31 March, 2010

Blog Ini Sudah Berusia 6 Tahun!

Bulan April 2010, blog ini genap berusia 6 tahun! Itu tidak termasuk dengan beberapa halaman peribadi yang dibangunkan di Geocities dan Lycos. Kalau dicampur kesemuanya iaitu sejak mengenal dunia internet dan html, sudah lebih dua belas tahun mungkin. Secara spesifiknya berblog, sudah enam tahun!

Bermula dengan keseronokkan mencuba perkara baharu dan kemudiannya membuat beberapa "entry" tentang Nurin Iman. Blog ini pada awalnya terhad pada cerita berkenaan Nurin Iman sahaja selama beberapa tahun. Memang diakui Nurin Iman ialah pendorong untuk Aku berblog kerana ada sahaja keletahnya untuk dirakam dan diulas

Selama bertahun-tahun Aku tidak memandang blog ini secara serius. Menulis bila suka atau bila ada idea serta meninggalkannya dan kadang-kala terlupa blog ini wujud! Akhirnya pada akhir tahun 2009, Aku mengambil keputusan untuk membuat beberapa perubahan, terutamanya dari segi gaya penulisan menjadi lebih serius, lebih rasmi dan mengutamakan Bahasa Kebangsaan. Berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan bahasa rojak.

Untuk makluman, URL asal blog ini ialah http://cakkkkkkkkkk.blogspot.com yang dirasakan terlalu panjang dan sukar untuk diingati berdasarkan daripada respon dan teguran daripada rakan-rakan. Kemudian, Aku terfikir untuk menggantikkan URL yang panjang itu dengan yang lebih ringkas untuk mudah diingati. Segeralah Aku mencarinya..




Domain Name

Akhirnya "Domain Name" yang diidam-idamkan dapat diperolehi daripada http://www.co.cc, maka bermulalah blog  Anif.. Version 2.0 menggantikan tajuk dan tema lama,  Cakkkkkkkkkk!!!  - Life Little Surprises. - Rujuk "entry ini" - http://www.anif.co.cc/2010/01/domain-name-baru-yey.html

Gaya Penulisan

Sebenarnya gaya penulisan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa blogger tegar yang telah diikuti sejak beberapa tahun yang lepas. Antaranya ialah abdullahjones, I am Stradust, The Wierd, The Fat & The Ugly, Adrina Adi dan lain-lain.  Aku sukakan gaya selamba penulisan mereka seolah-olah apa yang mereka fikirkan terus diterjemah ke keyboard untuk membentuk identiti penulisan tersendiri. Unik!

Mungkin cerita mereka biasa-biasa sahaja tetapi apa yang paling penting didalam kebiasaan pastinya tetap ada keistimewaan.

3 Column Layout

Berkenaan dengan format "3 Column Layout" , pertama kali Aku melihatnya ialah di blog The Wierd, The Fat & The Ugly, sejak itu Aku menyukai format "3 Column Layout" ini kerana ia memberi banyak ruang untuk melakukan susun atur dan memaparkan maklumat yang diinginkan di dalam satu halaman. Sehingga kini Aku masih lagi mengekalkan format "3 Column Layout" di blog ini.

Font

Blog ini pada asalnya menggunakkan font Arial dan sans-serif. Pada awal Februari 2010, Aku menukarnya kepada Comic Sans Ms Font.

Widgets

Dahulu blog ini dipenuhi dengan pelbagai "Widgets" yang menyebabkan "page loading" agak lambat. Akhirnya Aku mengambil keputusan untuk membuang "Widgets" yang dirasakan tidak perlu dan menggantikkan dengan yang penting sahaja untuk kelihatan lebih ringkas dan mempercepatkan "page loading".

Mozilla Firefox 

Blog ini cantik dan elok rupa parasnya bila dipaparkan menerusi pelayar Mozilla Firefox. Jika menggunakkan Internet Explorer terdapat beberapa masalah berkaitan dengan "font","link" dan "column" yang tidak dapat dipaparkan dengan betul.

Selain daripada itu blog ini juga serasi dengan Chrome dan Safari.

