Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

26 April, 2010

Tips Membeli Komputer Peribadi atau Laptop

Bekerja dibidang I.T akan menyebabkan kamu menjadi "Consultant" tidak rasmi setiap kali saudara mara dan sahabat handai serta rakan sepejabat yang hendak membeli Komputer Peribadi mahupun Laptop.  Dan yang paling 'horror" ialah apabila kamu bertindak sebagai penjual, "warranty" nya ialah sampai mati! Hahaha... Susah bukan menjadi penjual komputer kepada saudara mara dan rakan-rakan?




Soalan Paling Lazim Ketika Mereka Ingin Membeli Komputer:

Jenama Mana Yang Paling Bagus?

Soalan yang paling selalu ditanya ialah, jenama mana yang paling bagus?  Sebenarnya itulah soalan yang paling Aku benci untuk menjawabnya kerana biasanya mereka-mereka ini sebenarnya sudah pun membuat sedikit "research" sebelum bertanya! Jadi mereka ini sebenarnya sudah pun mempunyai jenama yang diidamkan!

Jawapannya:

Untuk menjawab jenama mana yang paling bagus, terus akan Aku beritahu kepada mereka,

 "Pililah dari mana-mana jenama yang terkenal yang kamu suka dan kemudiannya minta daripada penjual warranti tambahan sehingga 3 tahun"

Jawapan standard kepada mereka yang telah Aku programkan dikepala sejak 6 tahun yang lepas!

Kata kunci disini ialah: 1 tahun manufacturer warranty +  2 years extended warranty = 3 tahun warranty!   Kalau dalam spesifikasi tidak dinyatakan, sila minta dari penjual! Kalau boleh dimasukkan "3 Years Warranty" itu didalam harga Komputer Peribadi atau  "Laptop" tersebut dan ianya dianggap satu pembelian yang baik dan berbaloi. Selesai masalah :D

Kredit (gambar) - Acer Ferrari One - http://www.acer.com/ferrarione/ferrari_one.html

Cara mudah untuk mendarab, guna garisan sahaja tanpa sifir - rugi kalau tak belajar | SeMekaR KaSih

Cara mudah untuk mendarab, guna garisan sahaja tanpa sifir - rugi kalau tak belajar | SeMekaR KaSih

Aku dapati cara ini amat menakjubkan. Kalaulah Aku tahu sejak dari dahulu tentu ia dapat membantu memudahkan pembelajaran matematik. Maklumlah matematik bukan subjek kegemaran dan Aku juga merasakan ia bukan subjek kegemaran ramai orang.


Tetapi untuk maju kita perlu menguasainya sepantas mungkin. Terima kasih kepada Cikgu Isza untuk "entry" yang menarik ini.






02 April, 2010

Michelin Energy XM1

Sudah sampai masanya untuk menukar keempat-empat "shock absorber" berserta "spring coil" dan keempat-empat tayar. Menukar kesemuanya serentak. Memang sudah tidak boleh ditangguhkan lagi kerana tayar pun sudah lama digunakan. Bunga tayar masih ada dan elok lagi cuma tempoh masa digunakan telah menghampiri tiga tahun. Jadi ia sudah tidak selamat. Lagipun tayar ada tempoh luput! Untuk makluman, jangka hayat tayar ialah lima tahun daripada tarikh dikeluarkan.





Menggantikan "Shock Absorber" dan "Spring Coil" daripada KYB.  Kali terakhir menggantikannya ialah pada tahun 2006. Walaupun keempat-empat "Shock Absorber" masih lagi dalam keadaan elok tetapi "Spring Coil" telah menjadi agak lembut. Jadi Aku ambil keputusan untuk menukarnya kedua-duanya.

Kereta ini memang sejak dari dibeli tidak pernah dimodifikasi. Semuanya masih lagi dalam keadaan asal. Alat ganti  yang digunakan juga seboleh-bolehnya sebaik atau setara dengan OEM. Untuk tidak memeningkan kepala, Aku selesa menggunakan kenderaan yang tidak diubah suai kerana yang pastinya ia menjimatkan aliran wang keluar! Walaupun tidak dimodifikasi, hanya alat ganti terbaik dipasang di kereta ini.


Untuk tayar pula, kali ini Aku memilih untuk menggunakan Michelin Energy XM1. Memilih tayar siri ini kerana faktor penjimatan minyak, keselesaan (kurang bunyi bising) dan kecekapan kuasa hentian apabila membrek. Untuk faktor pertama dan ketiga sebenarnya sangat subjektif kerana ia bergantung kepada gaya pemanduan manakala faktor kedua memang benar, tayar tersebut lebih senyap berbanding tayar yang Aku gunakan sebelum ini.


