Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

11 May, 2010

Bookcafe..

Buku-buku yang dipesan melalui bookcafe.com.my telah pun sampai. Urusan pembelian dan pembayarannya  amat mudah dan cekap. Memang bagus bila ada penerbit tempatan yang mengambil inisiatif untuk menterjemah karya-karya professional ke dalam Bahasa Melayu.

Buku Kotler On Marketing yang dijual di Amazon berharga USD30.00, manakala yang dijual di Bookcafe cuma berharga RM25.50! Begitu juga dengan buku Law of Connection di Amazon dijual dengan harga USD18.99, manakala di Bookcafe cuma RM19.55. Di Bookcafe, Aku mendapat buku-buku dengan harga yang lebih murah dan dalam versi Bahasa Melayu.





Jika ada masa terluang buku-buku ini bakal dijadikan santapan minda. Bila membaca buku-buku dari Philip Kotler terasa seperti membaca buku teks! Oh! lupa.. ia memang pun sebuah buku teks!

10 May, 2010

Danga Bay

Anak-anak kalau sudah lama tidak dibawa berjalan-jalan akhirnya bersungut juga. Ada sahaja yang tidak kena semasa di rumah.

Kami bukannya tidak membawa mereka keluar rumah langsung tetapi bagi anak-anak istilah berjalan-jalan itu sangat spesifik, iaitu keluar berjalan-jalan (jangan buat perkara lain)!  Kalau kami keluar dan pergi ke pasar atau hypermarket dan pulang ke kampung itu tidak dikira keluar berjalan-jalan!



Sebenarnya bagi warga Johor Bahru, kemudahan atau tempat rekreasi awam sangat terhad pilihannya sehinggakan kami tidak tahu lagi hendak pergi ke mana. Balik-balik ke Danga Bay!  Oh! Mungkin kami yang bosan.. tetapi bagi anak-anak, tempat itu menyeronokkan!





Lihatlah mereka, walaupun sekadar keluar untuk sejam..sudah cukup untuk mengembirakan mereka.


Waktu kami keluar pada hari itu sepatutnya sudah menjadi waktu tidur mereka.. Tetapi tidak mengapa, asalkan mereka gembira tentu akan dapat membuat tidur dengan lebih nyenyak dan bagun keesokan hari dengan lebih bersemangat!

09 May, 2010

Mentega Itu Berkulat!

Aktiviti wajib kami setiap minggu ialah membeli barangan keperluan dapur. Selalunya kami ke pasar basah Kip Mart dan sekali sekala ke Giant Tampoi. Minggu ini kami beralih angin untuk ke Carrefour Sutera Utama. Sebenarnya hypermarket ini ialah yang paling hampir dengan kediaman kami, jaraknya kurang daripada 5km. Cuma kami jarang ke sana kebelakangan ini.

Memandangkan stok mentega yang ada di rumah sudah hampir habis, kami membeli sebuku lagi dari "in house brand" Carrefour. Oh! Kami sekeluarga memang gemar makan roti bersama mentega.




Cuma nasib kami kurang baik hari itu, sebaik sahaja pek mentega itu dibuka kami ternampak tompokkan kulat! Errrkk!! Hilang mood untuk kami makan roti hari itu!

Kalau dilihat dari luar bungkusan mentega tersebut, memang tiada kesan kulat dan sebagainya. Cukup sempurna! Tidak sangka pula didalamnya sudah berkulat!



Esoknya Azza ke Carrefour Sutera Utama. Mereka memberikan pilihan, sama ada untuk menukarnya dengan mentega yang sama atau memulangkan kembali wang. Sudah tentu Azza memilih untuk mendapatkan kembali wang! Kalau ditukar dengan jenama mentega yang sama, masih tiada jaminan yang ia tidak bekulat!


Comicstriper: Kepada Pencari Kerja Yang Pakai Kabel.

Comicstriper: Kepada Pencari Kerja Yang Pakai Kabel.

Semestinya perbuatan tersebut menutup peluang golongan yang lebih berhak! Benci betul golongan yang masuk pasaran kerja menggunakkan "kabel".

Kadang-kadang terfikir juga kalaulah terlalu ramai yang masuk menggunakkan cara itu pasti boleh mendatangkan masalah terhadap sesebuah organisasi kerana yang dipilih masuk bekerja itu bukanlah golongan yang layak berdasarkan merit!



08 May, 2010

Generasi Internet - Siri 4

Klik Imej Untuk Lebih Jelas




06 May, 2010

Saya Anti Rasuah Dengan Tidak Memberi Rasuah!

