15 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 4

Hari terakhir kami di Jakarta. Terasa panjang pula waktunya. Dari bersarapan sehinggalah ke "check out" dari hotel! Semuanya terasa seperti "slow motion". Mungkin disebabkan keletihan..


Aktiviti terakhir sebelum kami ke lapangan terbang ialah melawat Taman Mini Indonesia. Ala lebih kurang macam pergi ke Mini Malaysia.. Indonesia negara yang luas, pergi ke Mini Indonesia seolah-olah kami telah melawat hampir ke seluruh Indonesia!


Pelbagai bentuk replika rumah terdapat di sana mewakili setiap provinsi yang ada di Indonesia tetapi kami hanya melawat 4 daripadanya iaitu Sulawesi Selatan, Aceh, Papua dan Sumatera Barat.


Walaupun taman ini di panggil Mini Indonesia, semua replika rumah-rumah di sini dibina menggunakan skala sebenar. Kalau hendak melawat semua provinsi mungkin memakan masa separuh hari untuk dilengkapkan kesemuanya. Memang seronok berkunjung ke Mini Indonesia. Hampir 2 jam kami di sana, ianya memberikan perspektif secara am mengenai kepelbagaian bangsa, budaya dan agama yang ada di Indonesia.


Untuk makan tengahari, kami di bawa ke Restoran Raja Laut di Jakarta. Restoran ini menyajikan makanan laut. Kami makan dengan agak pantas untuk memberi ruang kepada "last minute shopping" sebelum berangkat ke lapangan terbang.

Selesai makan tengahari, kami di bawa ke ITC Cempaka Emas untuk mencari ole-ole tambahan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kompleks membeli belah ini amat luas dan besar. Setiap tingkat tidak kurang dari 100 kedai dan kompleks itu mempunyai 6 tingkat! Patutlah ada diantara kami yang tidak jumpa jalan keluar! Mujur tidak ditinggalkan :D

Kami meninggalkan ITC Cempaka Emas sekitar pukul 2:00 petang untuk terus ke Soekarno Hatta. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira sejam. Setibanya di sana kami dapati kawalan keselamat amatlah ketat. Semua pintu masuk dikawal rapi oleh petugas keselamatan. Kami faham dengan situasi tersebut cuma ianya sedikit sebanyak menyebabkan kelancaran memasuki lapangan terbang terganggu. Walaubagaimana pun semuanya berjalan mengikut jadual. Kami berada di Soekarno Hatta hampir 2 jam awal dari jadual pernerbangan.

Sementara menunggu di balai berlepas, kami mengikuti siaran TV Indonesia dan kebetulan pada masa itu berita sedang di siarkan. "Highlight" berita hari itu ialah "Mbah Surip" meninggal dunia! Kami mendengar cerita tentang Mbah Surip dari Bapak Irwan semasa di dalam perjalanan menuju Bandung dari Jakarta. Sebelum ini dunia di kejutkan dengan pemergian Micheal Jackson, Malaysia di kejutkan dengan pemergian Yasmin Ahmad dan kini tiba giliran Indonesia pula dikejutkan dengan pemergian Mhab Surip. "I Love You Full Ha ha ha.. " - Mbah Surip!

Kami menaiki PenerbanganTiger Airways TR273 jam 5:45 petang dan tiba di Changi, Singapura pada pukul 8:30 malam. Err balik kena tambah sejam :D (GMT + 8) tu yang nampak macam lewat sampai! Walaupun dah mendarat kami masih lagi di negara lain, masih belum sampai ke Malaysia! Masih ada 30 minit perjalanan untuk ditempuhi sehingga melintasi Tambak Johor.

Alhamdulillah! Setelah melalui 3 kali pemeriksaan imigresen kami selamat tiba di Johor Bahru sekitar 9:45 malam. Dari "drop point" kami menuju ke destinasi masing-masing dengan perasaan yang amat gembira walaupun keletihan. Kenangan semasa di Bandung dan Jakarta akan menjadi bahan cerita untuk sekurang-kurangnya seminggu di opis!


13 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 3 Continue..

Kami tiba di Sari Ater Hot Spring Resort sekitar jam 11:30 pagi. Masih lagi pagi namun matahari sudah terpacak tegak diatas kepala. Walaupun begitu, masih terasa sejuk kerana kami masih berada di kawasan tanah tinggi.


