Showing posts with label Merokok. Show all posts
Showing posts with label Merokok. Show all posts

13 April, 2010

Kalau Ada Logo Ini - Berani Nak Hisap?

Entry semalam mengenai Rokok Halal membuatkan Aku terfikir semula. Mungkin dengan pengenalan logo baharu ini akan mendorong perokok muslim untuk berhenti merokok dengan serta merta. Merujuk kepada artikel yang dipetik oleh Kosmo dan jika terbukti pengilang rokok di negara ini mengeluarkan rokok yang mengandungi Sel Darah Babi, Kerajaan harus mewajibkan penggunaan logo seperti ini :D


Kalau semua kotak rokok di Malaysia ditandakan dengan logo -Non Halal- atau "Pork Inside"  Aku amat yakin yang perokok muslim akan membuang tabiat buruk tersebut tanpa berlengah-lengah lagi.




Geli tak nak hisap kalau ada logo ini? :D Najis berat tu! Ada berani?



10 February, 2010

Tips Berhenti Merokok

Aku mengambil masa hampir empat tahun untuk berhenti merokok. Boleh dikatakan ini merupakan satu cerita kejayaan. Besar maknanya pada diri ini. Walaupuan pada sesetengah orang kejayaan ini tidak seberapa, Aku menganggapnya sama pentingnya dengan menerima segulung ijazah! Berdasarkan kepada pengalaman, untuk berhenti merokok seseorang itu perlukan:
  1. Sebab untuk berhenti.
  2. Persekitaran baru.
  3. Rakan-rakan yang baru.
  4. Hobi baru
  5. Displin.
  6. Doa 



    Sebab untuk berhenti.

    Untuk berhenti merokok, seseorang perlukan sebab.  "Saya mahu berhenti merokok kerana....."  Itu ialah "Mission Statement" atau "Azam" kenapa perlu berhenti merokok. Dalam kes Aku, sebab utama ingin berhenti daripada merokok ialah kerana "Aku sudah mencapai matlamat.."  iaitu apabila ingin diterima didalam sesebuah kumpulan! Bila sudah diterima, tiada apa lagi yang hendak dibuktikan. Tiada lagi cabaran.. Jadi lebih baik berhenti!  Sepatutnya "point" yang pertama ini pun sudah cukup untuk seseorang itu untuk berhenti merokok!

    Persekitaran Baru.

    Bila berpindah ke tempat baru, inilah masa yang sesuai untuk menghentikan atau menghapuskan kebiasaan dalam diri.  Kalau dahulu merokok, apabila di tempat baru boleh mencuba untuk mengurangkan atau memilih untuk tidak merokok langsung.  Dalam kes Aku, sebaik sahaja melangkah masuk ke Universiti, Aku telah tanamkan dalam diri "Azam" untuk mengurang serta seterusnya berhenti merokok secara berperingkat.

    Rakan-Rakan Baru

    Faktor merokok disebabkan pergaulan dan rakan-rakan memang tidak boleh disangkal lagi. Kaitannya memang amat kuat. Tetapi sebenarnya kita boleh membuat pilihan, samada untuk terus berkawan dengan mereka atau tidak. Kalau disebabkan mereka kita terpengaruh, harus ada sikap dalam diri yang akan sentiasa mempersoalkan kenapa harus menjadi begitu dan sebagainya untuk mewujudkan suasana "check and balance".  Tinggalkan rakan-rakan lama dan cari rakan-rakan baru! Bukan memutuskan persahabatan cuma kurangkan bercampur dengan mereka yang bermasalah dan bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat positif. 

    Hobi Baru

    Mula mencari hobi baru atau pun menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mengisi masa lapang.  Mungkin tidak semua perkara boleh menyebabakan seseorang itu dapat melupakan rokok tetapi untuk berubah seseorang itu perlu membuka fikiran seluas mungkin dan bersedia menerima perubahan.  Semasa di Universiti, Aku dapati kejuruteraan komputer amat mengasyikkan sehingga menyebabkan Aku berjaya melupakan rokok.