Insyallah Aku akan buat ulasan mengenai tayar ini apabila jumlah batuan perjalanan telah meningkat sekurang-kurang ke 20,000 km untuk mendapatkan ulasan yang adil.


24 March, 2010

Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan.. Part 2

Sambungan daripada "entry" Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan - Part 1. Berkenaan sakit lutut yang Aku alami. Penyelesaiannya:

Selain berusaha mengawal BMI ketahap sepatutnya, pemilihan kasut juga memainkan peranan penting.   Kalau dahulu, boleh dikatakan yang Aku ini memang obses dengan 'Oxford Shoe". Maklumlah kasut jenis ini cantik dan mudah dikilatkan tetapi kalau dipakai terlalu lama, bahagian tumit dan lutut akan menjadi sakit. Sekarang Aku telah cuba sedaya upaya untuk tidak memakai "Oxford Shoe" ketika bekerja.




Jadi kasut yang menjadi pilihan tentunya bertapak getah dan tidak bertumit. Selesa untuk melakukan tugasan seharian.

Untuk bersantai, Aku memilih kasut sukan daripada kategori "Cross Training" ataupun "Running/Trail" kerana kasut jenis ini sesuai diguna untuk pelbagai displin sukan dan tapaknya juga amat lasak sesuai untuk pelbagai permukaan. Jadi ia juga sesuai untuk digunakan untuk beriadah atau bersantai.

Aku perhatikan ramai diantara kita membeli kasut sukan hanya berdasarkan reka bentuk luaran dan trend semasa, bukannya disebabkan fungsi. Kesilapan yang sama pernah Aku lakukan semasa usia diakhir belasan tahun dan semasa usia dua puluhan iaitu membeli kasut "basketball" walaupun Aku tak pernah minat untuk bermain "basketball"!

23 March, 2010

Dial 112 Untuk Kecemasan

Semalam ketika makan tengahari di kafeteria, seorang rakan tidak dapat membuat panggilan telefon kerana panggilan keluar telah disekat!  Aku katakan padanya dalam keadaan kecemasan panggilan ke nombor 112 boleh dilakukan. Beliau segera mendail 112 untuk memberitahu masalahnya. Kemudian..

Rakan: Eh nombor apa yang ko suruh dail tu?
Aku: Itu nombor untuk membuat panggilan kecemasan.
Rakan: Haa? Patulah dia tanya apa yang kecemasannya?


Memang ramai yang tidak mengetahui untuk membuat panggilan kecemasan melalui telefon bimbit, nombor 112 boleh digunakan. Selepas itu pihak penyedia rangkaian seperti Celcom, Maxis, Digi dan lain-lain akan menyambungkannya ke agensi yang berkaitan seperti Polis, Hospital atau Bomba.




Perkara yang menarik tentang nombor 112 ialah panggilan juga boleh dibuat tanpa menggunakkan "kad sim" atau telefon terbut dikunci "key pad"! Maksudnya jika kita mempunyai telefon bimbit lama yang sudah tidak digunakan tetapi masih berfungsi ianya boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan. Cuma perlu sentiasa pastikan baterinya sentiasa bercas penuh. Manalah tahu sekiranya terdapat situasi kecemasan, telefon lama itu akan menjadi penyelamat keadaan.

Selain daripada itu, panggilan hanya dapat dibuat dikawasan yang mempunyai liputan sahaja daripada mana-mana penyedia rangkaian.

Oh! Situasi kecemasan yang Aku maksudkan ialah yang benar-benar memerlukan bantuan contohnya kemalangan, kebakaran dan sebagainya. Tidak membayar bil telefon bimbit atau kehabisan kredit "pre paid" bukan kecemasan ya!

Rujuk Wiki - http://en.wikipedia.org/wiki/Emergency_telephone_number

17 March, 2010

Bila Usia Sudah Masuk Tiga Puluhan - Part 1

Bila usia sudah masuk pertengahan tiga puluhan, fisiologi tubuh sedikit sebanyak pun turut berubah tanpa kita sedari. Tubuh tidak selasak seperti ketika berusia dua puluhan. Banyak perkara-perkara yang dahulu kalau terjadi tidak memberi kesan sangat pada tubuh.