Sudah sembilan belas tahu Aku memandu dan menunggang motorsikal. Sudah banyak pengalaman berdepan dengan pihak berkuasa semasa memandu dan menunggang motorsikal. Jadi cerita ini berkisar dari pengalaman tersebut.

Sepanjang tempoh tersebut sudah empat kali Aku di saman. Tiga daripadanya merupakan saman memandu melebihi had laju dan bakinya merupakan saman akibat kesalahan meletakkan kenderaan. Pada kebanyakkan masa Aku sebenarnya sedar ketika melakukan kesalahan tersebut. Sengaja melakukannya dan telah bersedia mengambil risiko.


Kalau sudah bersedia mengambil risiko dan kemudiannya di tahan Polis, besedialah pula untuk menerima surat saman!  Jangan berikan pelbagai alasan untuk melengah-lengah cerita.  Mengaku sahaja kesalahan tersebut dengan sejujurnya. Mungkin kalau bernasib baik akan dilepaskan tetapi jangan sekali-kali cuba menutup kesalahan dengan cuba menyogok penjawat awam itu! Itu tindakkan yang tidak "gentleman" langsung!



Pada pendapat Aku, jika tiada "pemberi" tentunya tiada "penerima" dan pembuka jalan bagi amalan rasuah bermula dari pihak yang melakukan kesalahan!  Ya.. kita (masyarakat)!  Amalan menyogok (rasuah) ini sememangnya perosak kepada sistem undang-undang.  Prinsip hidup Aku amat jelas iaitu menolak amalan tersebut dan Aku tidak mahu menjadi penyumbang kepada kerosakkan sistem undang-undang negara tercinta ini.

Kita asyik menyalahkan pihak Polis itu dan ini. Macam-macam tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.  Mungkin ada yang kurang setuju dengan kenyataan tersebut, tetapi berdasarkan pengalaman itulah hakikatnya, rasuah berpunca dari pihak yang konon-kononnya berani mengambil risiko tetapi bila tertangkap akibat dari kesalahan yang dilakukan, tidak berani menerima akibatnya! Hipokrit!

Saya anti rasuah dengan tidak memberi rasuah!

05 May, 2010

Anif.. Version 2.0 - Layout Baru Yey!!

Alhamdulillah.. kerja-kerja mengemaskini "layout" blog ini telah berjaya dilakukan dengan jayanya. Memang sudah lama merancang untuk melakukan perubahan pada blog untuk menjadikannya lebih mesra pengunjung dan membuang semua "widget" yang melambatkan "page loading".

Selain daripada itu, Aku telah mengintegrasikan "intensedebate" sebagai pengurus komen rasmi untuk blog ini menggantikan Echo Js-Kit.

Go to IntenseDebate



Untuk sehari dua ini, Aku akan memantau blog ini dengan rapi manalah tahu jika terdapat sebarang "script error" dan sebagainya yang menganggu keselesaan.  Kalau terdapat banyak "error" yang tidak dapat Aku kesan puncanya mungkin Aku akan upload "layout" lama semula.. Harap-harap semuanya akan OK!

04 May, 2010

Cili - Raja Segala Ubat?

Lebih dari 3,000 kajian saintifik dinyatakan di dalam US National Library of Medicine, menyokong penggunaan cili dalam mencegah dan melegakan banyak penyakit umum. Cili juga dinyatakan di dalam world pharmacopoeias (senarai ubat rasmi). Menurut American physicians Desk Reference, beberapa jenis ubat juga mengandungi ramuan yang dibuat cili.

Cili dapat mencegah kanser, penyakit jantung, angin ahmar, bekuan darah, obesiti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, bronkitis, emfisema, batuk dan selsema dan radang perut.

Digunakan sebagai makanan, rempah dan ubat herba selama lebih dari 9.000 tahun, cili dikatakan baik untuk buah pinggang, limpa, pankreas, paru-paru dan jantung. Ketika era Victoria, cili digunakan sebagai agen pemanasan dalam mengubati arthritis, kesejukkan, rheumatism, terseliuh dan depresi.






Sekitar 12% daripada cili terdiri daripada capsaicin, sebatian yang membuat rasanya pedas - ini adalah komponen utama sifat ubat yang ada pada cili.  Kebanyakkan ubat penahan sakit komersial mengandungi capsaicin.