    Displin

    Mulalah berdisplin! Jangan langgar apa-apa perjanjian dan syarat yang dibuat dengan diri sendiri untuk mencapai matlamat. Displin mestilah kuat, barulah misi boleh dicapai. Tanpa displin kita akan tewas dengan diri sendiri.

    Doa

    Sentiasa berdoa kepada Illahi supaya dikuatkan iman dan menghindarkan perkara-perkara buruk daripada meresap ke dalam diri.

    Semoga dengan adanya tips ini, dapat memudahkan sesiapa yang mempunyai niat untuk berhenti merokok. Sebenarnya tidaklah sesusah mana. Kalau kita boleh berhenti merokok di siang hari ketika di bulan puasa, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh berhenti merokok untuk keseluruhan hari! Pokok pangkalnya ialah diri sendiri, sejauh manakan kuatnya azam dan kesungguhan serta displin dalam diri. Insyallah.

    09 February, 2010

    Berhenti Merokok - Part 2

    Kuantan seoalah-olah telah menjadi kampung kedua, maklumlah setelah tinggal hampir 2 tahun di sana, Aku sudah faham selok-belok bandar tersebut. Kalau dahulu Aku belajar, kini Aku bekerja di Kuantan! Aku mula bekerja di sebuah jabatan kerajaan sebagai pekerja kontrak. Semasa menanti keputusan peperiksaan akhir, seorang pensyarah memberitahu tentang terdapatnya kekosongan di jabatan tersebut yang memerlukan beberapa orang kakitangan kontrak pada kadar segera.


    Kini hanya kami berempat tinggal di rumah sewa tersebut. Tiga daripadanya perokok dan hanya seorang tidak. Gaya kehidupan beransur-ansur berubah. Maklumlah sekarang Aku sudah ada pendapatan sendiri walaupun gajinya tidak besar, cukuplah untuk tidak menyusahkan ibu dan bapa di kampung. Bekerja di jabatan tersebut hampir empat bulan sebelum mendapat pekerjaaan di sebuah institusi kewangan.

    Bekerja walau di mana pun, Aku tetap dikelilingi perokok. Baik di Jabatan kerajaan mahupun swasta. Golongan seperti ini berada di mana-mana. Dipendekkan cerita, sekitar Mei 1995 Aku telah diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Aku mendapat tempat di Universiti tanpa menyambung ke peringkat Diploma terlebih dahulu. Memohon terus dengan menggunakan Sijil Politeknik. Jalan yang Aku gunakan sedikit berbeza daripada rakan-rakan yang lain. Apa-apa pun kebanyakkan kami berjumpa semula di Universiti Kebangsaan Malaysia walaupun lewat setahun berbanding rakan-rakan lain yang seusia yang masuk ke Universiti melalui STPM ataupun Matrikulasi. Setelah ditolak dan dipindahkan beberapa mata kredit, Aku yakin boleh menamatkan pengajian sekitar tiga tahun setengah.

    Sebenarnya tiada yang istemewa bila diterima masuk sebagai pelajar semula. Maklumlah sebelum ini telah pun bekerja, menikmati setiap sen daripada pendapatan dan kini rutin catuan telah berkuat kuasa semula. Aku mengambil sedikit masa untuk membuat beberapa penyesuaian dan penyesuaian ini sangat membantu diri dalam membuang beberapa tabiat buruk seperti merokok. Oleh kerana tiada lagi sumber pendapatan, perkara-perkara yang tidak berapa perlu telah pun dikurangkan dan dihapuskan sama sekali. Ini termasuklah membeli rokok. Kalau dahulu Aku beli pek dua puluh batang, sekarang Aku beli pek tujuh batang. Perlahan-lahan Aku telah berjaya mengurangkan pembelian dan penggunaan.

    Di tempat dan suasana yang baru, Aku lebih selesa dikenali sebagai seorang yang tidak merokok walaupun kadang-kadang Aku merokok terutamanya apabila berjumpa dengan kawan-kawan lama. Kini Aku telah mula menolak pelawaan apabila di hulurkan rokok. Lama-kelamaan tabiat itu semakin berkurangan dan ketika berada di tahun ketiga semester pertama, Aku berani mengatakan yang Aku telah berhenti merokok sepenuhnya. Akhirnya tercapailah hasrat untuk berhenti merokok sekiranya Aku dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun ianya tidak berlaku sekelip mata.