Sebenarnya ini entry ini berkenaan sakit lutut yang Aku alami sejak usia masuk ke julat tiga puluhan. Rasanya tahun 2008 paling banyak Aku berjumpa Doktor untuk melegakan sakit lutut yang Aku alami. Seingat Aku, tiada perkara atau kerja yang Aku buat yang boleh mencederakan bahagian lutut atau kaki. Aku juga mengelak untuk bermain futsal walaupun amat meminatinya semuanya gara-gara ingin menjaga lutut.

Aku mengambil keputusan untuk melakukan CT Scan di sebuah hospital swasta untuk mendapatkan jawapan. Asyik ke klinik dan memakan pil penahan sakit hanya penyelesaian sementara. Aku perlukan jawapan atau penyelesaian tentang masalah yang Aku hadapi.

Setelah dua hari menjalani pemeriksaan di hospital dan menjalani beberapa ujian, akhirnya keputusan yang dinantikan berada di tangan doktor.

Doktor: Lutut awak ada kecederaan lama.
Doktor: Ada "hairline crack".
Doktor: Kecederaan itu sudah pulih sendiri.
Doktor: Tetapi tempurung lutut itu ada sumpik sedikit.
Doktor: Awak pernah mengalami kemalangan?
Aku: Oh! Baru Saya ingat! Dulu pernah jatuh motor tahun1994!
Aku: Tetapi itu sudah lama. Kenapa baru sekarang Saya rasa sakit? 
Doktor: BMI awak sekarang tidak sesuai. 
Doktor: Dahulu awak kurus, sekarang berat badan sudah meningkat.





Alhamdulillah, Aku sudah dapat jawapan dan penyelesaiannya. Lutut Aku sakit kerana kecederaan lama. Dahulu tidak merasa sakit kerana Aku kurus. Setelah berat badan meningkat tekanan ke atas lutut pun turut meningkat ditambah lagi dengan kecederaan lama menyebabkan Aku merasa sakit. Penyelesaiannya, Aku perlu mengawal berat badan selari dengan BMI. Jika berada di sekitar BMI, Insyallah lutut Aku tidak sakit.

Bila sudah masuk ke usia tiga puluhan, banyak tindak balas tubuh seperti memberitahu kita sesuatu. Jika ada yang tidak kena, berbuatlah sesuatu. Jangan dibiarkan.

Sekarang kami sekeluarga sudah mula berjogging.



28 February, 2010

Menghilangkan Rasa Takut..

Aku pernah ke rumah mayat pada jam satu pagi..

Ceritanya begini, Arwah Emak meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Sudah tentulah kami sekeluarga amat bersedih dengan pemergiannya. Dipendekkan cerita, sebaik sahaja jenazah emak siap diuruskan, kami menuntutnya untuk dibawa balik ke kampung. Pagi itu, Abah memandu keretanya untuk ke rumah mayat. Abah kemuadiannya mengiringi jenazah dengan menaiki van jenazah. Jadi keretanya ditinggalkan di rumah mayat hospital.

Pada malamnya selepas selesai majlis kenduri arwah, salah seorang pakcik telah memberitahu bahawa kereta Abah masih berada di rumah mayat hospital! Memang tiada seorang pun diantara kami teringat mengenainya langsung! Abah pun tidak memberitahu Aku tentangnya. Lagipun pada masa itu keadaan sememangnya tidak mengizinkan. Banyak perkara yang hendak diuruskan oleh Abah. Aku tidak mahu menganggunya dengan perkara yang remeh-temeh.

Kebetulan malam itu ada seorang pakcik yang akan balik ke Johor Bahru. Jadi Aku mengambil keputusan untuk menumpang dan kemudiannya meminta beliau menghantar Aku ke rumah mayat hospital. Di sepanjang perjalanan bermacam-macam perkara menyeramkan bermain-main dalam fikiran kerana destinasi yang hendak dituju ialah rumah mayat hospital! Macam-macam cerita seram telah didengar berkaitan dengan rumah mayat. Namun sepanjang perjalanan, Aku sentiasa memastikan diri ini dalam keadaan tenang. Akhirnya kami tiba di rumah mayat hospital sekitar pukul satu pagi.

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu masuk ke rumah mayat hospital, Aku segera disapa oleh pengawal keselamatan rumah mayat tersebut. Berderau juga darah, kerana entah dari mana beliau muncul! Sudahlah di hadapan pintu masuk ke rumah mayat itu gelap! Sebaik sahaja perasaan terkejut Aku hilang, Aku segera menerangkan kepadanya yang Aku ingin mengambil kereta Abah untuk dibawa pulang.