Rupa-rupanya banyak kebaikkan cili, cuma kita yang tidak menyedarinya. Berdasarkan pemahaman Aku terhadap artikel yang disiarkan di Consumers Association of  Penang atau CAP, diantara kebaikan cili ialah:

  • Oleh kerana cili secara semulajadinya mengandungi "capsaicin", ia boleh digunakan untuk melegakkan kesakitan, pening kepala atau ketidak selesaan badan yang biasa. Lupakan panadol..Nikmatilah makanlah makanan pedas untuk melegakkan kesakitan!
  • Sifat utama cili yang pedas itu secara tidak langsung merangsang pelepasan hormon endorfin iaitu hormon "Feel Good" di Otak, secara langsung menyebakan kita merasa selesa, tenang dan gembira.(Mood Enhancer).
  • Cili segar mengandungi dua kali ganda Vitamin C berbanding Oren dan Nenas.
  • Memiliki sifat anti oksidan yang tinggi iaitu agen penghalang kanser.
  • Merangsang peredaran dan memperbaiki peredaran darah di dalam badan.
    Rujukkan dan maklumat lebih lanjut sila layari - Chillies - Hot healer for many illnesses

    Artikel ini telah membuka mata dan memberi ilmu tentang kehebatan cili. Selain itu ia juga telah banyak memperbetulkan banyak salah tanggapan terhadap cili. Mulai sekarang, jangan risau bila menikmati makanan yang pedas! Ia juga baik untuk kesihatan..


    03 May, 2010

    Suzuki FR50 Dalam Kenangan

    Seperti remaja-remaja yang lain, Aku mahukan cabaran dan mencuba perkara baharu. Dalam banyak-banyak perkara menunggang motorsikal dan memandu kenderaan merupakan perkara yang tidak sah kalau tidak dicuba! Sama ada mendapat kebenara atau tidak, itu lain cerita!

    Dikalangan rakan sebaya, mungkin Akulah yang paling lewat sekali belajar menunggang motorsikal. Ketika usia memasuki empat belas tahun baharu diberi peluang oleh Abah untuk menunggang.  Itupun kerana terpaksa, Aku diajar menunggang motorsikal di jalan ladang kelapa sawit untuk memudahkan pergerakkan. Maklumlah bekerja di ladang kelapa sawit ini banyak peralatan yang hendak dibawa. Daripada kereta sorong, pongkis, sabit dan batang "aluminium" nya yang panjang itu memerlukan seorang memegangnya.  Kalau dah memegang peralatan macam mana hendak menunggang motorsikal?  Sebab itu Aku diajar menunggang motorsikal.. Tujuannya amat murni iaitu untuk membantu orang tua :D

    Kalau sudah pandai menunggang motorsikal tetapi hanya pokok-pokok sawit sahaja menjadi saksi tentulah tidak seronok. Hendak juga diberitahu satu kampung yang Aku sudah pandai menunggang motorsikal. Dari situlah bermulanya punca segala masalah.. Maklumlah remaja, menunjukkan kehebatan menunggang memang keseronokkan buat mereka. Apatah lagi bila dipuji rakan-rakan tentang keberanian atas aksi yang ditunjukkan lagilah ia menjadi-jadi.



    Menunggang berkumpulan pusing-pusing satu kampung merupakan aktiviti harian. Mungkin disebabkan Abah hanya ada motorsikal Suzuki FR50, jadi tidaklah boleh Aku nak berlumba dengan rakan-rakan yang mempunyai Honda C70. Haha. tertinggal jauh bertiang-tiang beb!  Mungkin itu lah hikmahnya.. motorsikal tidak cukup berkuasa! Tidak boleh nak ber "wheelie" dengannya.. apalagi melakukan aksi "wikang"!  Maka terselamatlah Aku daripada terjebak menjadi "Mat Rempit"!

    Oh! Sekarang media arus perdana sudah menukar istilah dari Mat Rempit kepada Samseng Jalan Raya!

    Kredit (gambar) - http://www.suzukicycles.org/FR-series/FR50.shtml

    Status OKU Bukan Penghalang!



    Antara yang menarik di akhbar hari ini. Kagum dengan semangat dan keyakinan diri yang tinggi yang dimiliki oleh beliau. Yang pastinya status OKU itu bukan penghalang.

    02 May, 2010

    Brand New Video: SGE feat Pak Samad


    Rujuk - http://kamalsabran.blogspot.com/2010/04/brand-new-video-sge-feat-pak-samad.html untuk lebih lanjut mengenai projek ini.

    Karya seni yang hebat seperti ini tidak mendapat tempat di media arus perdana! Memang amat mengecewakan. Sepatutnya rancangan televisyen seperti Melodi yang amat popular itu, mengutip berita-berita seperti ini untuk diberitahu dan diwar-war pada penonton.