Mungkin ada satu dua perubahan yang bakal dilakukan di blog ini pada masa akan datang tetapi buat jangka masa terdekat ini Aku cukup berpuas hati dengannya. Walau apa pun "Blog Ini Sudah Berusia 6 Tahun!" Alhamdulilah, Aku masih lagi diberi kekuatan untuk menulis.


30 March, 2010

Bazar JB - Kami Kembali!

Sebaik sahaja meninggalkan dari Restoran Sedap Corner, kami terus menuju ke Danga Bay. Lebih kurang setengah jam di sana, kami dapati tiada apa yang menarik. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk Bazar JB. Kali terakhir ke sana ialah sekitar Februari 2009 - http://www.anif.co.cc/2009/02/bazar-jb.html

Pada masa itu memang tidak ramai peniaga berniaga di situ tetapi kini bilangan peniaga semakin bertambah dan keadaan mulai sesak. Bila sudah ramai peniaga dan pengunjung, tempat meletak kenderaan pula menjadi satu masalah besar!




Walaupun bilangan peniaga sudah bertambah, pihak Majlis Badaraya sentiasa mengawas dan menyelia kawasa bazar. Hasilnya peniaga berniaga di kawasan yang teratur dan sentiasa dipantau kebersihannya. Selain itu, Aku dapati bahawa pihak Majlis Bandaraya juga telah menyediakan tandas awam, berbeza ketika mula-mula ia diperkenalkan. Jadi masalah tandas awam bukanlah masalah lagi bagi pengunjung dan peniaga di situ.


Seperti biasa, Aku lebih berminat dengan barangan lama yang di jual di situ. Nampaknya sekarang ini semakin banyak peniaga yang menjual pelbagai barangan terpakai. Cuma masa sahaja yang tidak mengizinkan untuk Aku "explore" semuanya.


Tetapi apa yang lebih menarik perhatian ialah peniaga yang menjual permainan terpakai. Nampaknya sekarang, bilangan mereka juga telah bertambah sekali ganda.

Sudah pastilah yang paling gembira ialah Nurin Iman dan Nurin Amani. Walaupun sudah diberikan lampu hijau untuk membeli, mereka tidak tahu mana satu yang hendak dipilih! Akhirnya Nurin Iman mendapat apa yang dihajatinya selama ini iaitu "Mini Wardrobe & Bed" untuk barbie dan Nurin Amani mendapat telefon "Sesame Street" dengan harga yang amat berpatutan.




29 March, 2010

Sedap Corner

Hari Jumaat lepas kami sekeluarga makan di luar lagi. Kali ini memang berhajat sungguh untuk membawa Emak dan Abah makan di luar disebabkan esok (sabtu) Emak akan balik ke kampung dan keduanya kerana petang tadi Aku menerima "slip gaji" yang tercatat didalamnnya final bonus untuk tahun 2009 sebanyak ehem.. ehem.. Alhamdulillah!

Semoga ekonomi Malaysia bertambah makmur dan menunjukkan aliran positif didalam KDNK untuk sepanjang tahun 2010.




Bagi pekerja swasta perkara yang paling menarik setelah setahun bertungkus lumus bekerja ialah menerima bonus serta kenaikkan gaji (jika ada) yang setimpal dengan usaha dan kesanggupan pihak majikan tanpa prejudis mengeluarkan bonus walaupun keadaan ekonomi semasa masih lagi tidak menentu.


Kali ini kami makan di Restoran Sedap Corner di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru bedekatan dengan Thistle Hotel.  Lokasinya memang mudah untuk dicari, cuma sekarang ini dikawasan tersebut ada kerja pembinaan jambatan baharu. Jadi keadaan sekelilingnya agak kelam-kabut sedikit!

Sudah hampir dua minggu Emak dan Abah berada di sini, ada baiknya jika kami membawa mereka makan di tempat yang mempunyai suasana yang berlainan. Maklumlah kerja-kerja mengubahsuai rumah masih lagi berjalan dan keadaan di rumah pun masih tidak berapa selesa.


Aku dan Azza memesan "Chicken Chop" manakala Abah memesan "TomYam Seafood" beserta "Nasi Goreng Kampung" manakala Emak memesan "Radna Crispy Meehoon", Kids Meal untuk Nurin Iman dan Nurin Amani.