"Ooo..Itu kerea Ayah Encik rupanya.. Ingatkan kereta sapa tadi. Dari pagi sampai ke petang takde orang datang ambil!"  " Jarang orang tinggal kereta kat rumah mayat ni"

Betulah tu Pakcik Pengawal, mana ada orang tinggal kereta di rumah mayat! Hanya keluarga Kami yang berbuat begitu! (Aku menjawab di dalam hati).

Perjalanan untuk balik semula ke kampung memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Kalau tadi Aku ke rumah mayat bertemankan Pakcik sekeluarga, untuk perjalanan balik ini Aku akan memandu berseorangan!  Harap-harap tiada apa yang mengikut Aku balik..


Perkara pertama sebaik sahaja Aku menghidupkan enjin kereta ialah melihat kapasiti minyak. Masih ada setengah lagi! Walaupun masih ada separuh lagi (sebenarnya lebih daripada cukup untuk sampai ke destinasi) Aku tetap tidak akan mengambil risiko, Aku akan isi di stesyen minyak yang pertama Aku jumpa!  Berbekalkan Al Fatihah, Aku segera memulakan perjalanan. Setibanya di stesyen minyak, Aku terus mengisi minyak ke kereta dan membeli setin Red Bull untuk mengembalikan tenaga. Maklumlah sejak dari semalam sebenarnya Aku tidak dapat berehat secukupnya. Banyak perkara terpaksa diurusakan.

Sebaik sahaja selesai mengisi minyak, Aku meneruskan perjalanan. Di dalam fikiran sentiasa terbayang perkara-perkara yang menyeramkan. Perjalanan dari Hospital ke Bandar Kulai aku harungi seperti biasa, tetapi sebaik sahaja melepasi Bandar Kulai dan menuju Bandar Tenggara, segala perasaan takut itu keluar bermain-main difikiran, bertukar silih berganti. Maklumlah sepanjang perjalanan melalui jalan tersebut keadaan memang gelap, dikiri dan kanan jalan adalah ladang kelapa sawit dan getah. Jam pula sudah pun menunjukkan  pukul satu setengah pagi. Perjalanan masih jauh lagi. Kampung Aku terletak kira-kira dua puluh lapan kilometer dari Bandar Tenggara menghala ke Kluang. Memang jarang kenderaan memalui jalan tersebut selepas jam dua belas malam.

Aku mengekalkan kelajuan kereta sekitar 110km/h sepanjang perjalanan tetapi bila perasaan terasa lain macam sahaja, kelajuan kereta meningkat sehingga 160 km/h atau lebih!  Tiba-tiba hati tedetik.. "Eh! Bila memandu laju, fikiran menjadi fokus terhadap pemanduan, bayangan perkara-perkara menyeramkan segera hilang dari fikiran!"  Sambil memandu, Aku sempat membuat satu kesimpulan iaitu untuk meghilangkan ketakuan dalam diri ialah memberi fokus terhadap apa yang kita sedang lakukan. Aku segera mengujinya! Aku memperlahankan kenderaan kemudiannya memberikan fokus terhadap pemanduan.. Alhamdulillah hasilnya sama! Tiada lagi perasaan takut!

Aku selamat tiba di destinasi lebih kurang pukul dua suku pagi. Awal suku jam berbanding biasa!  Semua orang telah nyenyak tidur. Ada tips berharga yang aku pelajari dalam masa sejam suku perjalanan tadi. Apa yang hanya Aku boleh katakan ialah kemuncak kepada ketakutakn ialah lahirnya perasaan berani!  Fokus terhadap apa yang kita lakukan, segala ketakutan akan hilang..Insyallah!

17 February, 2010

iPod 4th Generation

iPod 4th Generation 40GB ini telah berada di dalam simpanan sejak tahun 2005. Boleh dikatakan ini adalah pemain mp3 terhebat pada masa tersebut. Telah berkhidmat hampir lima tahun tanpa masalah cuma pernah dua kali Hard Disk Drive tersangkut! Tetapi itu bukan masalah besar, cuma ketuk disisi untuk memulihkannya. Masalah biasa bagi iPod yang menggunakan Hard Disk Drive.



Setelah lama menggunakkannya barulah terfikir, bagaimana untuk membuka "Casing" iPod? Tidak nampak ruang untuk diumpil, semuanya tertutup rapi! Tujuan untuk membuka "Casing" itu sebenarnya untuk menggantikan bateri dan untuk melakukan "Modification" menukar Hard Disk Drive kepada Compact Flash. Apa-apa pun sebelum melangkah lebih jauh, tumpukan perhatian bagaimana untuk membuka "Casing" iPod ini dahulu.


