Showing posts with label Hutang. Show all posts
Showing posts with label Hutang. Show all posts

31 January, 2010

Hukum Potongan 30 Peratus

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah Hukum Potongan 30 Peratus yang Aku maksudkan! Baiklah..Siapa yang tidak suka diskaun 30 peratus ketika membuat pembelian?  Jawapannya, tentulah semua orang suka. Kita tentu seronok bila mendapat diskaun yang ditawarkan oleh penjual. Sekarang cuba bayangkan yang kita sendiri memberi diskaun terhadap pembelian itu. Sebenarnya ini ialah petua yang telah lama Aku amalkan ketika hendak membeli atau berhutang.



Jika hendak membeli sesuatu barang samada tunai atau hutang, kita pastinya akan membuat perkiraan dan memikirkannya dengan agak mendalam terutamanya jika pembelian itu melibatkan jumlah yang agak mahal. Aplikasi hukum ini sebenarnya agak mudah. Setelah memikirkan tentang pro dan kontra pembelian itu, sekarang cuba tolakkan amaun pembelian itu dengan jumlah 30 peratus! Haa.. Itulah sebenarnya amaun yang selesa untuk kita tanggung.

Baiklah..Aku katakan selesa, bukan tidak mampu. Kita memang mampu untuk menanggung kos pembelian tersebut cuma untuk tidak terlalu membebankan kewangan kita dikemudian hari, hukum 30 peratus ini boleh digunakan. Hukum ini juga sesuai digunakan untuk pembelian rumah atau kenderaan.


Apa relevannya hukum ini diimplimentasi?  Mungkin bagi sesetengan orang, tidak perlu mempraktikkannya langsung.  Tetapi bagi seorang ketua keluarga yang isterinya tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil, hukum ini amat membantu. Ya Aku memang seorang yang konservatif  bila berbicara tentang kewangan :D

27 January, 2010

Terjebak Dalam Hutang..

Antara topik yang tidak diajar semasa disekolah dan universiti secara formal ialah Pengurusan Kewangan Peribadi. Ramai yang menganggapnya tidak penting kerana fokus utama tentunya terhadap pelajaran dan kemudiannya mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar! Sebenarnya pegurusan kewangan perlu didedahkan terhadap setiap manusia sebaik sahaja mereka mengenal wang sebagai perantaraan pertukaran. Bagi keluarga yang mempunyai kesedaran tinggi tentang pengurusan kewangan, perancangan mereka bermula sejak anak masih berada didalam kandungan lagi!


Ramai diantara kita terjebak didalam masalah kewangan disebabkan kurang kesedaran tentang bagaimana untuk mengurus sumber pendapatan dan perbelanjaan dengan baik. Malah ramai yang terjerumus ini sebenarnya terdiri daripada professional muda yang sepatutnya tahu bagaimana untuk mengurus kewangan diri dengan baik.

Bagaimana mereka boleh terjebak?  Berdasarkan pengalaman, kebanyakkan mereka ini terjebak sebaik sahaja mereka mendapat pekerjaan pertama. Harus diingat kebanyakkan dari graduan, semasa belajar tentunya ada mengambil pinjaman dengan JPA, MARA, PTPTN dan Yayasan Negeri. Maksudnya sebaik sahaja tamat belajar, hutang yang telah sedia menunggu!

Biasalah bila sudah mula bekerja dan mendapat pendapatan yang agak baik, mereka berhasrat pula meningkatkan taraf hidup. Kalau dahulu menaiki kenderaan awam atau bermotorsikal, sudah sampai masa untuk membeli kereta. Mula menambah hutang kedua. Bayaran muka muka minimum dan tempoh pinjaman maksimum 9 tahun. Tidak mengapa kerana mereka masih bujang dan pastinya mampu untuk menanggung dua hutang.

