Showing posts with label Budak Lelaki. Show all posts
Showing posts with label Budak Lelaki. Show all posts

10 April, 2010

Generasi X - 80an Yang Hebat

Generasi X merujuk kepada golongan yang lahir pada tahun 1964 hingga 1981. Aku adalah antara jutaan manusia yang tergolong didalam generasi ini. Mungkin Aku paling beruntung di dunia kerana dilahirkan pada tahun 1974. Kenapa agaknya ya? Bukannya apa, cuma samada perasan atau tidak? Aku mula bersekolah tadika pada tahun 1980 pada usia 6 tahun. Darjah satu pada tahun 1981. Darjah dua pada tahun 1982 dan seterusnya sehingga tahun 1986 di darjah 6. Jadi, senang nak ingat! "Entry" ini menumpukan kisah yang berlatar belakangkan tahun 1980 sehingga 1986 secara spesifiknya.


Isu Semasa

Pada tahun 1974 banyak perkara telah berlaku di seluruh dunia. Antaranya ialah Krisis Minyak Dunia, pasukan bolasepak Jerman menang Piala Dunia, India berjaya menjalankan ujian nuklear untuk kali pertama, Presiden Nixon meletak jawatan berikutan Skandal Watergate, Perjanjian damai antara Israel, Syria dan Mesir, Muhammad Ali menewaskan George Foreman dalam perlawanan tinju di Zaire. Dalam tahun itu memang banyak perkara belaku di seluruh dunia dan kesannya mencorak perkembangan dunia sekarang. Yang pastinya sehingga  sekitar 1980an ekonomi negara kita masih lagi didalam kegawatan. Pakcik Aku yang tamat Universiti pun keluar tiada kerja. Oh! Pada masa itu Tun Mahathir baru dilantik menjadi Perdana Menteri.

Media

Perkembangan mutakhir pada zaman tersebut hanya boleh dicapai dan disebarkan melalui media arus perdana. Media alternatif belum wujud lagi. Alat yang paling penting ialah radio. Pemain berserta perakam radio kaset stereo mudah alih juga baru dikeluarkan pada masa tersebut dan amat popular. Bermulalah era dominan "Kaset" dan pertama kali mendengar istilah "cetak rompak" dan "Battle of The Band".


Aku mendengar lagu irama pop leleh dan permulaan era rock kapak. Kadang-kadang Pakcik dan Makcik Aku pasang kaset Micheal Jackson, Stevie Wonder, Wham dan Modern Talking! Cuma sekitar 1985 irama pop yeh yeh sedikit kembali menambat hati.

Majalah, Rancangan Radio Dan Siri Televisyen

Bersantai dengan membaca majalah Gila-Gila, Gelihati, Bujal dan kadang-kadang Bambino serta Al-Ain walaupun tidak berapa faham sangat isi kandungannya kecuali Bujal, Bambino dan Al-Ain.



Menonton rancangan kanak-kanak yang dihoskan oleh Wazata Zain, iaitu Cumi dan Ciki di RTM. Mengikuti rancangan kanak-kanak Kak Yong dan Abang Chik di radio RTM, mendengar drama radio paling popular No 5 Persiaran Satu di radio RTM, menonoton Captain Future setiap petang Jumaat.dan Ultraman setiap Sabtu. Captain Future dan Ultraman adalah antara siri kanak-kanak terawal yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu.




Istimewa bagi warga Johor Bahru ialah dapat mengikuti siaran radio dan televisyen dari Singapura. Setiap Ahad Aku berpeluang mendengar siaran LPMI - Lagu Pujaan Minggu Ini serta Rancangan Ada-ada Sahaja yang paling popular di Radio Singapura yang dihoskan oleh Adnan Maswan. Selain itu Mat Yo Yo dan Aksi Mat Yo Yo yang di hoskon oleh Mat Sentul di televisyen saluran SBC 5.

Pada malam hari pula  RTM akan menyiarkan siri popular dari Amerika seperti Starsky and Hutch, BJ and The Bear, The A-Team, Battlestar Galactica, High Chaparral, Combat dan Knight Rider. Haaaa yang paling best semua siaran televisyen tersebut ditonton menggunakan televisyen hitam putih kerana tidak semua keluarga ada televisyen berwarna yang sangat mahal harganya pada masa itu. Di kampung pada masa itu cuma ada beberapa keluarga yang mempunyai televisyen berwarna.

Stesyen swasta pertama di Malaysia juga telah memulakan siaran pada tahun 1984 dan siaran dipancarkan ke Johor  sekitar 1985. Pada masa itu siri paling popular di televisyen ialah McGyver hinggakan semua budak lelaki hendak menjadi sepertinya. Siri alih bahasa Jepun pun mula popular. Bermula dengan Oshin, The Ninja, Meoro Attack dan lain-lain. Tapi budak-budak biasalah, selepas menonton Mcgyver tentulah hendak menjadi Mcgyver dan selepas menonton The Ninja, semuanya hendak menjadi seperti Sasuka.