Melalui beberapa forum dan tips daripada pemilik iPod 4th Generation, cara paling mudah untuk membuka "Casing" ialah dengan menggunakkan "Guitar Pick". Ooo... macam itu rupanya.


Aku menggunakkan "Guitar Pick" berketebalan 1mm untuk membuka "Casing". Aku dapati ia agak sukar, mungkin jika Aku menggunakan 0.7mm lebih mudah kerana lebih nipis. Akhirnya berjaya juga Aku membuka "Casing" iPod 4th Generation. Sila rujuk tutorial di ilounge forum untuk lebih lanjut dan terperinci.

Rujukan: http://forums.ilounge.com/showthread.php?s=&threadid=93789/

10 February, 2010

Tips Berhenti Merokok

Aku mengambil masa hampir empat tahun untuk berhenti merokok. Boleh dikatakan ini merupakan satu cerita kejayaan. Besar maknanya pada diri ini. Walaupuan pada sesetengah orang kejayaan ini tidak seberapa, Aku menganggapnya sama pentingnya dengan menerima segulung ijazah! Berdasarkan kepada pengalaman, untuk berhenti merokok seseorang itu perlukan:
  1. Sebab untuk berhenti.
  2. Persekitaran baru.
  3. Rakan-rakan yang baru.
  4. Hobi baru
  5. Displin.
  6. Doa 



    Sebab untuk berhenti.

    Untuk berhenti merokok, seseorang perlukan sebab.  "Saya mahu berhenti merokok kerana....."  Itu ialah "Mission Statement" atau "Azam" kenapa perlu berhenti merokok. Dalam kes Aku, sebab utama ingin berhenti daripada merokok ialah kerana "Aku sudah mencapai matlamat.."  iaitu apabila ingin diterima didalam sesebuah kumpulan! Bila sudah diterima, tiada apa lagi yang hendak dibuktikan. Tiada lagi cabaran.. Jadi lebih baik berhenti!  Sepatutnya "point" yang pertama ini pun sudah cukup untuk seseorang itu untuk berhenti merokok!

    Persekitaran Baru.

    Bila berpindah ke tempat baru, inilah masa yang sesuai untuk menghentikan atau menghapuskan kebiasaan dalam diri.  Kalau dahulu merokok, apabila di tempat baru boleh mencuba untuk mengurangkan atau memilih untuk tidak merokok langsung.  Dalam kes Aku, sebaik sahaja melangkah masuk ke Universiti, Aku telah tanamkan dalam diri "Azam" untuk mengurang serta seterusnya berhenti merokok secara berperingkat.

    Rakan-Rakan Baru

    Faktor merokok disebabkan pergaulan dan rakan-rakan memang tidak boleh disangkal lagi. Kaitannya memang amat kuat. Tetapi sebenarnya kita boleh membuat pilihan, samada untuk terus berkawan dengan mereka atau tidak. Kalau disebabkan mereka kita terpengaruh, harus ada sikap dalam diri yang akan sentiasa mempersoalkan kenapa harus menjadi begitu dan sebagainya untuk mewujudkan suasana "check and balance".  Tinggalkan rakan-rakan lama dan cari rakan-rakan baru! Bukan memutuskan persahabatan cuma kurangkan bercampur dengan mereka yang bermasalah dan bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat positif. 

    Hobi Baru

    Mula mencari hobi baru atau pun menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mengisi masa lapang.  Mungkin tidak semua perkara boleh menyebabakan seseorang itu dapat melupakan rokok tetapi untuk berubah seseorang itu perlu membuka fikiran seluas mungkin dan bersedia menerima perubahan.  Semasa di Universiti, Aku dapati kejuruteraan komputer amat mengasyikkan sehingga menyebabkan Aku berjaya melupakan rokok.


    Displin

    Mulalah berdisplin! Jangan langgar apa-apa perjanjian dan syarat yang dibuat dengan diri sendiri untuk mencapai matlamat. Displin mestilah kuat, barulah misi boleh dicapai. Tanpa displin kita akan tewas dengan diri sendiri.

    Doa

    Sentiasa berdoa kepada Illahi supaya dikuatkan iman dan menghindarkan perkara-perkara buruk daripada meresap ke dalam diri.