Bila sudah berkereta, tentulah tidak menarik jika tidak dipasang dengan aksesori. Orang mudalah katakan.. Sport rim! Oh itu sudah pasti.. Tayar import berprofil rendah! Sistem audio hebat yang menyokong iPod, teknologi Bluetooth berserta skrin sesentuh dan GPS! Semua yang dihajati semasa zaman belajar cuba dipenuhi. Kemudian bila mula berkira-kira untuk membeli, barulah menyedari.. "Oh kena simpan sedikit wang dahulu baru boleh membeli sistem audio idaman itu". Alhamdulillah akhirnya terdetik untuk menyimpan!

Satu hari ketika berjalan di sebuah pusat membeli belah, didatangi seorang agen kad kredit yang comel. Agen tersebut menyakinkan yang anda mampu untuk untuk memiliki barangan yang dihajati dengan menggunakan kad kredit! Beli dahulu, bayar kemudian dan cuma perlu bayar minimum 5% setiap bulan keatas baki tertunggak.  Wah! hebat! Tidak tahu ada produk kewangan sebegini hebat ada dipasaran! Err.. tanpa disedari mula menambah hutang ketiga!

Ada kereta cantik dan pekerjaan yang bagus. Mesti ada wanita yang menyukai dan disukai. Masa berlalu, dimulai dengan perkenalan, akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Setelah berkira-kira dan mencongak. "Err kena mula menyimpan, kalau tidak tidak sempat untuk kumpul wang untuk hantaran serta belanja perkahwinan". Alhamdulillah akhirnya terdetik sekali lagi untuk menyimpan!

Satu hari ketika melakukan "blog walking" dan "online banking" di internet, ternampak iklan mengenai pinjaman peribadi. Tanpa penjamin, mudah dan kelulusan segera! Boleh menyelesaikan apa sahaja masalah dan perkara yang dihajati. Sambil berkira-kira dan mencongak, "Hmmm ok lah.. mohon pinjaman peribadi, bila dah dapat wang pinjaman itu nanti, boleh menyelesaikan hutang kad kredit dan buat belanja perkahwinan."   Nak pinjam berapa agaknya? RM30,000 cukup rasanya.. Apa-apa hal pun perkahwinan perlu disegerakan :D Hutang nanti boleh dibayar kemudian.  Err.. tanpa disedari mula menambah hutang keempat!

Jika sudah ada empat hutang yang perlu dibayar. Eh! Tiga sebenarnya, sebab pinjaman keempat menghapuskan pinjaman ketiga. Uish bijak juga strategi ini!  Ambil hutang untuk hapuskan hutang lain! Tetapi realitinya masih tidak akan meredakan keadaan. Kalau semua hutang tersebut telah pun merangkumi 50% atau lebih dari pendapatan, anda telah pun dikira terjebak!

Lebih kurang begitulah situasi dimana mereka ini terjebak pada awalnya. Mungkin menyangka yang mereka ini mampu untuk membayar hutang tanpa mengambil kira langsung hal-hal kecemasan yang bakal berlaku dan keadaan ekonomi semasa. Atau mereka juga  menyangka yang langit sentiasa cerah, jadi tak perlulah menyediakan payung sebelum hujan!

Apa-apa pun berhati-hatilah ketika mengambil hutang baru terutamanya hutang kad kredit. Kalau boleh mula menyimpan seawal mungkin. Hutang tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak mampu membayarnya.

Sebagai panduan sila muat turun E-Book ini secara percuma dari AKPK



24 January, 2010

Cara Mengutip Hutang!

Teringat dahulu semasa Aku belajar di Universiti..Kadang-kadang kalau terputus duit terpaksalah meminjam dari rakan-rakan. Alhamdulillah biasanya ada yang menolong dan bila sudah ada duit, Aku akan cepat-cepat membayarnya semula. Adat pelajar, kadang-kadang kita meminjam dan kadang-kadang kita memberi pinjam. Tetapi apa yang menjengkelkan bila kita memberi pinjam.. Si peminjam bila sudah ada duit buat-buat lupa pulak! Tidak mahu melangsaikan hutang! Ciss!

