akhirnya kami tiba di pintu masuk ke Gunung Tangkuban Parahu sekitar jam 9:30 pagi. Disebabkan bas yang kami naiki besar, ia tidak dapat membawa kami terus ke puncak. Kami terpaksa menaiki "angkutan" untuk ke puncak.

Gunung Tangkuban Parahu sebenarnya gunung berapi aktif. Kali terakhir ianya meletus sekitar tahun 1960an. Semasa berada di puncak sesekali terbau "sulfur" yang agak kuat. Kalau diperhatikan betul-betul di kawah gunung tersebut, masih lagi keluar asap dan itu menunjukkan yang ianya sememangnya masih aktif.

Oleh kerana masa yang diperuntukan di sini tidak lama, kami hanya dibenarkan untuk melawat disekitarnya. Cukuplah untuk mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan dan mendapatkan cenderamata di gerai dan penjual yang berada di situ.

Destinasi seterusnya ialah Sari Ater Hot Spring Resort..


.

11 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 2

Bangun seawal pukul 4:30 pagi dan Subuh sekitar jam 4:50 pagi memang terasa amat pelik pada mulanya. Cuaca memang agak sejuk di Bandung sekitar 24°C - 29°C dan sesuai dengan gelarannya "Parijs Van Java" (Paris of Java).

Aktiviti hari kedua ialah "Bandung Discovery Tour" dan membeli belah. "Bandung Discovery Tour" sebenarnya ialah melawat sekitar Bandung. Tempat-tempat yang dilawati termasuklah Institute Technolgy Bandung, Satay House, Jalan Asia Africa dan perumahan kolonial Belanda. Menurut Bapak Irwan Institute Technology Bandung telah melahirkan ramai pemimpin Indonesia dan merupakan salah satu pusat pengajian tinggi yang berprestij di Indonesia.

Bangunan di sekitar Bandung banyak dipengaruhi senibina kolonial Belanda. Kesemua tempat-tempat tersebut selesai dilawati dalam masa 35 minit.


Sekitar pukul 10:00 pagi, kami ke Jalan Riau, untuk meneruskan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu "shopping"! Masa yang diberikan cuma 2 jam di sekitar kawasan tersebut. Memang tak mencukupi untuk membeli belah jika 2 jam sahaja di peruntukan untuk aktiviti tersebut. Semuanya perlu dilakukan denga pantas. Apa boleh buat kami terpaksa mengikut program yang telah ditetapkan.

Sempatlah kami ke beberapa buah "factory outlet" yang berada di sekitar The Summit Boutique Outlet. Pakaian yang di jual memang murah! Cuma perlu berhati-hati kerana tak semua tulen. Kena pandai memilih.

Setelah selesai di Jalan Riau, kami ke Pasar Baru. Seperti sebelumnya masa yang diperuntukan cuma 2 jam. Pasar Baru terkenal dengan "Islamic product" seperti tudung, telekung, jubah dan pakaian muslim dan muslimah. Semuanya dijual dengan harga yang amat berpatutan. Tawar menawar tak berapa berkesan sangat di sini kerana ianya sememangnya "Wholesale Center". Harga diantara kedai pun tidak banyak berbeza. Jika jumpa yang berkenan beli terus!


Kami menikmati makan tengahari di aras 6 Pasar Baru. Hidangan yang ringkas tapi lengkap. Tetapi lupa pula apa nama hidangan tersebut! Lebih kurang macam ayam penyet la.. Terperasan juga di Bandung yang ayam-ayamnya besaiz kecil. Mungkin ayam kampung kot! Selesai makan tengahari, kami meneruskan aktiviti membeli belah di Pasar baru.