Berdasarkan daripada respon Abah, beliau mengatakan bahawa makanan di situ sedap kerana mereka menggunakan bahan-bahan yang segar dan bermutu. Bila Abah bercakap pasal makanan, pendapatnya harus diambil perhatian kerana di kampung, Abah biasa memasak untuk majlis perkahwinan dan sebagainya. Kalau tukang masak kampung kata sedap memang sedaplah!

Selepas makan kami ke JB Bazar.

28 March, 2010

Budak Lelaki Tidak Bawa Payung.. Ok!

Semasa bersekolah rendah, Aku berjalan kaki ke sekolah. Teringat ketika itu sewaktu musim hujan. Selalunya apabila hujan Abah akan hantar Aku ke sekolah tetapi tidak pada hari itu. Emak memberikan payung untuk Aku gunakan ke sekolah.

Memanglah pada mulanya Aku tidak kisah tetapi apabila sampai ke sekolah Aku dapati semua budak lelaki tidak membawa payung. Mereka sebalikya menggunakan baju hujan dan ada sesetengahnya memakai jaket.



Sejak dari hari itu, Aku berasa sangat malu untuk membawa payung ke sekolah. Malah Aku lebih rela basah dari menggunakan payung! Dalam masa yang sama Aku meminta Abah membelikan sepasang baju hujan.

Budak lelaki tidak bawa payung..Ok! Memang sungguh tidak "cool"! Lagipun payung itu bercorak bunga-bungaan memang tidak sesuai dengan jiwa.


27 March, 2010

Mozilla Firefox 3.6.2

Mozilla 3.6.2 telah pun sedia untuk dimuat turun. Didalam versi ini segala "bug" yang diketahui wujud pada versi 3.6 telah pun diperbaiki. Rujuk entry terdahulu berkenaan bug pada Mozilla Firefox 3.6 -  http://www.anif.co.cc/2010/02/mozilla-firefox-36-bug-found.html




Sebaik sahaja mengetahui bahawa browser ini telah sedia dimuat turun, Aku segera mengemaskini Mozilla Firefox 3.5.8 ke versi terbaharu iaitu versi 3.6.2 dan terus mengujinya. Sehingga sekarang semuanya baik-baik sahaja. Tiada "bug" dan Aku sangat gembira!

26 March, 2010

Selamat Menyambut Hari Lahir

Selalunya bila kami menyambut hari lahir, kami hanya meraikannya secara kecil-kecilan. Tetapi tahun ini ia agak berbeza sedikit kerana disertai oleh emak dan abah. Kami meraikannya secara ringkas yang boleh iaitu dengan makan di luar.



Mungkin sudah menjadi tradisi keluarga kami untuk makan disitu setiap kali menyambut hari lahir Azza. Daripada sejak baharu kahwin sehinggalah sudah beranak dua. Bila sudah jadi tradisi memang sukar untuk diubah! Rasa macam ada yang tidak kena kalau tidak ke sana lagi.

Walaupun menyambutnya di tempat yang sama setiap tahun, suasananya sudah pasti berbeza. Kalau dahulu kami berdua, kemudiannya kami bertiga dan sekarang kami sudah berempat!

Asalkan mereka gembira terutama Azza, sudah cukup untuk membuat Aku gembira. Lagipun apa lagi didalam hidup yang lebih berharga selain dari kegembiraan dan kebahagiaan?


Apa yang pasti ialah perjalanan hidup kami masih lagi panjang. Banyak lagi rintangan yang perlu dihadapi.

25 March, 2010

Kerana Wang, Sanggup Lakukan Apa Sahaja!

Sebenarnya Aku sudah lama hendak menulis berkaitan perkara ini sewaktu media massa di negara kita ini heboh memberitakan tentang sindiket yang memperdayakan warga tempatan untuk menjadi "keladi dadah".

Setelah membaca beberapa cerita yang keluar dipaparan akhbar arus perdana, Aku dapati hampir kesemuanya mempunyai jalan cerita yang lebih kurang serupa. Sama ada mereka tertipu, diperdaya atau dengan kerelaan melakukan tugasan tersebut semuanya berpunca dari masalah kewangan.