Apa yang menarik di sini ialah mata air panas yang mengalir itu di takung membentuk kolam-kolam kecil dan air terjun untuk memudahkan pengunjung. Menurut Bapak Irwan mata air panas di sini berupaya menyembuhkan sakit kulit dan rheumatism ringan. Tetapi tidak digalakkan meremdamkan diri terlalu lama di takuti akan mendatangkan kemudaratan. Maksimun 20 minit! Suhu air di kolam-kolam tersebut ialah sekitar 39°C hingga 40°C. Cukup untuk merebus telur jika di rendam selama 5 minit!

Setelah 2 hari menempuh perjalanan yang amat panjang dan keletihan akibat membeli belah, ini merupakan idea terbaik untuk merehatkan urat-urat kaki yang sedang tegang! Kombinasi "Hot Spring" dan batu-batu refleksologi, memang melegakan kaki!

Kami berada di sini lebih kurang 2 jam. Sempatlah juga melihat-lihat di persekitaran resort. Resort yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan dan aktiviti sukan lasak.

Setelah semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan untuk menikmati makan tengahari di Restoran Balibu, sebuah restoran yang menyediakan makanan sunda.

Makan tengahari yang agak istimewa kerana di sini kami berpeluang merasa sate sunda dan telur dadar istimewa dari telur burung puyuh . Sate biasanya di hidangkan bersama kuah kacang tetapi di sini ia dihidangkan dengan sambal kicap pedas.


Bila perut sudah diisi dan semuanya tersenyum kekenyangan, kami meneruskan perjalanan ke Jakarta. Kali ini barulah "betul"! Tidak seperti hari pertama kami ke Bandung, perjalanan jauh dengan perut kosong!

Kami sampai di Jakarta sekitar pukul 6:30 petang. Hari bekerja bagi warga Jakarta, menyebabkan kami turut merasa "keenakkan" kesesakan lalulintas di sana! Kami dibawa ke melihat di sekitar Jakarta dan berhenti untuk sesi bergambar di MONAS. Aktiviti wajib kalau ke Jakarta. Tak lengkap jika tidak melawatnya. (Err tapi kat situ banyak nyamuk la)

Setelah selesai sesi bergambar, kami di bawa ke Resotran Raja Kuring untuk makan malam. Restoran ini asalnya ialah gudang menyimpan barang-barang dagangan di zaman kolonial Belanda. Masih lagi dikekalkan senibinanya sehingga sekarang. Unik!

Makananya sedap! Servisnya juga pantas. Oleh kerana hari ini merupakan hari ketiga dan malam terakhir kami berada di Indonesia, kami menjadi semakin berani untuk mencuba makanan yang lain dari yang lain.

Akhirnya hidangan istemewa yang kami cuba ialah "Bebek Panggang"! atau di Malaysia kita panggil "itik panggang"! Kali pertama makan itik panggang. Rasanya macam lebih kurang macam ayam tetapi kulitnya rangup. Memanglah pada awalnya terasa geli.. tetapi kalau tak cuba takkan tahu rasanya macam mana. Satu pengalaman yanga amat berbaloi!


Bila perut sudah diisi dan semuanya puas hati, kami terus dibawa menuju ke hotel untuk "check in" dan merehatkan badan. Kawalan keselamatan di hotel agak ketat, maklumlah kami ke Jakarta selepas peristiwa pengeboman di JWW Marriot dan Ritz Carlton. Semuanya di "scan"!
Alhamdulillah.. Akhirnya selamat sampai di Jakarta.



12 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 3

Hari ini kami akan "check out" dari hotel untuk ke Jakarta. Tetapi sebelum itu kami akan dibawa melawat Gunung Tangkuban Parahu yang amat terkenal dengan lagenda "Sangkuriang". Sepanjang perjalanan kami di sajikan permandangan kaki gunung yang indah dari kampung tradisional di selang seli dengan ladang sayur dan strawberi.


