Dikalangan rakan sebaya, mungkin Akulah yang paling lewat sekali belajar menunggang motorsikal. Ketika usia memasuki empat belas tahun baharu diberi peluang oleh Abah untuk menunggang. Itupun kerana terpaksa, Aku diajar menunggang motorsikal di jalan ladang kelapa sawit untuk memudahkan pergerakkan. Maklumlah bekerja di ladang kelapa sawit ini banyak peralatan yang hendak dibawa. Daripada kereta sorong, pongkis, sabit dan batang "aluminium" nya yang panjang itu memerlukan seorang memegangnya. Kalau dah memegang peralatan macam mana hendak menunggang motorsikal? Sebab itu Aku diajar menunggang motorsikal.. Tujuannya amat murni iaitu untuk membantu orang tua :D
Kalau sudah pandai menunggang motorsikal tetapi hanya pokok-pokok sawit sahaja menjadi saksi tentulah tidak seronok. Hendak juga diberitahu satu kampung yang Aku sudah pandai menunggang motorsikal. Dari situlah bermulanya punca segala masalah.. Maklumlah remaja, menunjukkan kehebatan menunggang memang keseronokkan buat mereka. Apatah lagi bila dipuji rakan-rakan tentang keberanian atas aksi yang ditunjukkan lagilah ia menjadi-jadi.
Menunggang berkumpulan pusing-pusing satu kampung merupakan aktiviti harian. Mungkin disebabkan Abah hanya ada motorsikal Suzuki FR50, jadi tidaklah boleh Aku nak berlumba dengan rakan-rakan yang mempunyai Honda C70. Haha. tertinggal jauh bertiang-tiang beb! Mungkin itu lah hikmahnya.. motorsikal tidak cukup berkuasa! Tidak boleh nak ber "wheelie" dengannya.. apalagi melakukan aksi "wikang"! Maka terselamatlah Aku daripada terjebak menjadi "Mat Rempit"!
Oh! Sekarang media arus perdana sudah menukar istilah dari Mat Rempit kepada Samseng Jalan Raya!
Kredit (gambar) - http://www.suzukicycles.org/FR-series/FR50.shtml