Kemudian Aku terlihat pula satu rancangan televisyen di TV3 yang bertajuk Bang Bang Boom. Terdapat satu segmen dimana para peserta diberikan imbuhan dalam bentuk wang jika berjaya melakukan sesuatu tugasan yang dianggap pelik, bersifat mencabar serta memalukan dan diberi saguhati serendah RM10!

Apa kaitan antara "keldai dadah" dan Bang Bang Boom? Rancangan televisyen tersebut sebenarnya mengesahkan teori bahawa di luar sana terdapat segolongan manusia yang sanggup melakukan apa sahaja, asalkan imbuhan yang bakal diterima dirasakan amat setimpal.

Pendek kata "Kerana Wang, Sanggup Lakukan Apa Sahaja!". Jadi apa yang pelik?

24 March, 2010

Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan.. Part 2

Sambungan daripada "entry" Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan - Part 1. Berkenaan sakit lutut yang Aku alami. Penyelesaiannya:

Selain berusaha mengawal BMI ketahap sepatutnya, pemilihan kasut juga memainkan peranan penting.   Kalau dahulu, boleh dikatakan yang Aku ini memang obses dengan 'Oxford Shoe". Maklumlah kasut jenis ini cantik dan mudah dikilatkan tetapi kalau dipakai terlalu lama, bahagian tumit dan lutut akan menjadi sakit. Sekarang Aku telah cuba sedaya upaya untuk tidak memakai "Oxford Shoe" ketika bekerja.




Jadi kasut yang menjadi pilihan tentunya bertapak getah dan tidak bertumit. Selesa untuk melakukan tugasan seharian.

Untuk bersantai, Aku memilih kasut sukan daripada kategori "Cross Training" ataupun "Running/Trail" kerana kasut jenis ini sesuai diguna untuk pelbagai displin sukan dan tapaknya juga amat lasak sesuai untuk pelbagai permukaan. Jadi ia juga sesuai untuk digunakan untuk beriadah atau bersantai.

Aku perhatikan ramai diantara kita membeli kasut sukan hanya berdasarkan reka bentuk luaran dan trend semasa, bukannya disebabkan fungsi. Kesilapan yang sama pernah Aku lakukan semasa usia diakhir belasan tahun dan semasa usia dua puluhan iaitu membeli kasut "basketball" walaupun Aku tak pernah minat untuk bermain "basketball"!

23 March, 2010

Dial 112 Untuk Kecemasan

Semalam ketika makan tengahari di kafeteria, seorang rakan tidak dapat membuat panggilan telefon kerana panggilan keluar telah disekat!  Aku katakan padanya dalam keadaan kecemasan panggilan ke nombor 112 boleh dilakukan. Beliau segera mendail 112 untuk memberitahu masalahnya. Kemudian..

Rakan: Eh nombor apa yang ko suruh dail tu?
Aku: Itu nombor untuk membuat panggilan kecemasan.
Rakan: Haa? Patulah dia tanya apa yang kecemasannya?


Memang ramai yang tidak mengetahui untuk membuat panggilan kecemasan melalui telefon bimbit, nombor 112 boleh digunakan. Selepas itu pihak penyedia rangkaian seperti Celcom, Maxis, Digi dan lain-lain akan menyambungkannya ke agensi yang berkaitan seperti Polis, Hospital atau Bomba.




Perkara yang menarik tentang nombor 112 ialah panggilan juga boleh dibuat tanpa menggunakkan "kad sim" atau telefon terbut dikunci "key pad"! Maksudnya jika kita mempunyai telefon bimbit lama yang sudah tidak digunakan tetapi masih berfungsi ianya boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan. Cuma perlu sentiasa pastikan baterinya sentiasa bercas penuh. Manalah tahu sekiranya terdapat situasi kecemasan, telefon lama itu akan menjadi penyelamat keadaan.

Selain daripada itu, panggilan hanya dapat dibuat dikawasan yang mempunyai liputan sahaja daripada mana-mana penyedia rangkaian.

Oh! Situasi kecemasan yang Aku maksudkan ialah yang benar-benar memerlukan bantuan contohnya kemalangan, kebakaran dan sebagainya. Tidak membayar bil telefon bimbit atau kehabisan kredit "pre paid" bukan kecemasan ya!