Abah membeli televisyen berwarna pertama kami pada tahun 1987, jenama Sharp kalau tak silap. Itu pun sebab televisyen lama yang hitam putih itu tidak dapat menerima siaran TV3. Jadi terpaksalah tukar. Selama TV3 bersiaran sejak 1985,  setahun Aku menumpang rumah jiran untuk menonton cerita McGyver selepas balik dari mengaji.

Fesyen, Trend Dan Gaya Hidup

Di alam persekolahan, kasut sekolah jenama Bata siri Badminton Master termasuklah BM2000 dan BM2000 Turbo merupakan kasut paling popular masa sekolah rendah. Kasut jenama Panda, Pallas Jazz dan Warrior pilihan pelajar lelaki di sekolah menengah.


Beg sekolah juga mempunyai fesyenya yang tersendiri. Sekitar 1985, beg sandang bahu dan dilengkapi dengan "guitar strap" amat popular di Johor Bahru. Pakailah apa sahaja bentuk beg.. Asalkan menggunakan "guitar strap" sudah kira amat "cool".


Menerima konsep makanan segera merupakan perubahan terbesar dalam hidup. Mcdonalds pertama di Johor di buka pada tahun 1985 di Holiday Plaza, Johor Bahru. Beef Burger dan French Fries adalah pesanan pertama Aku di situ. Beef Burger cuma berharga RM 0.99 pada masa itu. Pergi ke Holiday Plaza selepas Hari Raya kerana semasa Hari Raya dapat "Collection" banyak, setelah habis satu Kg Majidee Aku "round".

Makanan ringan yang paling popular ialah Kaka,Ding Dang, Mamee, Twisties, Chickedies dan Popo (ada logo baby kat plastik pembungkus). Kesemuanya masih ada di pasaran Malaysia sehingga kini kecuali Kaka. Pernah cuba mencarinya tetapi tak jumpa di pasaran.


Gadget

Gadget paling advance yang ada pada zaman itu untuk budak-budak ialah “Game N Watch”, keluaran Nitendo dan jam tangan digital Casio. "Game N Watch" pada masa itu sangat mahal. Di Johor Bahru pada masa itu tiada kedai menjualnya. Kalau hendak membelinya, terpaksa ke Singapura. Aku pernah minta permainan itu dari Abah tetapi seperti yang dijangka, jangan mimpilah!  Abah tidak akan beli permainan semahal itu untuk budak-budak.

Zaman itu juga popular dengan jam tangan digital Casio. Bagi ibu bapa yang berkemampuan pasti akan belikan anak mereka jam tangan tersebut. Harganya pun hmmm.. agak mahal juga. Aku dapat jam digital pertama tanpa jenama buatan Hong Kong yang tidak kalis air setelah dapat nombor 1 dalam exam masa sekolah rendah. Hadiah daripada Abah. Walaupun bukan dari Casio, ia tetap digital!

Pantang Larang

Semasa kecil, ketika berusia 6 atau 7 tahun, Aku masih ingat zaman itu “pantang” buka telesisyen waktu maghrib. Ibu bapa pada masa tersebut sangat berdisplin. Kalau tak mahu kena penampar janganlah sentuh televisyen waktu itu. Pada zaman itu juga, kalau ada hujan, guruh dan kilat, emak akan sibuk menutup cermin dengan kain. Kemudian mengeluarkan biskut lemak untuk di celup kedalam air teh panas…dan makan bersama-sama.

Kalau nak tidur pula, janganlah hendak mengada-gada, mahu letak bantal di kaki ataupun duduk di atas bantal, katanya nanti kena bisul.  Jangan buka payung di dalam rumah nanti ada ular masuk ke dalam rumah!


Dahulu Vs Sekarang

Sekarang siaran televisyen pada waktu Maghrib sangat meriah, Doreamon, Sinchan dan drama melayu ditayangkan. "Rasanya tiada orang yang tutup televisyen masa maghrib sekarang.."


06 April, 2010

Budak Lelaki Itu Kasutnya Tiada Saiz .. OK!

Memulakan alam persekolahan tentunya antara perkara terpenting didalam hidup. Aku seperti kanak-kanak yang lain sudah tentu sangat gembira untuk belajar di sekolah rendah sebaik sahaja tamat belajar di sekolah tadika. Setiap hari Aku akan bertanya kepada emak, "bilakah Aku akan dapat pergi ke sekolah rendah?" Biasanya emak hanya menjawab mudah, "bila buka penggal baharu persekolahan!" Oh! Emak memang jenis yang tidak banyak cakap.