    Semoga dengan adanya tips ini, dapat memudahkan sesiapa yang mempunyai niat untuk berhenti merokok. Sebenarnya tidaklah sesusah mana. Kalau kita boleh berhenti merokok di siang hari ketika di bulan puasa, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh berhenti merokok untuk keseluruhan hari! Pokok pangkalnya ialah diri sendiri, sejauh manakan kuatnya azam dan kesungguhan serta displin dalam diri. Insyallah.

    07 February, 2010

    Makan Dahulu..

    Entry kali ni tiada kaitan dengan makanan secara langsung pun! Sebenarnya ia adalah berkaitan dengan Apa yang kami sekeluarga praktikkan sebelum keluar membeli belah. Ya.. Kami akan makan terlebih dahulu! Mungkin sudah ramai yang tahu mengenainya. Tips ini amat popular dikalangan pakar-pakar psikologi, kewangan dan Ustaz!



    Ianya amat berkesan buat kami sekeluarga. Membuat pembelian didalam keadaan kenyang membuatkan Kami lebih fokus terhadap pembelian dan insyallah tidak akan terjebak membuat pembelian impulsif!

    Selain daripada itu, berdasarkan pengalaman, anak-anak juga mudah dikawal dan dipujuk apabila mereka dalam keadaan kenyang. Ini tentu akan memudah dan membuat kita sekeluarga berasa selesa ketika keluar membeli belah.

    31 January, 2010

    Hukum Potongan 30 Peratus

    Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah Hukum Potongan 30 Peratus yang Aku maksudkan! Baiklah..Siapa yang tidak suka diskaun 30 peratus ketika membuat pembelian?  Jawapannya, tentulah semua orang suka. Kita tentu seronok bila mendapat diskaun yang ditawarkan oleh penjual. Sekarang cuba bayangkan yang kita sendiri memberi diskaun terhadap pembelian itu. Sebenarnya ini ialah petua yang telah lama Aku amalkan ketika hendak membeli atau berhutang.



    Jika hendak membeli sesuatu barang samada tunai atau hutang, kita pastinya akan membuat perkiraan dan memikirkannya dengan agak mendalam terutamanya jika pembelian itu melibatkan jumlah yang agak mahal. Aplikasi hukum ini sebenarnya agak mudah. Setelah memikirkan tentang pro dan kontra pembelian itu, sekarang cuba tolakkan amaun pembelian itu dengan jumlah 30 peratus! Haa.. Itulah sebenarnya amaun yang selesa untuk kita tanggung.

    Baiklah..Aku katakan selesa, bukan tidak mampu. Kita memang mampu untuk menanggung kos pembelian tersebut cuma untuk tidak terlalu membebankan kewangan kita dikemudian hari, hukum 30 peratus ini boleh digunakan. Hukum ini juga sesuai digunakan untuk pembelian rumah atau kenderaan.


    Apa relevannya hukum ini diimplimentasi?  Mungkin bagi sesetengan orang, tidak perlu mempraktikkannya langsung.  Tetapi bagi seorang ketua keluarga yang isterinya tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil, hukum ini amat membantu. Ya Aku memang seorang yang konservatif  bila berbicara tentang kewangan :D

    27 January, 2010

    Terjebak Dalam Hutang..

    Antara topik yang tidak diajar semasa disekolah dan universiti secara formal ialah Pengurusan Kewangan Peribadi. Ramai yang menganggapnya tidak penting kerana fokus utama tentunya terhadap pelajaran dan kemudiannya mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar! Sebenarnya pegurusan kewangan perlu didedahkan terhadap setiap manusia sebaik sahaja mereka mengenal wang sebagai perantaraan pertukaran. Bagi keluarga yang mempunyai kesedaran tinggi tentang pengurusan kewangan, perancangan mereka bermula sejak anak masih berada didalam kandungan lagi!


    Ramai diantara kita terjebak didalam masalah kewangan disebabkan kurang kesedaran tentang bagaimana untuk mengurus sumber pendapatan dan perbelanjaan dengan baik. Malah ramai yang terjerumus ini sebenarnya terdiri daripada professional muda yang sepatutnya tahu bagaimana untuk mengurus kewangan diri dengan baik.

    Bagaimana mereka boleh terjebak?  Berdasarkan pengalaman, kebanyakkan mereka ini terjebak sebaik sahaja mereka mendapat pekerjaan pertama. Harus diingat kebanyakkan dari graduan, semasa belajar tentunya ada mengambil pinjaman dengan JPA, MARA, PTPTN dan Yayasan Negeri. Maksudnya sebaik sahaja tamat belajar, hutang yang telah sedia menunggu!