Rujuk Wiki - http://en.wikipedia.org/wiki/Emergency_telephone_number

22 March, 2010

Italian Cookware Collection

Ingatkan sudah tidak dapat hendak menebus "Italian Cookware Collection" sebab beberapa hari hendak tamat tempoh promosi masih ada beberapa setem yang belum lengkap. Namun sebaik sahaja tarikh tutup kami berjaya mengumpul semua setem untuk penebusan yang paling minimum.




Setelah berjaya melengkapkannya, kami pun segera ke Giant berhampiran untuk menebus barang tersebut tetapi kami hampa selepas diberitahu bahawa barang tersebut tiada dalam stok. Walau bagaimanapun kami diminta untuk meninggalkan butiran peribadi dan nombor telefon. Jika stok barang tersebut telah sampai, pihak Giant akan menghubungi kami untuk menebus barang tersebut.

Bila sudah diberitahu demikian, kami seperti sudah tidak berapa yakin dengan promosi tersebut. Maklumlah sebelum ini kami juga pernah mengalami kes yang lebih kurang sama tetapi di hypermarket lain, tetapi tiada tindakan langsung untuk menghubungi pelanggan walaupun butiran peribadi sudah ditinggalkan.

Seminggu selepas itu Azza mendapat panggilan telefon yang memberitahu barang yang hendak ditebus itu sudah ada di dalam stok mereka. Nampaknya jangkaan kami silap, perkhidmatan pelanggannya memang menjalankan tanggungjawa dengan baik.

Kami segera ke Giant. Selesai menyerahkan setem dan membuat pembayaran, akhirnya kami dapat membawa pulang kuali menggoreng tidak melekat yang comel itu!



21 March, 2010

Nurin Amani Bersama Atuk

Hari ini kami pergi ke Kip Mart, Tampoi untuk berbelanja barangan dapur. Kip Mart merupakan antara destinasi biasa untuk kami sekeluarga berbelanja. Minggu ini agak berbeza sedikit kerana kami ditemani oleh Emak dan Abah. Sudah hampir seminggu mereka berada di sini.




Nurin Iman dan Nurin Amani, sangat gembira kerana Uwan dan Atuk sentiasa melayan kerenah mereka. Antara mereka berdua, Nurin Amani yang paling manja. Setiap kali bangun tidur terus mencari Atuk!



Lihatlah gayanya bersama Atuk kesayangan ketika berada di Seng Kopitiam, sementara menunggu emaknya membeli sayur di gerai berhampiran.



20 March, 2010

Mata Gergaji Pun Perlu Diasah

Sepanjang minggu ini, keadaan di rumah memang agak bersepah dan kelam kabut kerana bahagian belakang rumah kami sedang diubahsuai. Sudah hampir seminggu kerja-kerja dilakukan dan kini hampir tujuh puluh peratus siap.

Terima kasih tak terhingga buat Abah kerana sudi melaksanakan projek ini. Aku hanya sempat menolongnya untuk dua hari. Hari-hari yang lain dia melakukannya seorang diri. Abah memang cukup bertenaga biarpun usianya sudah melepasi umur orang pencen. Tidak terikut bagi kita yang bekerja di pejabat.





Petang semalam beliau meminta Aku pergi membelikannya pengasah mata gergaji (kikir) di kedai "hardware" berdekatan. Eh! Gergaji pun kena diasah juga matanya. Aku ingatkan hanya pisau atau parang sahaja yang perlu diasah. Tidaklah semahal mana, hanya lima ringgit harga pengasah (kikir) tersebut.

Nampak sangatlah Aku ini jahil ilmu pertukangan tetapi sekarang Aku sudah tahu..


19 March, 2010

Bermain Routing Statement..

Projek yang tertangguh sejak sebulan yang lalu berjaya diselesaikan. Kegagalan pada peringkat pertama ujian "conectivity" berpunca daripada kekurangan beberapa buah peralatan telah pun berjaya diatasi dengan kerjasama "vendor". Aku amat berpuas hati kerana kali ini ujian berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan kekeliruan memahami "Network Diagram".