    08 February, 2010

    Berhenti Merokok - Part 1

    Beberapa "entry" yang lepas Aku telah menumpukan kepada subjek yang berkaitan dengan merokok. Aku sebenarnya memang sengaja memilih subjek ini untuk diketengahkan kerana ia amat dekat dengan diri. Dari mula mengenal, kemudiannya terjebak dan kemudian beransur-ansur meninggalkan tabiat buruk ini. Semuanya harus Aku kongsikan untuk dijadikan iktibar.


     
    Selama lebih kurang empat tahun Aku bergelumang di dalam dunia perokok. Aku mencuba hampir kesemua jenama yang berada di pasaran.  Daripada yang paling murah sehingga yang paling mahal.  Semuanya telah Aku cuba.  Keputusannya tetap sama.. "Apabila dibakar dan disedut, ia mengeluarkan asap".

    Selepas tamat semester kedua di Politeknik, beberapa rakan serumah yang tidak dapat meneruskan pangajian ke perigkat seterusnya kerana gagal dalam peperiksaan. Itulah harga yang terpaksa mereka bayar unuk sebuah kebebasan maksimum. Kumpulan kami tidak lagi seramai dulu. Bagi yang lulus peperiksaan Latihan Industri sedia menunggu di semester ketiga. Yang tidak lulus pula terpaksa mengulang semester. Kumpulan sudah mula berpecah. Kalau dahulu sebab utama Aku merokok, ialah untuk mudah diterima di dalam kumpulan dan bila kumpulan sudah mula berpecah, rasanya tiada sebab lagi Aku harus merokok!

    Sebaik sahaja menamatkan Latihan Industri, Aku mencari rakan serumah yang baru. Rakan-rakan yang baru terdiri daripada berlainan kursus tetapi mereka masih lagi dibawah Jabatan Perdagangan. Mereka ini Aku kenal semasa di Politeknik, berbeza dengan rakan serumah asal yang kebanyakkannya Aku kenal semasa di sekolah lagi. Walaupun mempunyai rakan serumah yang baru, kebanyakkan daripada mereka merokok. Susah untuk mencari rakan serumah yang tidak merokok pada zaman itu!

    Memulakan semester keempat dengan semangat baru. Ini adalah semester terakhir bagi pelajar Kursus Integrasi (Sijil). Jika keputusan peperiksaan cemerlang, kami dibolehkan untuk menyambung ke peringkat Diploma dan boleh juga memohon untuk masuk ke Universiti melalui pengambilan kelayakkan khas. Jika keputusan hanya suam-suam kuku dan cukup makan sahaja, bergembiralah dengan hanya menerima Sijil Politeknik! Di dalam diri,  Aku sudah menanamkan azam sekiranya Aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Aku akan berhenti merokok!

    Aku berjaya menamatkan pengajian diperingkat sijil. Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK/CGPA) melepasi tahap minimum untuk memohon memasuki Universiti. Tetapi Aku memilih untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian. Aku ambil keputusan untuk terus tinggal di Kuantan dan berkerja. Malah masih tinggal di rumah sewa yang lama. Cuma kali ini hanya tinggal empat orang sahaja rakan serumah. Rakan-rakan yang lain telah mengambil haluan masing-masing setelah tamat pengajian.




    04 February, 2010

    Ais vs Rokok

    Dah menjadi kebiasaan, selepas minum minuman berais Aku akan kunyah ais! Tapi pada hari itu Aku telah ditegur:

    "Bahaya woo kunyah ais"
    "Tak baik untuk kesihatan"



    Tetapi apa yang lebih kelakar ialah rakan yang menegur Aku tu baru sahaja menyalakan sebatang rokok dan menghisapnya dengan penuh bangga!

    03 February, 2010

    Saya Menyebabkan Dia Merokok!