    Gossip sebagai rencah utama didalam rancangan hiburan sememangnya akan mematikan seni itu sendiri.. Anggap sahaja rancangan hiburan di Malaysia sudah hilang fokus!

    01 May, 2010

    Generasi Internet - Siri 3


     

    Gaya memang hebat tapi.. memanjang tiada kredit. haha..

    29 April, 2010

    28 April, 2010

    Gerabak Komuter Wanita




    Koc Wanita Pertama Di Malaysia Bermula Pada 28hb April 2010

    27 April 2010 – Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di Negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul - Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula hari ini.

    Pelaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan KTM Komuter adalah terdiri daripada kaum wanita.

    Menggunakan tema ‘Wanita Sahaja Sepanjang Masa, Ladies Only At All Times’ koc wanita ini berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink).

    Para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.

    Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut:
      - Koc Hadapan - Koc Biasa (lelaki dan wanita)
      - Koc Tengah - Koc Wanita (wanita sahaja)
      - Koc Belakang - Koc Biasa (lelaki dan wanita)

    Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring/saudara wanita mereka dibenarkan menaiki koc ini.

    Pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih samaada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. Sementelah kemudahan disediakan, KTM Berhad menggalakkan pengguna wanita untuk mencuba kemudahan Koc Wanita ini.

    Pihak KTM Komuter memohon kerjasama orang ramai agar menghebahkan/mengwar-warkan kewujudan Koc Wanita ini kepada para pengguna yang lain dan berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama yang sepenuhnya bagi memastikan pengenalan koc ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

    KTM Komuter mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan mengenai Koc Wanita ini. Cadangan dan pandangan boleh dihantar ke komuter4u@ktmb.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di 1300-88-5862.
    Tarikh: 27 April 2010




    Sudah Bayar la..

    Aku ingatkan hal itu sudah selesai, rupa-rupanya belum! Hari Isnin yang lepas Aku dihubungi oleh pihak Maybank Credit Card Center berkenaan tunggakkan bil yang belum dijelaskan! Hiss.. tak cukup dengan surat kemudian siap telefon pula. Memang menyakitkan hati bila perkara yang dianggap selesai tiba-tiba menjadi isu semula. Patutnya sebelum menghubungi, tolonglah semak rekod terkini akaun tersebut dan bukannya terus memberi peringatan untuk membayar hutang!


    Aku pun sudah letih untuk menerangkan pada mereka tentang situasi sebenarnya. Pada hemat Aku ia tidaklah serumit mana. Situasi itu berlaku  disebabkan komunikasi yang tidak efisien antara jabatan. Dua minggu yang lepas, sebaik sahaja menerima surat peringatan yang pertama, Aku telah menghubungi talian 1-300 88 6688  untuk memberitahu tentang situasi tersebut dan mereka berjanji untuk mengemaskini rekod dan akaun dalam jangkamasa dua minggu. Sebaliknya selepas dua minggu, bukan sahaja rekod belum dikemaskini malah menerima panggilan daripada mereka untuk menuntut hutang! Ciss *@#%6%




    Akhirnya Aku menulis surat dan mem"faks"kannya terus ke Maybank Credit Card Center dan pagi tadi Aku mengambil inisiatif untuk ke Cawangan Maybank Skudai untuk membuat "follow up". Antara tuntutan Aku ialah supaya mereka memindah baki tertunggak dan bayaran ke akaun yang baharu, menghapuskan caj lewat, mengembalikkan kadar faedah asal dan mengemaskini rekod kad kredit terbaharu di dalam sistem Maybank2U. Aku juga meminta pegawai di Bank tersebut menghubungi pegawai yang menguruskan kes Aku di Kuala Lumpur untuk memastikan beliau mendapat gambaran sebenar tentang kes tersebut.  Setelah mendapat jaminan ianya akan diselesaikan secepat mungkin dan berpuas hati, baru Aku beredar..

    Sekarang baharulah Aku dapat merasakan sedikit pengalaman bagaimana jika hidup dikelilingi hutang bertimbun, saban hari menerima panggilan telefon menuntut hutang, menerima surat tuntutan hutang dan dikejar pengutip hutang akan membuat seseorang itu hilang pertimbangan. Berkemungkinan juga boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya boleh membawa maut!