Penambahan dua buah "router" dan empat buah "switch" ke dalam network untuk projek terbaharu memang benar-benar mencabar minda. Hari ini Aku letih bermain-main dengan "routing statement".

Alhamdulillah peringkat ujian sudah selesai. Bulan hadapan, peringkat seterusnya ialah implementasi.


18 March, 2010

Hari Jadi Mak Ngah..

Cuti Hari Raya Cina yang lepas Kami sekeluarga balik ke kampung. Alhamdulillah, semua adik beradik juga ada. Bukan senang untuk meluangkan masa dan berkumpul beramai-ramai. Kebetulan esoknya ialah Hari Jadi adik Aku yang kedua dan kami pun sepakat untuk meraikannya dan membuat acara bakar-membakar (BBQ) dengar kadar segera tanpa dirancang.

Selamat Hari Jadi Mak Ngah yang ke 32 tahun!




Yang paling seronok tentulah cucu-cucu yang seramai enam orang itu. Bermain dan berlari sehingga tak terdaya ibu dan bapa mengawalnya. Tahun ini akan bertambah lagi dua ahli baru dalam keluarga, Insyallah. Daripada enam akan menjadi lapan!

Pakar BBQ dalam keluarga.. Pak Ngah!

Sekali sekala dapat berkumpul dengan adik beradik memang menyeronokkan. Banyak perkara hendak diceritakan.

Atuk tak terlayan kerenah cucunya!

17 March, 2010

Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan - Part 1

Bila usia sudah masuk pertengahan tiga puluhan, fisiologi tubuh sedikit sebanyak pun turut berubah tanpa kita sedari. Tubuh tidak selasak seperti ketika berusia dua puluhan. Banyak perkara-perkara yang dahulu kalau terjadi tidak memberi kesan sangat pada tubuh.

Sebenarnya ini entry ini berkenaan sakit lutut yang Aku alami sejak usia masuk ke julat tiga puluhan. Rasanya tahun 2008 paling banyak Aku berjumpa Doktor untuk melegakan sakit lutut yang Aku alami. Seingat Aku, tiada perkara atau kerja yang Aku buat yang boleh mencederakan bahagian lutut atau kaki. Aku juga mengelak untuk bermain futsal walaupun amat meminatinya semuanya gara-gara ingin menjaga lutut.

Aku mengambil keputusan untuk melakukan CT Scan di sebuah hospital swasta untuk mendapatkan jawapan. Asyik ke klinik dan memakan pil penahan sakit hanya penyelesaian sementara. Aku perlukan jawapan atau penyelesaian tentang masalah yang Aku hadapi.

Setelah dua hari menjalani pemeriksaan di hospital dan menjalani beberapa ujian, akhirnya keputusan yang dinantikan berada di tangan doktor.

Doktor: Lutut awak ada kecederaan lama.
Doktor: Ada "hairline crack".
Doktor: Kecederaan itu sudah pulih sendiri.
Doktor: Tetapi tempurung lutut itu ada sumpik sedikit.
Doktor: Awak pernah mengalami kemalangan?
Aku: Oh! Baru Saya ingat! Dulu pernah jatuh motor tahun1994!
Aku: Tetapi itu sudah lama. Kenapa baru sekarang Saya rasa sakit? 
Doktor: BMI awak sekarang tidak sesuai. 
Doktor: Dahulu awak kurus, sekarang berat badan sudah meningkat.





Alhamdulillah, Aku sudah dapat jawapan dan penyelesaiannya. Lutut Aku sakit kerana kecederaan lama. Dahulu tidak merasa sakit kerana Aku kurus. Setelah berat badan meningkat tekanan ke atas lutut pun turut meningkat ditambah lagi dengan kecederaan lama menyebabkan Aku merasa sakit. Penyelesaiannya, Aku perlu mengawal berat badan selari dengan BMI. Jika berada di sekitar BMI, Insyallah lutut Aku tidak sakit.

Bila sudah masuk ke usia tiga puluhan, banyak tindak balas tubuh seperti memberitahu kita sesuatu. Jika ada yang tidak kena, berbuatlah sesuatu. Jangan dibiarkan.