    Biasalah bila sudah mula bekerja dan mendapat pendapatan yang agak baik, mereka berhasrat pula meningkatkan taraf hidup. Kalau dahulu menaiki kenderaan awam atau bermotorsikal, sudah sampai masa untuk membeli kereta. Mula menambah hutang kedua. Bayaran muka muka minimum dan tempoh pinjaman maksimum 9 tahun. Tidak mengapa kerana mereka masih bujang dan pastinya mampu untuk menanggung dua hutang.

    Bila sudah berkereta, tentulah tidak menarik jika tidak dipasang dengan aksesori. Orang mudalah katakan.. Sport rim! Oh itu sudah pasti.. Tayar import berprofil rendah! Sistem audio hebat yang menyokong iPod, teknologi Bluetooth berserta skrin sesentuh dan GPS! Semua yang dihajati semasa zaman belajar cuba dipenuhi. Kemudian bila mula berkira-kira untuk membeli, barulah menyedari.. "Oh kena simpan sedikit wang dahulu baru boleh membeli sistem audio idaman itu". Alhamdulillah akhirnya terdetik untuk menyimpan!

    Satu hari ketika berjalan di sebuah pusat membeli belah, didatangi seorang agen kad kredit yang comel. Agen tersebut menyakinkan yang anda mampu untuk untuk memiliki barangan yang dihajati dengan menggunakan kad kredit! Beli dahulu, bayar kemudian dan cuma perlu bayar minimum 5% setiap bulan keatas baki tertunggak.  Wah! hebat! Tidak tahu ada produk kewangan sebegini hebat ada dipasaran! Err.. tanpa disedari mula menambah hutang ketiga!

    Ada kereta cantik dan pekerjaan yang bagus. Mesti ada wanita yang menyukai dan disukai. Masa berlalu, dimulai dengan perkenalan, akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Setelah berkira-kira dan mencongak. "Err kena mula menyimpan, kalau tidak tidak sempat untuk kumpul wang untuk hantaran serta belanja perkahwinan". Alhamdulillah akhirnya terdetik sekali lagi untuk menyimpan!

    Satu hari ketika melakukan "blog walking" dan "online banking" di internet, ternampak iklan mengenai pinjaman peribadi. Tanpa penjamin, mudah dan kelulusan segera! Boleh menyelesaikan apa sahaja masalah dan perkara yang dihajati. Sambil berkira-kira dan mencongak, "Hmmm ok lah.. mohon pinjaman peribadi, bila dah dapat wang pinjaman itu nanti, boleh menyelesaikan hutang kad kredit dan buat belanja perkahwinan."   Nak pinjam berapa agaknya? RM30,000 cukup rasanya.. Apa-apa hal pun perkahwinan perlu disegerakan :D Hutang nanti boleh dibayar kemudian.  Err.. tanpa disedari mula menambah hutang keempat!

    Jika sudah ada empat hutang yang perlu dibayar. Eh! Tiga sebenarnya, sebab pinjaman keempat menghapuskan pinjaman ketiga. Uish bijak juga strategi ini!  Ambil hutang untuk hapuskan hutang lain! Tetapi realitinya masih tidak akan meredakan keadaan. Kalau semua hutang tersebut telah pun merangkumi 50% atau lebih dari pendapatan, anda telah pun dikira terjebak!

    Lebih kurang begitulah situasi dimana mereka ini terjebak pada awalnya. Mungkin menyangka yang mereka ini mampu untuk membayar hutang tanpa mengambil kira langsung hal-hal kecemasan yang bakal berlaku dan keadaan ekonomi semasa. Atau mereka juga  menyangka yang langit sentiasa cerah, jadi tak perlulah menyediakan payung sebelum hujan!

    Apa-apa pun berhati-hatilah ketika mengambil hutang baru terutamanya hutang kad kredit. Kalau boleh mula menyimpan seawal mungkin. Hutang tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak mampu membayarnya.

    Sebagai panduan sila muat turun E-Book ini secara percuma dari AKPK



    24 January, 2010

    Cara Mengutip Hutang!

    Teringat dahulu semasa Aku belajar di Universiti..Kadang-kadang kalau terputus duit terpaksalah meminjam dari rakan-rakan. Alhamdulillah biasanya ada yang menolong dan bila sudah ada duit, Aku akan cepat-cepat membayarnya semula. Adat pelajar, kadang-kadang kita meminjam dan kadang-kadang kita memberi pinjam. Tetapi apa yang menjengkelkan bila kita memberi pinjam.. Si peminjam bila sudah ada duit buat-buat lupa pulak! Tidak mahu melangsaikan hutang! Ciss!