    26 April, 2010

    Tips Membeli Komputer Peribadi atau Laptop

    Bekerja dibidang I.T akan menyebabkan kamu menjadi "Consultant" tidak rasmi setiap kali saudara mara dan sahabat handai serta rakan sepejabat yang hendak membeli Komputer Peribadi mahupun Laptop.  Dan yang paling 'horror" ialah apabila kamu bertindak sebagai penjual, "warranty" nya ialah sampai mati! Hahaha... Susah bukan menjadi penjual komputer kepada saudara mara dan rakan-rakan?




    Soalan Paling Lazim Ketika Mereka Ingin Membeli Komputer:

    Jenama Mana Yang Paling Bagus?

    Soalan yang paling selalu ditanya ialah, jenama mana yang paling bagus?  Sebenarnya itulah soalan yang paling Aku benci untuk menjawabnya kerana biasanya mereka-mereka ini sebenarnya sudah pun membuat sedikit "research" sebelum bertanya! Jadi mereka ini sebenarnya sudah pun mempunyai jenama yang diidamkan!

    Jawapannya:

    Untuk menjawab jenama mana yang paling bagus, terus akan Aku beritahu kepada mereka,

     "Pililah dari mana-mana jenama yang terkenal yang kamu suka dan kemudiannya minta daripada penjual warranti tambahan sehingga 3 tahun"

    Jawapan standard kepada mereka yang telah Aku programkan dikepala sejak 6 tahun yang lepas!

    Kata kunci disini ialah: 1 tahun manufacturer warranty +  2 years extended warranty = 3 tahun warranty!   Kalau dalam spesifikasi tidak dinyatakan, sila minta dari penjual! Kalau boleh dimasukkan "3 Years Warranty" itu didalam harga Komputer Peribadi atau  "Laptop" tersebut dan ianya dianggap satu pembelian yang baik dan berbaloi. Selesai masalah :D

    Kredit (gambar) - Acer Ferrari One - http://www.acer.com/ferrarione/ferrari_one.html

    Cara mudah untuk mendarab, guna garisan sahaja tanpa sifir - rugi kalau tak belajar | SeMekaR KaSih

    Cara mudah untuk mendarab, guna garisan sahaja tanpa sifir - rugi kalau tak belajar | SeMekaR KaSih

    Aku dapati cara ini amat menakjubkan. Kalaulah Aku tahu sejak dari dahulu tentu ia dapat membantu memudahkan pembelajaran matematik. Maklumlah matematik bukan subjek kegemaran dan Aku juga merasakan ia bukan subjek kegemaran ramai orang.


    Tetapi untuk maju kita perlu menguasainya sepantas mungkin. Terima kasih kepada Cikgu Isza untuk "entry" yang menarik ini.






    22 April, 2010

    BUDAK BARU GRAD DAPAT JAWATAN BESAR | unfiltered-madness . com

    BUDAK BARU GRAD DAPAT JAWATAN BESAR | unfiltered-madness . com

    Ramai juga rakan-rakan yang terkena ketika menunggu keputusan SPM. Kemudian, perkara yang sama juga berlaku sebaik sahaja menamatkan pengajian.. Bila terbaca "entry" ini, tiba-tiba Aku tersenyum.. teringatkan cerita-cerita lama. :D



    Berhati-hati Ketika Memotong "Low Loader"

    Hari Sabtu yang lepas kami sekeluarga balik ke Seremban.  Setengah jam memulakan perjalanan, Aku memotong sebuah "low loader" kosong yang dipandu agak laju.  Ketika betul-betul berada disebelah kenderaan tersebut, tiba-tiba seketul batu bata mengelungsur daripada "low loader" tersebut dan terus mengenai bahagian bawah kiri kereta yang dipandu..



    Bunyinya amat kuat sehinggakan semua yang ada didalam kereta terjaga!  Nasib baik juga, ia terkena dibahagian kiri tepi bawah kereta. Kalau ia mengelunsur dan terkena di bahagian hadapan mungkin banyak kerosakkan yang akan berlaku dan kemungkinan paling teruk ialah kemalangan!




    Aku pun tidak faham kenapa perlu untuk mereka (pemandu) ini membiarkan batu atau kayu di atas pelantar "low loader" kosong! Sepatutnya mereka memastikan bahawa tiada benda asing yang terdapat dia atas pelantar tersebut sebelum memulakan perjalanan.  Akibat sikap tidak perihatin mereka mungkin akan menyebabkan kemalangan!

    Walau apa pun jika didalam perjalanan ternampak "low loader", berhati-hati ketika hendak memotongnya.   Dikhuatiri ada kayu beluti atau batu bata yang digunakan untuk menyendal jentera berat yang telah tertinggal dan boleh jatuh bila-bila masa diatas jalan raya!

    Kredit (gambar) - http://www.mudah.my