Selepas itu kami ke Jalan Setiabudi, di mana terletaknya Rumah Mode. Sekali lagi kami di beri 2 jam untuk menjelajah ke sekitarnya. Harga di Rumah Mode agak mahal berbanding dengan "factory outlet" yang lain tetapi kualitinya lebih baik. Kami tidak berada lama di situ kerana terlalu ramai pengunjung membeli belah di situ. Kami sebaliknya banyak menghabiskan masa ke sekitarnya yang tidak kurang meriahnya.


Setelah puas berbelanja dan membeli belah, tiba masanya untuk menikmati makan malam. Kali ini kami menuju Bukit Dago Pakar untuk ke Sierra Cafe. Restoran ini menyajikan makanan western, jepun dan thai.

Perjalanan yang agak jauh ke Sierra Cafe. "Sejak di dalam bas tertanya-tanya kalau dah berjalan sejauh ini untuk makan malam, kalau tak sedap tak tau la nak cakap apa.. " Sebaik sahaja menjejakan kaki ke restoran, terasa hawa sejuk kawasan bukit. Memang sejuk! Lain kali kalau nak makan di sini kena bawa jaket atau baju lengan panjang!

Alhamdulillah makanannya cukup sempurna dan sedap! Di sebabkan kumpulan kami ini agak ramai, ada sedikit kekeliruan tentang makanan yang dipesan tetapi tetap tidak menjejaskan suasana gembira sepanjang berada di situ. Suasana yang nyaman dan sejuk berlatar belakang Bandung dari atas bukit menyerlahkan keindahan Bandung di waktu malam!

Selesai makan malam kami kembali ke hotel penginapan untuk merehatkan badan setelah penat berjalan dan membeli belah. Walaupun letih, kami seronok dan gembira.


10 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 1

Seperti tahun-tahun yang lepas "Company Trip" menjelma kembali. Kali ini destinasinya ialah Jakarta dan Bandung. Kami bertolak ke Jakarta pada 01/08/2009 menaiki penerbangan Tiger Airways TR272 dari Changi, Singapura. Penerbangan berlepas tepat pada pukul 4:35 petang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan teratur.



Kami selamat tiba pada pukul 6:10 petang di Soekarno Hatta. Oleh kerana Jakarta sejam lewat dari waktu Malaysia, kami sebenarnya tiba pada pukul 5:10 petang Waktu Indonesia Barat. Err jimat sejam la konon²nya.


Sebaik tiba, kami meneruskan perjalan ke Bandung dengan menaiki bas. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 3 jam setengah dan amat meletihkan. Mujur semasa dalam perjalanan, pemandu pelancong iaitu Bapak Irwan sentiasa memberikan penerangan yang agak menarik mengenai Indonesia secara amnya. Selain dari itu kami juga "berkaroake" secara paksa sepanjang perjalanan untuk menghindari kebosanan.


Tiba di Bandung kira-kira pukul 9:00 malam dan terus menuju ke Restoran Dapur Sangkuriang untuk menikmati makan malam dan bertemu dengan rakan-rakan kami dari Kumpulan pertama yang telah pun sampai ke sana 2 hari sebelumnya.

Makan malam yang lewat sebenarnya buat kami. Walaupun Waktu Indonesia Barat baru menunjukkan pukul 9:00 malam, sebenarnya kalau mengikut waktu Malaysia telah pun pukul 10:00 malam!


Makanan yang dihidangkan berasaskan masakan Sunda. Oleh kerana makan malam pun sudah agak lewat, kebanyakkan dari kami sudah pun hilang selera untuk makan! Bagi yang berselera pula, tak sempat nak menikmati keenakan makanan yang dihidangkan dek kerana terlalu lapar! Misi yang paling penting ialah "telan" secepat mungkin!

Setelah semuanya "selesai", kami pun menuju ke hotel untuk "check in" kira-kira jam 11:30 malam. Lega bila dah dapat masuk ke bilik untuk merehatkan badan. Jumlah jam keseluruhan dari Johor Bahru ke Bandung ialah 10 jam! Perjalanan yang amat panjang dan amat memenatkan untuk hari pertama tetapi berbaloi.