Sekarang kami sekeluarga sudah mula berjogging.



16 March, 2010

Apa Itu Ontok-Ontok?

Kadang-kadang bila Azza marahkan Nurin Iman, ayat-ayat pelik akan keluar! Minggu lepas, beliau memperkenalkan satu perkataan baru yang sebelum ini Aku pun tak pernah dengar. Perkataan yang dimaksudkan ialah "ontok-ontok".






Apa itu "ontok-ontok"?  Ontok-ontok sebenarnya bermaksud "diam-diam" dalam bahasa Negeri Sembilan. Contoh penggunaan,

"Nurin Iman duduk ontok-ontok!"  bermaksud " Nurin Iman duduk diam-diam".

Isteri Aku orang Negeri Sembilan. :D



15 March, 2010

Mee Rebus Tetapi Lain..

Untuk mengenali budaya setempat, perkara pertama ialah mencuba makanannya. Adat orang merantau tentulah mahu mengetahui dan mencuba sesuatu yang baharu. Dalam keseronokkan bertemu dan mencuba perkara baharu tiba-tiba terdetik seketika, rindu dengan masakan asli Johor!

"Eh! Dah lama lah tak makan Mee Rebus!"  
"Mana nak cari Mee Rebus di Bandar Kuantan?"

Terus teringatkan Benteng, Medan Selera dan barisan gerai-gerai menghadap Sungai Kuantan yang cantik itu. Tidak berapa pasti sekarang, masih ada lagi gerai-gerai tersebut atau tidak. Kali terakhir ke sana tahun 1998! Dipendekkan cerita, Aku dan seorang rakan terus menuju ke sebuah gerai dan bertanya sama ada di situ ada menyediakan Mee Rebus. Alhamdulillah ada.  Maka berseronoklah seketika sehinggalah Mee Rebus yang ditunggu-tunggu itu sampai..

"Eh! Kenapa mee rebus ini lain macam aje?"
"Rupanya macam Mee Sup"
"Rasanya pun macam Mee Sup"  

Tidak mengapalah mungkin pelayan gerai tadi itu tersalah tulis. Aku dan rakan makan Mee Rebus yang mempunyai rasa Mee Sup dengan tanpa banyak soalan. Malas nak bising-bising tidak tentu pasal di negeri orang. Lagipun baru sebulan kami di Kuantan, sedang berusaha menyesuaikan diri dengan bahasa, makanan dan persekitaran.




Seminggu kemudian. Aku dan rakan yang sama sekali lagi ke Benteng untuk makan Mee Rebus. Kali ini kami mencuba gerai yang lain pula. Seperti biasa, kami bertanya dahulu samada di situ ada menjual Mee Rebus atau tidak. Kali ini kami pastikan bahawa kami tidak tersalah membuat pesanan. Tetapi apabila hidangan yang dinantikan tiba.. Eh! Mee Sup lagi!!

Keesokkan harinya kami berjumpa dengan seorang rakan sekuliah, orang tempatan. Kemudian kami menceritakan pengalaman kami mengenai Mee Rebus itu. Sebelum menjawab dan menerangkan perihal Mee Rebus itu beliau mentertawakan kami..

"Oh! Di sini kami dok panggil Mee Rebus.. Kami panggil Mee Jawa!"
"Mee Rebus di sini ialah Mee Sup"

Ciss!! Patutlah kami dapat Mee Sup setiap kali kami memesan Mee Rebus. Rupa-rupanya orang tempatan merujuk Mee Rebus sebagai Mee Sup. Manakala Mee Rebus stail Johor, ialah Mee Jawa!


14 March, 2010

Ingatkan Telur Ikan...

Aku bukanlah seorang yang "adventurous" bila berbicara tentang makanan. Kurang keinginan untuk mencuba makanan lain. Mungkin disebabkan Aku sebenarnya selesa makan di rumah berbanding dengan makan di luar. Terlanjur bercerita tentang makanan, teringat ketika Aku bekerja di Kuantan. Sewaktu itu, Aku keluar untuk makan tengahari. Seorang rakan mencadangkan supaya kami makan di Benteng. Kawasan medan selera yang cantik berlatar belakangkan Sungai Kuantan, bersebelahan Stesen Bas Lama Bandar Kuantan.