Untuk golongan semacam ini, Aku gunakan strategi paling mudah untuk mengingatkan dan seterusnya mengutip hutang! Mula-mula besedia untuk buat muka tidak malu (sepatutnya yang berhutang tu yang patut malu). Kemudian perhatikan keadaan sekeliling, lebih ramai orang lebih bagus. Ketika siberhutang itu lalu atau sedang melepak dengan teman wanitanya, Aku akan terus memanggil namanya dengan agak kuat seterusnya mendekatinya.. "Lu pakai duit gua RM10 bila nak bayar?"  Mungkin disebabkan malu dengan kawan-kawan yang ada disekeliling terutama teman wanitanya, pasti dia akan membayar hutangnya pada masa itu juga! Harus diingat strategi ini hanya sesuai digunakan untuk menuntut hutang-hutang kecil sahaja..hutang-hutang besar kena guna cara lain.

Haha.. Alhamdulillah sepanjang menggunakkan strategi ini, Aku amat berpuas hati dengan kadar keberkesanannya. Memang sangat efektif untuk kawan-kawan yang selalu buat-buat lupa pasal hutang walaupun "loan" JPA/Mara/PTPTN sudah masuk ke dalam akaun!

30 December, 2009

Al Bai Bithaman Ajil - BBA

Aku menghantar surat kepada Maybank Islamic pada bulan Mei yang lepas berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan bagi pinjaman perumahan.  Setelah hampir 6 tahun membuat pembayaran,  rasanya telah tiba masanya untuk Aku berunding dengan pihak bank berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan.  Kira-kira 5 tahun yang lepas kebanyakkan pinjaman berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) tidak memberikan fleksibiliti terhadap kadar faedah keuntungan. Maksudnya kadar tetap sehingga langsai pinjaman.

Sejak tiga tahun kebelakangan ini, pinjaman perumahan berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) telah mengalami perubahan.  Di pasaran, Aku dapati ada bank yang sudah mula menawarkan kadar faedah keuntungan boleh ubah atau "Variable Rate Financing".  Di bawah konsep ini, harga jualan ditetapkan berdasarkan kadar harga jualan manakala kadar faedah keuntungan efektif yang dikenakan ke atas pinjaman berubah mengikut BFR, asalkan ia tidak melebihi harga jualan.

Akhirnya pada awal bulan Disember, pihak bank membalas permintaan Aku bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman. Alhamdulillah!  Kali ini kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak bank ialah BFR - 1% sehingga langsai pinjaman dan faedah keuntungan dikira berdasarkan kadar harian. Segala terma dan syarat masih mengikut perjanjian lama.  Dalam bahasa yang mudah, jika Aku membayar ansuran bulanan pada kadar yang sama sebelum kadar rundingan bermakna Aku akan dapat melangsaikan pinjaman ini lebih awal.

Cuma bahagian yang tidak berapa seronok ialah pihak bank meletakkan syarat tambahan seperti "Exit Penalty" dikenakan sekiranya Aku melangsaikan pinjaman tersebut kurang dari 6 tahun dan yuran pemprosesan sebanyak RM200!

Sekiranya kadar BFR meningkat dengan drastik sekalipun ianya akan dikekang oleh harga jualan yang telah dipersetujui dan kadar faedah keuntungan sebelumnya iaitu tidak melebihi  7.75%.  Semuanya jelas. Amat bagus untuk menghadapi ketidak tentuan ekonomi pada masa hadapan dan ia merupakan kelebihan Al Bai Bithaman Ajil berbanding pinjaman konvensional.

Bagi yang telah membuat pinjaman perumahan samada Al Bai Bithaman Ajil atau konvensional, jika tempoh "Exit Penalty" telah tamat, bolehlah memulakan perundingan (memohon) dengan pihak bank untuk mengurangkan kadar faedah keuntungan atau bunga (interest). Ramai yang tidak mengetahui mengenai perkara ini. Di pihak bank, mereka tentulah tidak mahu memberitahu perkara ini kepada pelanggan.  Alasannya mudah, mengapa perlu mereka (bank) memberitahu perkara yang akan mengurangkan keuntungan mereka!  Jadi, sebagai pelanggan, mestilah meminta! Kalau ada peluang di pihak kita untuk mengurangkan kos, mesti tuntut!