Sebenarnya ada perkara yang paling emak risaukan kerana Aku sebenarnya tergolong dikalangan kanak-kanak lelaki yang sangat kecil saiz tubuh badannya. Teringat ketika itu emak sedang menjahit, seorang jiran bertanyakan kepadanya.

Jiran: Apa kakak buat tu?
Emak: Jahit baju dan seluar sekolah!




Ketika hendak masuk ke darjah satu, pakaian sekolah Aku emak yang menjahitnya kerana saiz Aku tiada dijual di kedai. Kalau masalah pakaian, memang emak boleh menyelesaikannya tetapi bila bab membeli kasut, memang memeningkan kepalanya.

Lupakan kasut Bata BM 2000 yang menjadi idaman kalbu. Hanya satu jenama sahaja yang mempunyai saiz yang paling kecil yang boleh dipakai walaupun tetap besar juga dan ianya dari jenama Fung Keong! Kasut kain bertapak getah bewarna hijau (kalau tidak silap) yang mempunyai hujung yang tirus! Aku benci kasut itu kerana tidak ada seorang pun rakan lain yang memakai kasut sama seperti Aku. Err lagipun macam kasut perempuan!

Gambar kasut tersebut ialah yang gambar paling hampir dengan kasut yang Aku maksudkan. Dimuat turun dari website FKR (Fung Keong Rubber Manufactory). Model yang Aku benci itu bertali. Mungkin tidak lagi dikeluarkan sekarang.



Oleh kerana Aku terlalu menginginkan kasut Bata BM 2000, akhirnya abah membelinya. Tetapi untuk memakainya ke sekolah, emak masukkan dahulu gumpalan kertas surat khabar di hadapan kasut. Helah dan tips menarik dari emak untuk anak lelakinya yang kasutnya tiada saiz!  Sungguh bangga ke sekolah dengan kasut Bata BM 2000 walaupun pada hakikatnya gaya Aku berkasut tidak ubah seperti "Ronald McDonalds"!


03 April, 2010

Budak Lelaki Tidak Bawa Beg Seperti Itu.. Ok!

Bila terlihat iklan Petronas di YouTube, tiba-tiba mata ini tertumpu pada beg sekolah yang dibawa oleh budak perempuan itu! Aku ada beg sepertinya.. memang serupa. Beg itu menjadi punca untuk Aku tidak mahu ke sekolah! Budak lelaki tidak membawa beg seperti  itu. Mereka membawa beg sandang belakang.


Nampaknya Aku sahaja yang membawa beg seperti itu ke sekolah untuk sepanjang penggal pertama persekolahan. Aku memang benci beg itu. Aku sentiasa menyatakan ketidakpuasan hati kepada emak dan meminta supaya dibelikan beg sandang belakang!


Hendak dijadikan cerita, pada satu hari ketika pulang dari sekolah dengan perasaan gembira beg yang dipegang itu terjatuh ke dalam sungai ketika Aku melintasinya.  Beg itu terus hanyut dan kemudiannya tersangkut di tepi tebing berpasir. Aku terus berlari balik ke rumah dan menceritakan kejadian tersebut kepada emak. Kebetulan ketika itu, seorang jiran ternampak kejadian itu dan segera turun ke sungai untuk mengambil beg tersebut dan menghantarnya ke rumah.





Perkara yang menarik tentang beg tersebut ialah, walaupun telah jatuh ke sungai ia terapung dan yang paling penting ialah isi kandungannya hanya sedikit basah!

Sejak itu Aku tidak ungkit lagi tentang hendak menukar beg, walaupun akhirnya emak dan abah membelikan beg sandang belakang bila masuk penggal kedua persekolahan.

Emak sentiasa tahu apa yang terbaik untuk anaknya.. Cuma anak tidak perasan. Aku rindukan emak, Al-Fatihah buatnya.


28 March, 2010

Budak Lelaki Tidak Bawa Payung.. Ok!

Semasa bersekolah rendah, Aku berjalan kaki ke sekolah. Teringat ketika itu sewaktu musim hujan. Selalunya apabila hujan Abah akan hantar Aku ke sekolah tetapi tidak pada hari itu. Emak memberikan payung untuk Aku gunakan ke sekolah.

Memanglah pada mulanya Aku tidak kisah tetapi apabila sampai ke sekolah Aku dapati semua budak lelaki tidak membawa payung. Mereka sebalikya menggunakan baju hujan dan ada sesetengahnya memakai jaket.



Sejak dari hari itu, Aku berasa sangat malu untuk membawa payung ke sekolah. Malah Aku lebih rela basah dari menggunakan payung! Dalam masa yang sama Aku meminta Abah membelikan sepasang baju hujan.

Budak lelaki tidak bawa payung..Ok! Memang sungguh tidak "cool"! Lagipun payung itu bercorak bunga-bungaan memang tidak sesuai dengan jiwa.