    Untuk golongan semacam ini, Aku gunakan strategi paling mudah untuk mengingatkan dan seterusnya mengutip hutang! Mula-mula besedia untuk buat muka tidak malu (sepatutnya yang berhutang tu yang patut malu). Kemudian perhatikan keadaan sekeliling, lebih ramai orang lebih bagus. Ketika siberhutang itu lalu atau sedang melepak dengan teman wanitanya, Aku akan terus memanggil namanya dengan agak kuat seterusnya mendekatinya.. "Lu pakai duit gua RM10 bila nak bayar?"  Mungkin disebabkan malu dengan kawan-kawan yang ada disekeliling terutama teman wanitanya, pasti dia akan membayar hutangnya pada masa itu juga! Harus diingat strategi ini hanya sesuai digunakan untuk menuntut hutang-hutang kecil sahaja..hutang-hutang besar kena guna cara lain.

    Haha.. Alhamdulillah sepanjang menggunakkan strategi ini, Aku amat berpuas hati dengan kadar keberkesanannya. Memang sangat efektif untuk kawan-kawan yang selalu buat-buat lupa pasal hutang walaupun "loan" JPA/Mara/PTPTN sudah masuk ke dalam akaun!

    30 December, 2009

    Al Bai Bithaman Ajil - BBA

    Aku menghantar surat kepada Maybank Islamic pada bulan Mei yang lepas berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan bagi pinjaman perumahan.  Setelah hampir 6 tahun membuat pembayaran,  rasanya telah tiba masanya untuk Aku berunding dengan pihak bank berkenaan dengan pengurangan kadar faedah keuntungan.  Kira-kira 5 tahun yang lepas kebanyakkan pinjaman berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) tidak memberikan fleksibiliti terhadap kadar faedah keuntungan. Maksudnya kadar tetap sehingga langsai pinjaman.

    Sejak tiga tahun kebelakangan ini, pinjaman perumahan berteraskan Islam (Al Bai Bithaman Ajil - BBA) telah mengalami perubahan.  Di pasaran, Aku dapati ada bank yang sudah mula menawarkan kadar faedah keuntungan boleh ubah atau "Variable Rate Financing".  Di bawah konsep ini, harga jualan ditetapkan berdasarkan kadar harga jualan manakala kadar faedah keuntungan efektif yang dikenakan ke atas pinjaman berubah mengikut BFR, asalkan ia tidak melebihi harga jualan.

    Akhirnya pada awal bulan Disember, pihak bank membalas permintaan Aku bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman. Alhamdulillah!  Kali ini kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak bank ialah BFR - 1% sehingga langsai pinjaman dan faedah keuntungan dikira berdasarkan kadar harian. Segala terma dan syarat masih mengikut perjanjian lama.  Dalam bahasa yang mudah, jika Aku membayar ansuran bulanan pada kadar yang sama sebelum kadar rundingan bermakna Aku akan dapat melangsaikan pinjaman ini lebih awal.

    Cuma bahagian yang tidak berapa seronok ialah pihak bank meletakkan syarat tambahan seperti "Exit Penalty" dikenakan sekiranya Aku melangsaikan pinjaman tersebut kurang dari 6 tahun dan yuran pemprosesan sebanyak RM200!

    Sekiranya kadar BFR meningkat dengan drastik sekalipun ianya akan dikekang oleh harga jualan yang telah dipersetujui dan kadar faedah keuntungan sebelumnya iaitu tidak melebihi  7.75%.  Semuanya jelas. Amat bagus untuk menghadapi ketidak tentuan ekonomi pada masa hadapan dan ia merupakan kelebihan Al Bai Bithaman Ajil berbanding pinjaman konvensional.

    Bagi yang telah membuat pinjaman perumahan samada Al Bai Bithaman Ajil atau konvensional, jika tempoh "Exit Penalty" telah tamat, bolehlah memulakan perundingan (memohon) dengan pihak bank untuk mengurangkan kadar faedah keuntungan atau bunga (interest). Ramai yang tidak mengetahui mengenai perkara ini. Di pihak bank, mereka tentulah tidak mahu memberitahu perkara ini kepada pelanggan.  Alasannya mudah, mengapa perlu mereka (bank) memberitahu perkara yang akan mengurangkan keuntungan mereka!  Jadi, sebagai pelanggan, mestilah meminta! Kalau ada peluang di pihak kita untuk mengurangkan kos, mesti tuntut!