    Dia sedang membakar surat-surat cinta lama dan gambar-gambar kenangan di dalam tin susu tepung. Dari tadi Aku memerhatikan gelagatnya. Ishh.. Sampai begitu jadinya kalau cinta tidak kesampaian!

    Bila dia sudah tenang, Aku mempelawanya, "Nah.. Ambil sebatang, sambil-sambil bakar surat tu, bakarlah rokok tu sekali!"  Dengan tidak berfikir panjang, dia menerima pelawaan Aku dan terus menyalakannya. Sedutan pertama menyebabkan dia terbatuk-batuk!


    Itu cerita 17 tahun yang lalu.

    Sejak itu, dia telah menjadi seorang perokok. Hasil usaha Aku memperkenalkan En Rokok kepadanya. Usaha yang amat berjaya tetapi Aku tidak pernah bangga mengenainya. Sehingga sekarang, Aku amat menyesal kerana memperkenalkan tabiat buruk itu kepadanya.

    Kadang-kadang terdetik juga di hati.."Kalaulah dulu Aku tidak memberikannya rokok..."  Tentu dia bukan seorang perokok tegar sekarang!

    02 February, 2010

    Kenapa Saya Merokok!

    "Perokok sekarang memang sudah hilang sifat budimannya. Kalau tak percaya cuba lihat di persekitaran, bersepah-sepah puntung rokok!  Aku pun pernah merokok dahulu.. tetapi Aku jenis yang tidak membuang puntung rokok sembarangan..."



    Kira-kira 17 tahun dahulu....

    Aku tidak pernah merokok semasa zaman persekolahan. Mungkin itu juga sudah dikira cukup baik kerana hampir kesemua kawan-kawan merupakan perokok "tandas"!  Namun semuanya bermula ketika Aku diterima melanjutkan pelajaran ke sebuah Politeknik di Negeri Pahang. Ketika berada di semester pertama, rekod bersih itu masih berjaya dikekalkan. Alhamdulillah.

    Apabila berada di semester kedua, Aku dan rakan-rakan yang lain mengambil keputusan untuk tinggal di luar. Maka bermulah cabaran yang agak hebat di jiwa remaja ini. Tinggal di rumah sewa, tanpa pengawasan ibu dan bapa serta orang tua sememangnya memerlukan ketahanan mental yang kuat. Aku tahu sememangnya untuk berhadapan dengan situasi ini Aku perlu tegas menyatakan pendirian, dan tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak rakan-rakan lain disekeliling dengan mudah. Tetapi apakan daya, untuk merasa diterima dalam kelempok mereka Aku perlu melakukan sesuatu "serupa" dengan mereka sekurang-kurangnya.

    Bagi seorang remaja untuk kelihatan "cool" dan berbeza daripada orang lain adalah amat penting! Selain itu mempuyai ramai kenalan serta kumpulan yang "cool" juga penting!

    Bagi rakan-rakan telah pun merokok, mereka telah naik setingkat lebih tinggi dengan mencuba pelbagai perkara baru. Tak perlulah Aku terangkan apakah perkara-perkara baru itu. Yang pastinya ianya memang tidak baik dan bersifat sangat negatif!  Akhirnya perkara buruk yang paling ringan yang mampu Aku ikuti ialah merokok! Bila sudah merokok, Aku seolah-olah telah diiktiraf  menjadi ahli kumpulan yang selama ini Aku sangka paling "cool" di dalam dunia!

    Secara tidak bijaknya, Aku merokok kerana hendak diterima di dalam kumpulan dan untuk kelihatan "Gentleman".  Teruja melihat gaya seorang lelaki sebenar yang merokok tetapi masih tampil kemas. Konon-kononya la.. Ceh!



    30 January, 2010

    Teka Teki Teka Tekuk..

    2 tahun yang lepas...

    Aku : Teka teki teka tekuk, Ular mati hisap rokok?
    Nurin Iman : Atuk!!
    Aku & Azza : (Ketawa)


    Atuknya memang seorang perokok! Lucky I managed to quit smoking many years ago. Kalau tak tentu jawapannya ialah "Abah"!