Aku diberitahu bahawa di negeri Pahang, memang kaya dengan hasil sungai seperti ikan sungai dan ulam-ulaman. Dipendekkan cerita apabila sampai di gerai yang dimaksudkan, kawan yang seorang tadi itu terus mengambil nasi beserta ulam-ulaman dan telur ikan. Menurutnya telur ikan sungai itu sukar didapati, kebetulan ia ada di gerai itu dan terus mengambilnya. Aku mengiyakan sahaja katanya kerana Aku memang tidak berani mencuba walaupun nampak menyelerakan. Tidak mengapalah nanti kalau Aku sudah bersedia mungkin Aku akan mencubanya, tetapi untuk hari itu Aku lebih berselera untuk makan nasi berlaukkan ayam goreng berempah yang tidak kurang hebatnya.

Kawan yang seorang itu makan dengan penuh berselera, maklumlah telur ikan yang "raw" serta jarang-jarang didapati pasti sedap dan bertuah dapat menikmatinya. Setelah selesai menjamu selera, tiba masa untuk membuat pembayaran. Kawan yang seorang itu terus memanggil pembantu kedai untuk mengira.

Pembantu Kedai:  Encik makan apa tadi?
Aku: Nasi dengan Ayam Goreng Berempah..
Kawan yang seorang itu : Nasi dengan ulam dan telur ikan!
Pembantu Kedai: Eh Encik mana ada Telur Ikan! 
Kawan yang seorang itu: Eh yang ada atas rak tadi itu apa?
Pembantu Kedai: Ooo.. yang itu bukan Telur Ikan, itu Otak Lembu!
Aku dan Kawan yang seorang itu:  ??? (Sambil terlopong!)




Otak lembu? Memang tak tefikir langsung nak makan otak lembu hari itu! Kawan yang seorang itu lagilah terkejut kerana beliau memang mati-mati menyangkakan bahawa itu adalah telur ikan berdasarkan rupa sajian dan cara masakkannya. Lagipun beliau orang tempatan, tentulah sangat arif membezakan antara telur ikan dan otak lembu! Err.. Aku rasa la..

Aku sempat bertanya pada kawan yang seorang itu macam mana rasanya? Jawappannya mudah.."Sedap" semasa dia menyangka itu adalah telur ikan.. dan rasa "Loya" bila tahu yang itu adalah Otak Lembu! Bila sampai di pejabat, Aku terus kunci mulut dan cerita tersebut untuk tidak mengaibkan sesiapa. Maklumlah pakar makanan Negeri Pahang sudah tertipu!

Oh! Kalau ingin makan "Otak lembu" .. Aku tahu gerainya..

Foto, kredit - (Otak Lembu Masak Sambal) http://norrey.fotopages.com/?entry=845177


13 March, 2010

Gameboy Vs Gamegirl

Kami ada dua unit Gameboy Advance SP. Memang Aku sengaja membelinya dahulu kerana ia tahan lasak dan banyak permainan "retro". Kini, Nurin Iman juga selalu bermain dengannya.

Sambil dia bermain dengan Gameboy, Dia bertanyakan satu soalan yang Aku tidak dapat menjawabnya...

Nurin Iman: Abah kenapa nama dia Gameboy?
Aku: Memang dah itu nama yang diberi.. 





Aku: Kalau bukan Gameboy nak letak nama apa?
Nurin Iman: Gamegirl!
Aku: ??

Jumpa Pakcik Wiki untuk mencari jawapannya - dan sumber dari Wikipedia -  "known as the "Tata Game Boy". It is the first handheld console in the Game Boy line, and was created by Gunpei Yokoi and Nintendo's Research and Development 1—the same staff who had designed the Game & Watch series as well as several popular games for the Nintendo Entertainment System."


12 March, 2010

Pelik Dan Unik Tetapi Tidak Menyakitkan Telinga

Ulasan Album Space Gambus Experiment yang dibuat tempohari  telah disiarkan kembali di Blog Encik Kamal Sabran. Untuk lebih lanjut - http://kamalsabran.blogspot.com/2010/03/space-gambus-experiment-pelik-dan-unik.html