Kami berhenti sebentar di pekan terakhir sebelum ke puncak gunung untuk mendapatkan buah salak dan makanan ringan yang lain. Berhenti semata-mata untuk mendapatkan buah salak, tetapi apa yang sebenarnya banyak terdapat di situ ialah buah avokado dan "japanese pumpkin". Selain itu kami juga tertarik dengan gerai-gerai "Warkop" yang menjual tapai ubi bakar! Haa.. kalau di Malaysia ada tapai pulut dan tapai ubi. Di sini ada tapai bakar!

Kami meneruskan perjalanan. Semakin tinggi pendakian, landskap pemandangan turut berubah. Di kiri dan kanan jalan terdampar hamparan ladang teh yang kehijauan. Ketika hampir ke kaki gunung, barisan pokok-pokok pine yang di tanam ketika era kolonial Belanda menghias landskap pemandangan.

Akhirnya kami tiba di pintu masuk ke Gunung Tangkuban Parahu sekitar jam 9:30 pagi. Disebabkan bas yang kami naiki besar, ia tidak dapat membawa kami terus ke puncak. Kami terpaksa menaiki "angkutan" untuk ke puncak.

Gunung Tangkuban Parahu sebenarnya gunung berapi aktif. Kali terakhir ianya meletus sekitar tahun 1960an. Semasa berada di puncak sesekali terbau "sulfur" yang agak kuat. Kalau diperhatikan betul-betul di kawah gunung tersebut, masih lagi keluar asap dan itu menunjukkan yang ianya sememangnya masih aktif.

Oleh kerana masa yang diperuntukan di sini tidak lama, kami hanya dibenarkan untuk melawat disekitarnya. Cukuplah untuk mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan dan mendapatkan cenderamata di gerai dan penjual yang berada di situ.

Destinasi seterusnya ialah Sari Ater Hot Spring Resort..


.

11 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 2

Bangun seawal pukul 4:30 pagi dan Subuh sekitar jam 4:50 pagi memang terasa amat pelik pada mulanya. Cuaca memang agak sejuk di Bandung sekitar 24°C - 29°C dan sesuai dengan gelarannya "Parijs Van Java" (Paris of Java).

Aktiviti hari kedua ialah "Bandung Discovery Tour" dan membeli belah. "Bandung Discovery Tour" sebenarnya ialah melawat sekitar Bandung. Tempat-tempat yang dilawati termasuklah Institute Technolgy Bandung, Satay House, Jalan Asia Africa dan perumahan kolonial Belanda. Menurut Bapak Irwan Institute Technology Bandung telah melahirkan ramai pemimpin Indonesia dan merupakan salah satu pusat pengajian tinggi yang berprestij di Indonesia.

Bangunan di sekitar Bandung banyak dipengaruhi senibina kolonial Belanda. Kesemua tempat-tempat tersebut selesai dilawati dalam masa 35 minit.


Sekitar pukul 10:00 pagi, kami ke Jalan Riau, untuk meneruskan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu "shopping"! Masa yang diberikan cuma 2 jam di sekitar kawasan tersebut. Memang tak mencukupi untuk membeli belah jika 2 jam sahaja di peruntukan untuk aktiviti tersebut. Semuanya perlu dilakukan denga pantas. Apa boleh buat kami terpaksa mengikut program yang telah ditetapkan.

Sempatlah kami ke beberapa buah "factory outlet" yang berada di sekitar The Summit Boutique Outlet. Pakaian yang di jual memang murah! Cuma perlu berhati-hati kerana tak semua tulen. Kena pandai memilih.

Setelah selesai di Jalan Riau, kami ke Pasar Baru. Seperti sebelumnya masa yang diperuntukan cuma 2 jam. Pasar Baru terkenal dengan "Islamic product" seperti tudung, telekung, jubah dan pakaian muslim dan muslimah. Semuanya dijual dengan harga yang amat berpatutan. Tawar menawar tak berapa berkesan sangat di sini kerana ianya sememangnya "Wholesale Center". Harga diantara kedai pun tidak banyak berbeza. Jika jumpa yang berkenan beli terus!


Kami menikmati makan tengahari di aras 6 Pasar Baru. Hidangan yang ringkas tapi lengkap. Tetapi lupa pula apa nama hidangan tersebut! Lebih kurang macam ayam penyet la.. Terperasan juga di Bandung yang ayam-ayamnya besaiz kecil. Mungkin ayam kampung kot! Selesai makan tengahari, kami meneruskan aktiviti membeli belah di Pasar baru.


