Aku bukanlah seorang yang "
adventurous" bila berbicara tentang makanan. Kurang keinginan untuk mencuba makanan lain. Mungkin disebabkan Aku sebenarnya selesa makan di rumah berbanding dengan makan di luar. Terlanjur bercerita tentang makanan, teringat ketika Aku bekerja di Kuantan. Sewaktu itu, Aku keluar untuk makan tengahari. Seorang rakan mencadangkan supaya kami makan di Benteng. Kawasan medan selera yang cantik berlatar belakangkan Sungai Kuantan, bersebelahan Stesen Bas Lama Bandar Kuantan.
Aku diberitahu bahawa di negeri Pahang, memang kaya dengan hasil sungai seperti ikan sungai dan ulam-ulaman. Dipendekkan cerita apabila sampai di gerai yang dimaksudkan, kawan yang seorang tadi itu terus mengambil nasi beserta ulam-ulaman dan telur ikan. Menurutnya telur ikan sungai itu sukar didapati, kebetulan ia ada di gerai itu dan terus mengambilnya. Aku mengiyakan sahaja katanya kerana Aku memang tidak berani mencuba walaupun nampak menyelerakan. Tidak mengapalah nanti kalau Aku sudah bersedia mungkin Aku akan mencubanya, tetapi untuk hari itu Aku lebih berselera untuk makan nasi berlaukkan ayam goreng berempah yang tidak kurang hebatnya.
Kawan yang seorang itu makan dengan penuh berselera, maklumlah telur ikan yang "raw" serta jarang-jarang didapati pasti sedap dan bertuah dapat menikmatinya. Setelah selesai menjamu selera, tiba masa untuk membuat pembayaran. Kawan yang seorang itu terus memanggil pembantu kedai untuk mengira.
Pembantu Kedai: Encik makan apa tadi?Aku: Nasi dengan Ayam Goreng Berempah..Kawan yang seorang itu : Nasi dengan ulam dan telur ikan!Pembantu Kedai: Eh Encik mana ada Telur Ikan! Kawan yang seorang itu: Eh yang ada atas rak tadi itu apa?Pembantu Kedai: Ooo.. yang itu bukan Telur Ikan, itu Otak Lembu!Aku dan Kawan yang seorang itu: ??? (Sambil terlopong!) Otak lembu? Memang tak tefikir langsung nak makan otak lembu hari itu! Kawan yang seorang itu lagilah terkejut kerana beliau memang mati-mati menyangkakan bahawa itu adalah telur ikan berdasarkan rupa sajian dan cara masakkannya. Lagipun beliau orang tempatan, tentulah sangat arif membezakan antara telur ikan dan otak lembu! Err.. Aku rasa la..
Aku sempat bertanya pada kawan yang seorang itu macam mana rasanya? Jawappannya mudah.."Sedap" semasa dia menyangka itu adalah telur ikan.. dan rasa "Loya" bila tahu yang itu adalah Otak Lembu! Bila sampai di pejabat, Aku terus kunci mulut dan cerita tersebut untuk tidak mengaibkan sesiapa. Maklumlah pakar makanan Negeri Pahang sudah tertipu!
Oh! Kalau ingin makan "Otak lembu" .. Aku tahu gerainya..
Foto, kredit - (Otak Lembu Masak Sambal) http://norrey.fotopages.com/?entry=845177