Showing posts with label Bank. Show all posts
Showing posts with label Bank. Show all posts

28 April, 2010

Sudah Bayar la..

Aku ingatkan hal itu sudah selesai, rupa-rupanya belum! Hari Isnin yang lepas Aku dihubungi oleh pihak Maybank Credit Card Center berkenaan tunggakkan bil yang belum dijelaskan! Hiss.. tak cukup dengan surat kemudian siap telefon pula. Memang menyakitkan hati bila perkara yang dianggap selesai tiba-tiba menjadi isu semula. Patutnya sebelum menghubungi, tolonglah semak rekod terkini akaun tersebut dan bukannya terus memberi peringatan untuk membayar hutang!


Aku pun sudah letih untuk menerangkan pada mereka tentang situasi sebenarnya. Pada hemat Aku ia tidaklah serumit mana. Situasi itu berlaku  disebabkan komunikasi yang tidak efisien antara jabatan. Dua minggu yang lepas, sebaik sahaja menerima surat peringatan yang pertama, Aku telah menghubungi talian 1-300 88 6688  untuk memberitahu tentang situasi tersebut dan mereka berjanji untuk mengemaskini rekod dan akaun dalam jangkamasa dua minggu. Sebaliknya selepas dua minggu, bukan sahaja rekod belum dikemaskini malah menerima panggilan daripada mereka untuk menuntut hutang! Ciss *@#%6%




Akhirnya Aku menulis surat dan mem"faks"kannya terus ke Maybank Credit Card Center dan pagi tadi Aku mengambil inisiatif untuk ke Cawangan Maybank Skudai untuk membuat "follow up". Antara tuntutan Aku ialah supaya mereka memindah baki tertunggak dan bayaran ke akaun yang baharu, menghapuskan caj lewat, mengembalikkan kadar faedah asal dan mengemaskini rekod kad kredit terbaharu di dalam sistem Maybank2U. Aku juga meminta pegawai di Bank tersebut menghubungi pegawai yang menguruskan kes Aku di Kuala Lumpur untuk memastikan beliau mendapat gambaran sebenar tentang kes tersebut.  Setelah mendapat jaminan ianya akan diselesaikan secepat mungkin dan berpuas hati, baru Aku beredar..

Sekarang baharulah Aku dapat merasakan sedikit pengalaman bagaimana jika hidup dikelilingi hutang bertimbun, saban hari menerima panggilan telefon menuntut hutang, menerima surat tuntutan hutang dan dikejar pengutip hutang akan membuat seseorang itu hilang pertimbangan. Berkemungkinan juga boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya boleh membawa maut!



04 April, 2010

Alahai Maybank!

Aku menerima surat peringatan daripada Maybank berkenaan tunggakkan kad kredit yang belum dibayar! Eh! Setahu Aku semua bayaran yang patut dilangsaikan sudah pun dibuat. Macam mana perkara ini boleh terjadi. Lagipun Aku menggunakkan online banking untuk menjelaskan segala bayaran pinjaman dan segala bil utiliti. Sepatutnya ia menjadi lebih cekap!


Kemudian Aku teringat, tiga tahun yang lepas Aku pernah mengalami masalah yang serupa. Masalah ini timbul setiap kali menerima kad kredit baharu bagi menggantikan kad kredit yang telah tamat tempoh. Jadi, bayaran yang dibuat masih lagi merujuk kepda kad lama (akaun lama) sebab itu Aku akan mendapat surat peringatan yang menyatakan Aku belum menjelaskan bayaran. Untuk menyelesaikannya terpaksa menghubungi talian hotline Maybank dan memberitahu mereka tentang masalah ini. Kemudian mereka akan mengemaskini sistem mereka.


Sepatutnya mereka boleh menyelesaikan masalah ini secara terus. Maksudnya mereka sebagai pengeluar kad kredit, mereka tentunya mempunyai data lengkap tentang tarikh luput dan penggatian kad. Jadi setiap kali kad kredit dikeluarkan, sistem sepatutnya menggemaskini maklumat akaun kepada kad yang terbaharu. Tidak perlulah tunggu sehingga pelanggan membuat aduan! Err memang sungguh tidak cekap dan menyusahkan pelanggan! Kalaulah dapat diefisienkan bahagian ini sahaja, Aku pasti bank ini mampu menjimatkan kos dan meningkatkan keyakinan pelanggan.