Selepas itu kami ke Jalan Setiabudi, di mana terletaknya Rumah Mode. Sekali lagi kami di beri 2 jam untuk menjelajah ke sekitarnya. Harga di Rumah Mode agak mahal berbanding dengan "factory outlet" yang lain tetapi kualitinya lebih baik. Kami tidak berada lama di situ kerana terlalu ramai pengunjung membeli belah di situ. Kami sebaliknya banyak menghabiskan masa ke sekitarnya yang tidak kurang meriahnya.


Setelah puas berbelanja dan membeli belah, tiba masanya untuk menikmati makan malam. Kali ini kami menuju Bukit Dago Pakar untuk ke Sierra Cafe. Restoran ini menyajikan makanan western, jepun dan thai.

Perjalanan yang agak jauh ke Sierra Cafe. "Sejak di dalam bas tertanya-tanya kalau dah berjalan sejauh ini untuk makan malam, kalau tak sedap tak tau la nak cakap apa.. " Sebaik sahaja menjejakan kaki ke restoran, terasa hawa sejuk kawasan bukit. Memang sejuk! Lain kali kalau nak makan di sini kena bawa jaket atau baju lengan panjang!

Alhamdulillah makanannya cukup sempurna dan sedap! Di sebabkan kumpulan kami ini agak ramai, ada sedikit kekeliruan tentang makanan yang dipesan tetapi tetap tidak menjejaskan suasana gembira sepanjang berada di situ. Suasana yang nyaman dan sejuk berlatar belakang Bandung dari atas bukit menyerlahkan keindahan Bandung di waktu malam!

Selesai makan malam kami kembali ke hotel penginapan untuk merehatkan badan setelah penat berjalan dan membeli belah. Walaupun letih, kami seronok dan gembira.


10 August, 2009

Trip To Jakarta & Bandung - Day 1

Seperti tahun-tahun yang lepas "Company Trip" menjelma kembali. Kali ini destinasinya ialah Jakarta dan Bandung. Kami bertolak ke Jakarta pada 01/08/2009 menaiki penerbangan Tiger Airways TR272 dari Changi, Singapura. Penerbangan berlepas tepat pada pukul 4:35 petang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan teratur.



Kami selamat tiba pada pukul 6:10 petang di Soekarno Hatta. Oleh kerana Jakarta sejam lewat dari waktu Malaysia, kami sebenarnya tiba pada pukul 5:10 petang Waktu Indonesia Barat. Err jimat sejam la konon²nya.


Sebaik tiba, kami meneruskan perjalan ke Bandung dengan menaiki bas. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 3 jam setengah dan amat meletihkan. Mujur semasa dalam perjalanan, pemandu pelancong iaitu Bapak Irwan sentiasa memberikan penerangan yang agak menarik mengenai Indonesia secara amnya. Selain dari itu kami juga "berkaroake" secara paksa sepanjang perjalanan untuk menghindari kebosanan.


Tiba di Bandung kira-kira pukul 9:00 malam dan terus menuju ke Restoran Dapur Sangkuriang untuk menikmati makan malam dan bertemu dengan rakan-rakan kami dari Kumpulan pertama yang telah pun sampai ke sana 2 hari sebelumnya.

Makan malam yang lewat sebenarnya buat kami. Walaupun Waktu Indonesia Barat baru menunjukkan pukul 9:00 malam, sebenarnya kalau mengikut waktu Malaysia telah pun pukul 10:00 malam!


Makanan yang dihidangkan berasaskan masakan Sunda. Oleh kerana makan malam pun sudah agak lewat, kebanyakkan dari kami sudah pun hilang selera untuk makan! Bagi yang berselera pula, tak sempat nak menikmati keenakan makanan yang dihidangkan dek kerana terlalu lapar! Misi yang paling penting ialah "telan" secepat mungkin!

Setelah semuanya "selesai", kami pun menuju ke hotel untuk "check in" kira-kira jam 11:30 malam. Lega bila dah dapat masuk ke bilik untuk merehatkan badan. Jumlah jam keseluruhan dari Johor Bahru ke Bandung ialah 10 jam! Perjalanan yang amat panjang dan amat memenatkan untuk hari pertama tetapi berbaloi.